![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20211229/whatsappimage2021-12-29at113205am.jpeg)
Anggota polis menjalankan Op Mabuk memeriksa pemandu kenderaan di Jalan Abang Galau pada malam Selasa.
BINTULU: Dua individu ditahan kerana didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk yang dilaksana Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak (JSPT) dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Bintulu di Jalan Abang Galau di sini pada malam Selasa.
Ketua JSPT Superitenden Alexson Naga Chabu berkata, operasi diketuai Timbalan Ketua JSPT Sarawak DSP Mathew Manggie dijalankan dari jam 9 malam hingga 12.01 tengah malam oleh enam anggota polis itu menahan dua lelaki masing-masingnya tidak bekerja dan seorang tukang kayu.
"Hasil ujian mendapati kedua-duanya positif (didapati bacaan alkohol dalam nafas melebihi kadar yang dibenarkan)," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam operasi itu sebanyak 40 kenderaan dan 50 orang diperiksa serta 36 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Op Mabuk adalah bertujuan bagi mencegah dan membanteras pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang di bawah pengaruh alkohol.
Mereka yang ditangkap gagal melepasi ujian pernafasan menggunakan mesin Evidential Breath Analyzer (EBA) untuk pengesahan kandungan alkohol dalam badan.
Operasi seperti ini akan diteruskan dalam usaha memastikan tiada pemandu memandu di bawah pengaruh alkohol.
utusanborneo.com.my/2021/12/29 |