Georgetown: Ketika negara dilanda pandemik Covid-19, dua sahabat karib mengambil keputusan berani untuk berhenti kerja dan mengusahakan perniagaan sukan ekstrem kenderaan serba rupa bumi (ATV) di Pantai Esen, Batu Maung, di sini, pertengahan tahun ini.
Mohd Zuhair Hizami dan Mohamad Hafifi Norzain, kedua-duanya berusia 29 tahun memulakan operasi Taman Ekstrem ATV Pantai Esen itu pada 15 Julai lalu setelah meninggalkan kerjaya sebagai kontraktor pembinaan jalan.
Dua anak jati Kampung Permatang Damar Laut itu kini menggajikan empat anak muda berusia antara 23 hingga 29 tahun dari kampung itu yang kehilangan kerja akibat Covid-19, selain membantu masyarakat tempatan meningkatkan ekonomi menerusi kedatangan pelancong ke kampung itu.
"Membesar di sini (Kampung Permatang Damar Laut), kami nampak Pantai Esen berpotensi dikomersialkan tanpa perlu pembangunan yang merosakkan alam semula jadi apabila pengunjung boleh melakukan aktiviti ATV sambil menikmati pemandangan menarik di sini.
"Sebenarnya kami sudah lama merancang untuk memulakan perniagaan ini. Kami mengambil masa lima bulan untuk membersihkan kawasan, membina trek laluan ATV dan menyediakan fasiliti asas untuk kegunaan pengunjung hasil titik peluh berdua sambil dibantu rakan lain," kata Mohd Zuhair yang ditemui Bernama di taman ekstrem ATV berkenaan, baru-baru ini.
Mohd Zuhair berkata, taman ekstrem ATV itu beroperasi di atas tanah persendirian seorang penduduk kampung yang mengusahakan inap desa manakala sebahagian trek pula adalah kawasan keluarga Mohamad Hafifi menternak kambing sejak 10 tahun lalu.
"Tempahan pelanggan bagi hujung minggu sudah penuh hingga hujung tahun ini, malah kami sudah menerima slot tempahan untuk tahun hadapan," katanya.
Mohamad Hafifi berkata, mereka tidak dapat menerima banyak tempahan kerana hanya memiliki 12 ATV dengan 10 daripadanya untuk kegunaan pengunjung manakala dua lagi digunakan pekerja.
Beliau berkata pada permulaan, mereka berkongsi modal berjumlah RM60,000 bagi membeli ATV dianggarkan bernilai RM8,000 sebuah selain kerja pembangunan fasiliti di kawasan itu.
"Taman Ekstrem ATV Pantai Esen menawarkan perkhidmatan menunggang ATV sejauh empat kilometer yang menyusuri cerun bukit, lumpur, kawasan lalang, pantai dan kebun getah selama satu setengah jam dengan bayaran RM80 seorang.
"Kami merancang menambah aktiviti seperti 'terbang kelawar' (flying fox) dan tapak perkhemahan selain fasiliti seperti surau, pejabat dan ruang menunggu yang lebih selesa untuk kegunaan pengunjung," katanya.