Pengarah Balai Seni Negara Langkawi, Mohd Fairuz Ismail (dua kanan) diiringi Presiden Persatuan Karyawan Pulau Pinang, Datuk Dr Sohaimi Abdul Aziz (dua kiri) melancarkan naskhah Antologi Puisi 'Sejak Kau Datang COVID-19' di Balai Seni Negara Langkawi. - Foto NSTP/Hamzah Osman
LANGKAWI: Naskhah Antologi Puisi 'Sejak Kau Datang COVID-19' dihasilkan 52 penulis ASEAN dilancarkan di Balai Seni Negara (BSN) Langkawi di sini, malam tadi.
Diterbitkan Persatuan Karyawan Pulau Pinang (PKPP), naskhah itu memuatkan 61 puisi merangkumi sajak, pantun, syair dan gurindam yang menterjemahkan kebencian terhadap virus COVID-19.
Presiden PKPP, Datuk Dr Sohaimi Abdul Aziz, berkata proses menghasilkan naskhah itu agak mencabar kerana dilakukan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
"Naskhah ini memberi ruang penulis meluahkan perasaan daripada pelbagai sisi termasuk sejarah, perkembangan dan sikap manusia terhadap penyakit berbahaya itu.
"Bekas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dr Abdul Rahman Abbas dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk A Aziz Deraman turut menyumbang puisi mereka," katanya ketika ditemui.
Pelancaran naskhah terbabit disempurnakan Pengarah BSN Langkawi, Mohd Fairuz Ismail.
Sohaimi berkata, bagi projek selepas ini, pihaknya bersedia menerbitkan koleksi pantun membicarakan COVID-19 yang diyakini boleh menjadi terapi minda kepada pembaca.
"Koleksi ini dirancang dilancarkan awal tahun hadapan dan ia mempunyai nilai baik sebagai pendekatan untuk mengurangkan tekanan kepada pembaca," katanya.