SARIKEI: Jika ada minyak masak terpakai, jangan buang sembarangan. Ini kerana ada banyak kegunaannya selain boleh menjana pendapatan tambahan.
Dan tahukah anda, membuang sisa bahan masakan itu dengan sesuka hati bukan sahaja boleh mencemarkan alam sekitar tetapi juga satu kerugian! Pengurus Jee Success Enterprise, Jee Khing Kian berkata, minyak masak terpakai merupakan bahan penting bagi menghasilkan produk lain seperti sabun, pencuci, lilin dan lain-lain lagi.
Malah katanya, tidak ramai yang tahu minyak berkenaan boleh dijual kepada pemborong yang berminat untuk membelinya sekali gus mampu mendatangkan pendapatan lumayan.
“Syarikat Jee Success misalnya membeli di sekitar Sibu, Sarikei termasuk Sri Aman dan Betong.
“Kami juga mempunyai ejen yang dilantik untuk mendapatkan minyak ini daripada penduduk yang menjualnya (minyak masak terpakai).
“Ini juga bertujuan memudahkan proses pengumpulan dan pembelian di setiap tempat,” katanya kepada Suara Sarawak.
Selain sebagai sumber perolehan syarikat, aktiviti itu juga sebahagian usaha murni Jee Success dalam membantu kerajaan melindungi pencemaran alam sekitar.
Tidak hairan lah jika syarikat itu bergerak aktif membantu menjayakan penganjuran kitar semula anjuran pihak berkuasa tempatan termasuk di Sibu dan Sarikei.
Antaranya, kempen Perangi Aedes dan Aktiviti Pembelian Barangan Kitar Semula anjuran Majlis Daerah Sarikei (MDS) baru-baru ini.
Khing Kian memberitahu, setakat ini, sebahagian besar pelanggan mereka terdiri dalam kalangan suri rumah, peniaga restoran, kedai makan.
Setakat ini, beliau optimis penjualan minyak itu mempunyai pasaran yang cerah kerana belum diterokai sepenuhnya malah, masih banyak perlu dilakukan bagi menyedarkan masyarakat terhadap kelebihan bahan berkenaan.
“Lazimnya selepas tidak digunakan, minyak ini dibuang ke dalam longkang.
“Perubatan itu sebenarnya tidak bagus untuk persekitaran kerana bukan sahaja mengakibatkan parit kotor dan tersumbat tetapi juga menimbulkan bau tidak menyenangkan.
“Seandainya, minyak ini dikumpul dalam satu tempat khas dan kemudian dijual sudah pasti ada pulangannya.
“Malah untuk menyenangkan pelanggan, kami juga menyediakan kemudahan tersebut (tempat simpanan minyak),” katanya.
Menurutnya, minyak masak yang dikumpulkan kemudiannya dihantar ke Kuala Lumpur untuk diproses menjadi biodiesel.
BANTU… JS Enterprise membantu menjayakan Kempen Perangi Aedes dan Aktiviti Pembelian Barangan Kitar Semula anjuran Majlis Daerah Sarikei (MDS)
suarasarawak.my/2021/12
by AINI SELIKANG
December 28, 2021
|