TINJAU: Fairuz (kanan) semasa program potong rambut percuma.
KOTA KINABALU: Para pelajar perlu memulakan sesi persekolahan baharu dengan azam serta semangat jitu untuk mencapai kejayaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan Fairuz Renddan berkata, kanak-kanak yang bakal memulakan sesi persekolahan sudah pasti bersemangat.
"Saya yakin sudah lama adik-adik kita merindui suasana persekolahan seperti biasa, bertemu guru dan rakan-rakan.
“Jangan dilupa bahawa usaha untuk mengejar cita-cita perlu diteruskan walaupun dugaan pandemik COVID-19 masih belum berakhir,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Fairuz yang juga merupakan Ketua Armada BERSATU Sabah turut mengingatkan para pelajar dan guru untuk sentiasa berwaspada dan tidak alpa dengan risiko penularan wabak COVID-19.
“Saya amat berharap, kita semua saling menjaga satu sama lain, ibu bapa dan guru serta para pelajar, kita semua bersama saling mengingati, menjaga SOP, sentiasa berdoa semoga kita dilindungi, dijauhi daripada terjangkit dengan virus COVID-19.
“Pastinya akan sangat mengecewakan jika berlaku penularan kes di sekolah sehingga akan menjejaskan sesi persekolahan kelak,” katanya.
Dalam pada itu, Fairuz memberitahu bahawa lebih 200 pelajar di sekitar Kota Belud hadir dalam program Kembali Ke Sekolah gunting rambut percuma anjuran Pejabat ADUN Pintasan.
“Saya amat gembira kerana ramai adik-adik kita hadir memeriahkan acara kita, potong rambut percuma beramai-ramai di perkarangan pejabat khidmat ADUN.
“Acara selama dua hari ini dijalankan sejak Sabtu lalu, sehingga hari ini.
“Pastinya adik-adik kita akan kembali ke sekolah dengan segak bergaya, sekali gus bersemangat,”katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/09 |