Bukit Mertajam: Polis sedang mengesan seorang pemandu kereta Perodua Kancil didapati memandu melawan arus hingga tindakannya itu tular di media sosial sejak pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi tiga minit dimuatnaik pemilik laman sosial Facebook pada 9.05 pagi memaparkan sebuah kereta dipandu melawan arus.
"Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku berhampiran Plaza Tol Juru, di sini pada 8.17 pagi semalam.
"Dalam video itu menunjukkan sebuah kereta Perodua Kancil dengan nombor pendaftaran tidak pasti telah melawan arus.
"Ekoran itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengesan pemandu kereta itu dan pengguna lebuh raya yang menyaksikan kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.
Menurutnya, maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ami Syuqri di talian 013 4194072 atau 04-5382222.