|
Edited by kerisnaga at 19-11-2021 06:43 PM
Pulau Pinang cadang tambah fasiliti dos penggalak
November 19, 2021 @ 5:24pm
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow
GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang bercadang menambah fasiliti suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 bagi meningkatkan penerimaan suntikan berkenaan kepada penduduk di negeri itu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata pada masa sama, kesedaran mengenai dos penggalak juga perlu ditingkatkan.
Beliau berkata, ketika ini, hanya 60 peratus hingga 70 peratus penduduk hadir mendapatkan suntikan daripada keseluruhan jumlah janji temu yang diberikan menerusi aplikasi MySejahtera.
Untuk tujuan itu, katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) kini mengenal pasti beberapa lagi Organisasi Penjagaan Kesihatan (HCO), membabitkan dewan yang bersesuaian.
"Hingga semalam, sebanyak 73 fasiliti swasta (klinik dan hospital) serta sebuah HCO dengan kapasiti melebihi 1,000 suntikan sehari beroperasi sebagai pusat pemberian suntikan dos penggalak di negeri ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kon Yeow berkata, sistem kesihatan negeri itu masih terkawal dan sentiasa dalam keadaan bersiap siaga bagi mendepani penularan COVID-19.
Katanya, dari segi fasiliti perubatan, jumlah penggunaan katil akut untuk pesakit COVID-19 sehingga kelmarin, adalah sebanyak 37 peratus di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan 34 peratus di Hospital Kepala Batas.
"Penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit COVID-19 pula adalah sebanyak 53 peratus.
"Bagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) pula, jumlah penggunaan katil di Pusat Kecemerlangan Mara (MEC) di Jawi adalah sebanyak 17 peratus, manakala PKRC Kompleks Masyarakat Penyayang, diletakkan pada keadaan bersiap sedia dan akan diaktifkan apabila diperlukan," katanya.
Pada 18 Oktober lalu, Pulau Pinang memulakan pemberian suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 kepada petugas barisan hadapan secara berperingkat diikuti warga emas dan komorbid. – BERNAMA
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|