CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 58158|Reply: 13

Misteri Etnik : Jawi Peranakan, Arab Penang, Chetti Melaka etc

[Copy link]
Post time 2-8-2010 12:54 PM | Show all posts |Read mode
Post Last Edit by Syd at 8-8-2010 11:10

Jawi Peranakan: Kuasai bidang perniagaan
Oleh Azrul Affandi Sobry
[email protected]
2010/05/09



PERJUMPAAN masyarakat Jawi Peranakan bagi meraikan doktor Jawi Peranakan yang pertama, Dr Ahmad Osman Merican (tengah, barisan hadapan).

Masyarakat ini juga dikenali Jawi Pekan, iaitu Melayu yang hidup di pekan

SEBUT Pulau Pinang, tidak dapat tidak ia akan dikaitkan dengan anak mami, mamak dan nasi kandar. Begitu kuat kaitannya sehinggakan sering kali filem tempatan pasti menggunakan tiga elemen itu dalam apa saja filem yang menceritakan masyarakat di pulau mutiara itu seperti Anak Mami The Movie dan Mami Jarum.

Namun, tidak ramai tahu sebenarnya anak mami bukan hanya berkaitan mamak dan nasi kandar tetapi juga membabitkan satu lagi masyarakat besar di Pulau Pinang iaitu Jawi Peranakan, satu masyarakat yang terhasil daripada perkahwinan campur antara wanita Melayu dengan lelaki dari India, Arab, Benggali, Punjabi dan Acheh. Sebelumnya, Jawi Peranakan dikenali dengan pelbagai gelaran iaitu Jawi Pekan, Jawi Pukan dan Jawi Bukan. Jawi membawa maksud Melayu dan istilah yang digunakan sebelum ini adalah untuk memberi gambaran masyarakat itu sebagai ‘Melayu bukan, Keling pun bukan’ (Keling merujuk kepada kaum India yang datang dari India Selatan).

Ramai juga yang tersilap atau salah faham apabila secara sembarangan mengkelaskan semua lelaki berwajah kacukan India sebagai mamak kerana realitinya wujud perbezaan antara masyarakat itu dengan Jawi Peranakan.

Kriteria mudah bagi membezakan mereka ialah anak yang lahir daripada perkahwinan campur lelaki India Muslim dengan wanita Melayu dikenali sebagai Jawi Peranakan, manakala jika perkahwinan itu hanya membabitkan India Muslim, barulah ia digelar mamak.

India Muslim menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar mereka tak kira di mana saja tetapi masyarakat Jawi Peranakan bukan saja berbahasa Melayu sepenuhnya bahkan ada antara mereka yang tidak tahu langsung bertutur bahasa Tamil. Namun ada sebilangan kecil masih memahami isi bahasa itu (itupun hanya generasi tua).
Meskipun kewujudan masyarakat Jawi Peranakan turut dikaitkan dengan perkahwinan campur antara Melayu dan lelaki Arab, Benggali, Punjabi dan Acheh, namun di Pulau Pinang, ia lebih sinonim dengan masyarakat India Muslim akibat penghijrahan rakyat dari India ke negeri selat itu sejak awal 1700.

Lantaran mewarisi aktiviti perniagaan yang dimulakan nenek moyang mereka ketika berhijrah ke Pulau Pinang, Melaka dan Singapura, kebanyakan masyarakat Jawi Peranakan terkenal dengan kekayaan dan hidup mewah sekali gus menjadi antara sebab mereka pernah dikenali sebagai Jawi Pekan, iaitu Melayu yang hidup di pekan.

Kemewahan mereka sering kali digambarkan dalam banyak filem, antaranya Mami Jarum apabila wanita Melayu dengan wajah anak mami memakai gelang emas sehingga mencecah ke siku dan suka menonjolkan kekayaan mereka, bukan sekadar omong kosong kerana ia memang satu realiti dalam masyarakat berkenaan.

Bukanlah semuanya kaya raya tetapi kekayaan adalah simbol masyarakat Jawi Peranakan. Lihat saja struktur kebanyakan rumah mereka yang besar dan mempunyai banyak bilik. Contoh paling mudah ialah sama seperti digambarkan dalam filem Madu Tiga lakonan Tan Sri P Ramlee ketika beliau keluar masuk dari pintu bilik ke bilik lain di rumah bapa mentuanya yang dilakonkan Ahmad Nisfu.

Memang susah untuk membezakan masyarakat ini dengan mamak atau India Muslim yang lain kerana jika dilihat dari aspek fizikal, tiada apa bezanya, hinggakan penulis terpaksa bertanya sendiri kepada kebanyakan orang yang ditemui - “Adakah anda Jawi Peranakan?”

Masalah tetap ada kerana ramai masyarakat Jawi Peranakan sendiri tidak pernah mendengar istilah itu kerana pada mereka adalah Melayu yang mempunyai darah campuran India atau Arab.

Maka, tidak hairan mengapa orang luar juga tidak biasa mendengar nama masyarakat itu kerana biasanya hanya mamak dan mami yang popular di mana saja sedangkan istilah itu sebenarnya sudah popular berabad lamanya sehinggakan akhbar bahasa Melayu pertama diterbitkan di negara ini juga diberi nama Jawi Peranakan iaitu pada penghujung 1870-an.

Jika diperhatikan secara terperinci, memang ada sedikit kelainan pada masyarakat Jawi Peranakan berikutan perkahwinan campur itu kerana wajah mereka lebih unik dan nampak ada kacukannya. Jika ada darah campuran Arab, hidungnya lebih mancung, kulit lebih cerah dan tak keterlaluan jika dikatakan lebih cantik.

Pertuturan bahasa Melayu utara mereka juga pekat. Lenggok bahasanya lemah lembut tetapi unik. Tidak sama seperti yang digambarkan dalam filem dan tidak sama dengan penduduk utara lainnya. Pendek kata, memang terhibur mendengar mereka berbicara.

Seperkara yang tidak dapat dinafikan ialah masyarakat ini ada ego yang tinggi terutama apabila bercakap mengenai taraf hidup kerana kebanyakan mereka memang kaya. Malah, tidak mengejutkan apabila dua tiga wanita yang ditemui dengan selamba berkata: “Tak ada RM10,000, jangan mimpi nak jadi menantu mami. Itu dulu, sekarang lagilah mahal.”

Kebanyakan masyarakat Jawi Peranakan berjaya sebagai peniaga. Ia adalah kegiatan turun temurun dan menjadi simbol ekonomi mereka. Di Pulau Pinang, kebanyakan kedai emas di kawasan Georgetown dimiliki masyarakat itu. Mereka juga dikatakan masyarakat yang paling berjaya di seluruh negara, bukan sekadar dalam bidang perniagaan, malah dalam bidang politik dan kerjaya lain.

Susah juga untuk mengkategorikan siapa antaranya masyarakat ini, namun berdasarkan kenyataan pengumpul barang antik di Pulau Pinang, Mohd Mustakim Mohd Mastam, 65, ramai tokoh politik berketurunan itu seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

“Semua mereka berdarah campuran. Ada berlaku perkahwinan campur dalam sejarah keluarga mereka dan mereka memang Jawi Peranakan. Ramai lagi sebenarnya berdarah Jawi Peranakan dan kebanyakan mereka adalah orang kenamaan dan berjaya dalam pelbagai bidang,” katanya dengan sedikit nada bangga.

Sebenarnya, masyarakat Jawi Peranakan bukan sekadar ada di Pulau Pinang tetapi di semua negeri selat iaitu Melaka dan Singapura kerana sejarah kewujudan masyarakat itu juga adalah akibat kemasukan pedagang luar iaitu dari India dan Arab ke Tanah Melayu pada zaman pentadbiran Kapten Francis Light sejak 11 November 1786.

Perkahwinan campur antara dua masyarakat ini juga menyebabkan berlakunya pertembungan budaya, malah tidak boleh dinafikan budaya India lebih banyak mempengaruhi cara hidup Melayu terutama dalam adat perkahwinan dan alat muzik.

Pernah jadi pemilik tanah terbesar di Pulau Pinang

KEBANYAKAN masyarakat Jawi Peranakan tinggal di kawasan bandar seperti di Georgetown, Pulau Pinang dan ia menjadi antara sebab masyarakat itu pernah dikenali sebagai Jawi Pekan satu ketika dulu.

Meskipun mereka adalah masyarakat yang terbentuk daripada perkahwinan campur antara lelaki India Muslim dari India dengan wanita Melayu, kestabilan ekonomi yang diwarisi daripada nenek moyang membolehkan masyarakat itu menjadi antara pemilik tanah terbesar di pulau itu selepas orang Cina.

Malah, berdasarkan cerita beberapa penduduk di situ, satu ketika dulu, iaitu sebelum 1950-an, Jawi Peranakan adalah masyarakat terkaya dan pemilik tanah terbesar di Pulau Pinang sebelum kebanyakannya tergadai lantaran gelombang aktiviti perjudian yang mempengaruhi orang Melayu.

Akibat terlalu banyak berhutang dengan ceti, akhirnya kebanyakan tanah mereka tergadai dan kini menjadi milik orang Cina. Namun, ia tidak sama sekali menghakis ciri utama masyarakat Jawi Peranakan sebagai antara penduduk terkaya di Pulau Pinang.

Itu hanya sebahagian daripada sejarah dan rentetan kehidupan masyarakat itu yang kini lebih selesa dikenali sebagai Melayu lantaran mahukan hak Melayu yang membolehkan mereka mendapat keistimewaan dalam banyak perkara termasuk pendidikan.

Justeru, semakin ramai generasi muda tidak lagi mengetahui susur galur keluarga mereka, malah ramai juga yang tidak mengetahui yang mereka sebenarnya berketurunan Jawi Peranakan lantaran sudah berasimilasi dengan kehidupan orang Melayu.

Untuk mendekati masyarakat itu bukan lagi semudah dulu kerana ketika itu mereka hidup dalam kelompok mereka sendiri, namun kini semakin ramai yang berpindah ke lokasi lain dan ramai juga memilih untuk keluar bekerja di luar Pulau Pinang.

Di Pulau Pinang sendiri, masyarakat itu ada di mana-mana dan dengan pelbagai cara hidup. Tidak lagi sekadar terus berniaga, ramai yang sudah menceburi bidang kerjaya lain. Bagaimana untuk mengenali mereka?

“Rupa mereka seperti orang India tetapi tidaklah seperti India sangat. Ada sedikit kemelayuan dan nampak lebih cantik daripada anak mami India Muslim.

Paling senang, mereka fasih dan sentiasa berbahasa Melayu.” Itu panduan diberikan seorang penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), Omar Yusoff.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 2-8-2010 12:57 PM | Show all posts
Misteri Etnik: Kapitan Keling pengasas masyarakat Jawi Peranakan Pulau Pinang
Oleh Azrul Affandi Sobry

2010/05/10

Perkahwinan Cauder Mohideen Merican dengan puteri kerabat Sultan Kedah menjadi titik tolak pengembangan keturunan Chulia di Tanah Melayu

SIRI 2
KAMPUNG Kolam atau sebelumnya dikenali sebagai Tanjung Puthukarei iaitu sebahagian Lebuh Chulia dan Jalan Masjid Kapitan Keling, mempunyai kaitan cukup kuat dalam pembentukan masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang.
Di situ Kapitan Keling atau nama sebenarnya, Cauder Moheedin Merican menetap bersama ibunya, Fatma dan adiknya, Muhammad Noordin Merican selepas berhijrah dari selatan India pada pertengahan 1770.

Nama Kapitan Keling tidak asing di kalangan penduduk Pulau Pinang terutama masyarakat Jawi Peranakan kerana beliau dikatakan sebagai pengasas kewujudan masyarakat itu di Pulau Pinang dan turut disegani kerana memiliki kekayaan serta kedudukan tinggi ketika itu.

Sebelum Kapten Francis Light mendarat di Pulau Pinang pada 1786, kedua-dua beradik Merican ini dikatakan banyak membuat perubahan di kawasan penempatan mereka sehinggakan pada 1800, Kapitan Keling dikenali sebagai seorang Chulia (gelaran untuk India Muslim ketika itu) terkaya dan berpengaruh di Pulau Mutiara itu.

Perkembangan masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang bertambah pesat dengan kemasukan Kapten Light apabila beliau menggalakkan lebih ramai pedagang dari India, China, Burma (kini Myanmar), Acheh, Siam dan Arab menetap di pulau itu dengan memberi geran tanah secara percuma kepada mereka.
Apabila jumlah populasi India Muslim semakin meningkat, Cauder Moheedin Merican dilantik sebagai Kapitan Keling pada 1801 yang bertanggungjawab sepenuhnya mengurus, menjaga dan mentadbir segala kepentingan komuniti India Muslim termasuk hal keagamaan.

Pada 2 November 1801, Gabenor Sir George Leith bagi pihak Hindia Timur Inggeris meluluskan sebidang tanah terletak di selatan Lebuh Malabar (kini Lebuh Chulia) kepada komuniti Islam termasuk yang dimiliki Kapitan Keling.

Selepas menerima surat kuasa daripada Gabenor Philips, Kapitan Keling membina sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Kapitan Kling dengan wang sendiri serta hasil sumbangan masyarakat Muslim di Pulau Pinang.

Mengenai kaitan Kapitan Keling dengan pembentukan masyarakat Jawi Peranakan Pulau Pinang ialah apabila beliau berkahwin dengan wanita Melayu, Tengku Wan Chik Taiboo atau dikenali sebagai Tengku Maheran, seorang puteri daripada kaum kerabat Sultan Kedah ketika itu, Sultan Abdullah Mukaram Syah.

Hasil perkahwinan itu, beliau dikurniakan enam cahaya mata iaitu Othman Naina Merican, Othman Sah Merican, Othman Nachiar, Othman Kandoo, Othman Bee Bee dan Othman Wan Niar.

Generasi itulah menjadi pemula kepada kewujudan masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang.

Kini, keturunan Kapitan Keling sudah menjangkau sehingga lapan generasi sekali gus membuktikan bahawa masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang juga sudah memasuki generasi kelapan.

Pengerusi Tetap Persatuan Melayu Pulau Pinang, Datuk Zainul Aziz Zainul Abidin, yang juga seorang Jawi Peranakan dari keturunan AP Sultan Mydin, berkata pengukuhan kawasan milik masyarakat India Muslim di Lebuh Chulia menyemarakkan lagi keinginan lebih ramai rakyat India untuk berhijrah ke Pulau Pinang.

“Orang India Muslim lebih suka berhijrah ke Pulau Pinang kerana mereka tak perlu risau apa-apa. Sampai saja di pulau ini, mereka hanya perlu ke Lebuh Chulia dan di situ mereka boleh berjumpa dengan ramai masyarakat sama dengan mereka.

“Lantaran itu, lebih ramai orang dari India masuk ke Pulau Pinang dan membina kehidupan di sini dan ramai juga yang mengahwini wanita Melayu. Orang Melayu juga suka mengahwinkan anak mereka dengan lelaki India Muslim lantaran kebanyakan mereka kaya raya, banyak harta.

“Tambahan pula ketika zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu, ramai orang Melayu hidup susah dan untuk mengelakkan anak dara mereka teraniaya, mereka lebih sanggup mengahwinkannya dengan India Muslim. Sekurang-kurangnya hidup mereka lebih terjamin,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai sejarah keluarganya sendiri, Zainul berkata, datuknya, A P Sultan Mydin masuk ke Pulau Pinang pada 1885 ketika berusia 10 tahun, sekali gus membuktikan ketika itu ramai lelaki India Muslim berani berhijrah ke situ walaupun pada usia terlalu muda.

Katanya, ini disebabkan keyakinan untuk berada di pulau itu kerana ramai saudara mara mereka berada di sana dan boleh dikatakan kawasan Lebuh Chulia dihuni begitu ramai masyarakat India Muslim.

“India Muslim di Pulau Pinang umpama perantau atau pendatang. Mereka perlu berusaha gigih jika mahu hidup selesa.

“Sokongan daripada keluarga yang masih berada di India juga membolehkan mereka mendapatkan dana untuk membeli tanah di sini. Itulah antara punca masyarakat Jawi Peranakan berkembang dengan pesat,” katanya.

Berbalik kepada pembentukan masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang, perkahwinan campur antara lelaki India Muslim dengan wanita Melayu membabitkan pelbagai status pekerjaan.

Ada antara mereka terdiri daripada bekas banduan dengan penghantaran banduan pertama ke pulau itu berlaku pada 1790 membabitkan dua banduan India Muslim, Eyeno Deen Sheikdar dan Mohamed Heiant.

Ramai daripada banduan dan buruh yang dihantar ke Pulau Pinang mengambil keputusan untuk terus menetap di situ kerana mereka dikatakan sudah biasa dengan suasana negeri itu.

Di sinilah berlaku banyak perkahwinan campur yang akhirnya menambahkan populasi masyarakat Jawi Peranakan di pulau utara Semenanjung itu.

Generasi keenam Kapitan Keling, Azmi Iskandar Merican, berkata harga tanah yang sangat murah ketika zaman pentadbiran Kapten Light membolehkan ramai India Muslim menceburi bidang hartanah termasuk Kapitan Keling sendiri yang menjadi antara punca utama kekayaan masyarakat Jawi Peranakan kini.

“Jasa Kapitan Keling dalam kedudukan Islam di Pulau Pinang juga sangat besar apabila beliau mewakafkan banyak tanah miliknya untuk aktiviti masyarakat Islam sekali gus membolehkan ia kekal menjadi kawasan perniagaan orang Islam seperti di Lebuh Pitt, yang dulu dikenali sebagai Jalan Kapitan Keling.

“Jika Kapitan Keling tidak bertindak sedemikian, diyakini agak sukar untuk orang Islam menjadi peniaga di Pulau Pinang kerana kini aktiviti itu semakin dikuasai kaum lain.

“Justeru, kemasukan dan perkembangan masyarakat Jawi Peranakan memberi impak besar terhadap Islam dan orang Melayu secara keseluruhan,” katanya.

Kini, selepas lebih 200 tahun masyarakat Jawi Peranakan terbentuk di Pulau Pinang, pengaruh yang dibawa masuk oleh India Muslim begitu kuat dan dapat dilihat dalam pelbagai aktiviti seharian termasuk budaya dan cara hidup masyarakat itu sendiri.

Boria yang terkenal di Pulau Pinang juga adalah satu aktiviti yang dibawa masuk oleh masyarakat dari India menerusi sepoi yang dihantar Kompeni Hindia Timur bagi membantu Kerajaan Kedah ketika dalam proses untuk mendapatkan Negeri Selat.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-8-2010 12:58 PM | Show all posts
Isteri kedua Cauder habiskan masa dalam kelambu kuning

2010/05/10

LAHIR pada 1759 di India Selatan dan tinggal di sebuah perkampungan kecil terletak di pelabuhan Paranggi Pettai atau kini dikenali sebagai Proto Novo dalam daerah Arcots, India, Cauder Moheedin Merican (Kapitan Keling) mempunyai tiga isteri di Pulau Pinang dengan seorang daripadanya ialah anak kepada Sultan Kedah iaitu Tengku Maheran.

Isteri pertamanya, wanita berketurunan Brunei, Fatimah Nachiar atau lebih dikenali sebagai Patheni Amma (dalam bahasa Tamil membawa maksud wanita yang taat kepada segala perintah suami), tidak mempunyai anak lantaran dikatakan tidak pernah menjalinkan hubungan kelamin dengan suaminya untuk hidup zuhud.
Menurut generasi keenam Kapitan Keling, Azmi Iskandar Merican, setiap hari Patheni Amma menghabiskan masa dalam kelambu kuning di kamar rumahnya. Beliau tidak gemar memakan daging tetapi hanya makan nasi dengan sayur yang ditanam sendiri oleh khadamnya.
Katanya, disebabkan terlalu mementingkan amal ibadat, beliau mengizinkan suaminya berkahwin dengan anak saudaranya sendiri, Che Aminah dan hasil perkahwinan itu membolehkan mereka mendapat seorang anak perempuan, Udman Nachiar.

“Kapitan Keling ada juga menjalankan perniagaan intan permata dan kerana perniagaannya itu membolehkannya keluar masuk ke Istana Kedah. Selepas beberapa pertemuan dengan Sultan Kedah ketika itu, Sultan Abdullah Mukaram Syah, baginda memperkenankan seorang puteri daripada kerabatnya, Tengku Wan Chik Taiboo untuk dikahwinkan dengan Kapitan Keling.

“Perkahwinan inilah yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang. Daripada perkahwinan itu, mereka dikurniakan enam cahaya mata,” katanya.

Seorang anak perempuan Kapitan Keling dikatakan berkahwin dengan Raja Berdagai di Sumatera. Keturunan mereka masih ada hingga kini iaitu di sekitar Kota Medan.
Sebagai seorang suami yang bertanggungjawab terhadap keluarganya, Kapitan Keling membina dua rumah batu sama besar dan sama tinggi untuk isteri kedua dan ketiganya di Love Lane berhampiran Lebuh Chulia, tidak jauh dari Kampung Kolam.

Kapitan Keling dikatakan meninggal dunia pada 10 September 1834 dan tarikh itu disahkan dalam mahkamah ‘The Prince of Wales Island’ pada 1969.

Sebelum itu, pada 1830, isteri pertamanya, Patheni Amma meninggal dunia dan dikhabarkan tiada sesiapapun mengetahui mengenai kematiannya meskipun sudah sebulan meninggal dunia di dalam kelambu.

Ini kerana sajian yang dihidangkan kepada Patheni Amma setiap hari kelihatan seperti dijamah seseorang, namun apabila pembantunya terbau sesuatu yang sangat wangi seperti ambar kasturi dari dalam kelambu dan meninjaunya, kelihatan Patheni Amma seperti sedang bersujud.

Tubuhnya sedikit basah dan apabila diteliti, didapati beliau sudah meninggal dunia hampir sebulan lamanya. Apabila Patheni Amma hendak dikebumikan di Kampung Kolam, hujan renyai-renyai dan bau air hujan itu seperti air mawar.

Atas sebab itulah sebahagian daripada India Muslim yang tinggal di Pulau Pinang mempercayai makamnya sebagai keramat dan menggelarnya ‘Keramat Mak Amma’.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-8-2010 01:14 PM | Show all posts
Post Last Edit by Syd at 2-8-2010 13:24

Misteri Etnik: Pengantin lelaki tak datang selagi belum terima nasi ‘maple’
Oleh Azrul Affandi Sobry
[email protected]
2010/05/12



ADAT perkahwinan masyarakat Jawi Peranakan pada masa dulu.


ADAT majlis perkahwinan masyarakat Jawi Peranakan sangat unik. Ini termasuk amalan menyuap gula dan manisan selain keperluan menyediakan katil kelamin bertiang tinggi. Adat ‘ponu’ iaitu menghantar nasi kepada ‘maple’ juga masih diamalkan. Ikuti siri ke-4 ini dalam menyingkap kehidupan Jawi Peranakan.

BUDAYA masyarakat Jawi Peranakan tidak banyak berbeza dengan Melayu. Cuma ada beberapa budaya unik diamalkan mereka yang diwarisi turun temurun dan sebenarnya dipengaruhi pengaruh India Muslim selain ada juga yang hampir dengan kebudayaan Hindu.
Namun, apabila diteliti secara terperinci dan selepas berbual dengan beberapa pakar dalam bidang kebudayaan, nyata sebenarnya budaya masyarakat itu banyak mempengaruhi kebudayaan Melayu dalam pelbagai aspek termasuk hiburan dan perkahwinan.

Ia sekali gus menguatkan hujah yang mendakwa kebanyakan budaya yang diamalkan masyarakat Melayu ketika ini lebih banyak diceduk dan dipengaruhi kebudayaan dari India malah ada yang mendakwa terlalu banyak budaya masyarakat itu menular dalam cara hidup orang Melayu selepas berlaku proses asimilasi melalui kahwin campur.

Antaranya, adat dalam perkahwinan seperti bersanding, merenjis, menepung tawar dan banyak lagi. Namun, di sebalik berlaku penyerapan budaya itu, masih ada keunikan yang hanya dapat dilihat dalam majlis perkahwinan masyarakat Jawi Peranakan dan India Muslim.

Menurut penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Omar Yusoff, yang pernah menyiapkan tesis sarjana mengenai masyarakat Jawi Peranakan, untuk menjadikan sesuatu majlis itu sempurna, mereka percaya ada masa tertentu boleh menentukan bahagia atau tidak ikatan perkahwinan itu.

Hari-hari tertentu dalam Safar dipercayai sebagai bulan yang tidak sesuai mengadakan kenduri perkahwinan dan dipercayai akan berlaku sesuatu yang tidak baik terhadap perkahwinan mereka seperti rumah tangga tidak kekal atau berlaku perceraian.

Kepercayaan itu masih kuat dalam budaya mereka sehingga kini.

“Kerana itulah kebanyakan ibu bapa akan pilih bulan yang sesuai untuk mengadakan majlis perkahwinan. Sudah menjadi kebiasaan mereka lebih suka memilih Isnin, Khamis atau Jumaat untuk melangsungkan majlis. Hari Rabu dalam Safar dikatakan hari dan bulan kemalangan atau bulan sial.

“Bulan dalam kalendar Islam yang selalunya dipilih ialah Syawal, Zulkaedah, Zulhijjah, kecuali Ramadan dan Safar. Ramadan memang tak sesuai kerana ia bulan puasa,” katanya.

Jika diperincikan proses dalam mendirikan rumah tangga dalam masyarakat Jawi Peranakan memang rumit dan mempunyai kisah yang panjang. Ia bermula dengan merisik sehingga upacara kenduri kahwin. Banyak kepercayaan dan pantang larang yang diamalkan dan sesetengahnya sehingga kini.

Ketika majlis bertunang, upacara bersanding kecil diadakan yang hanya membabitkan bakal pengantin perempuan. Ketika ini, keluarga lelaki akan menyuapkan gula kepada bakal pengantin perempuan. Malah ada majlis menyuap gula berlanjutan membabitkan semua tetamu.

Hidangan dalam majlis pertunangan dan perkahwinan juga selalu banyak manisan. Difahamkan upacara menyuap gula dan manisan digunakan ialah sebagai simbolik untuk mengharapkan sebuah ikatan perkahwinan yang penuh dengan kemanisan.

Upacara perkahwinan masyarakat Jawi Peranakan biasanya dijalankan gilang gemilang. Malah, pelamin dan bilik pengantin dihias dengan sangat cantik. Dulu, setiap bilik pengantin pasti dilengkapi dengan katil kelamin iaitu katil dengan empat tiang tinggi serta dihiasi kain berjuntai. Ia tidak ubah seperti yang sering ditonton dalam filem Hindi.

Ia mungkin tidak lagi digunakan kini, tetapi masih ada yang mengekalkan kebudayaan begitu, malah menurut pengumpul bahan antik, Mohd Mustaqim Mohd Mastan, lebih 80 peratus masyarakat Jawi Peranakan menggunakannya untuk pengantin baru.

“Katil pelamin ada keistimewaannya. Ia tinggi dan di bawahnya ada ruang yang luas untuk menyimpan barang. Dulu, orang Jawi Peranakan suka guna kembai (kotak mengkuang) untuk menyimpan pakaian dan barangan lain.

“Selain itu, bagi mereka yang tidak berkemampuan dan sekadar tinggal di rumah setingkat, katil itu tahan lasak dan tinggi bagi mengelakkan masalah ketika banjir. Ia juga digemari kerana menggunakan bahan logam tahan lasak dan boleh bertahan turun temurun,” katanya sambil menunjukkan beberapa koleksi katil kelamin di galerinya.

Selain itu, katanya, ada adat atau amalan ketika perkahwinan yang kebiasaan merumitkan tetapi sangat diambil berat oleh masyarakat itu seperti menuntut nasi maple (pengantin lelaki). Ia dikatakan melecehkan kerana selagi nasi tidak sampai ke pihak maple, rombongan pengantin lelaki tidak akan tiba walaupun ponu (pengantin perempuan) sudah lama menunggu.

“Pihak lelaki akan tunggu sampai pihak perempuan hantar nasi dalam bekas sia (bekas bertingkat). Kalau nasi tak sampai, keluarga maple akan tahan pengantin tak bagi pergi. Keluarga perempuan sudah jenuh menunggu tapi jika ia terlepas pandang hal itu, orang akan bercakap – “depa tak tahu adat”.

“Sebenarnya, pihak perempuan perlu isi nasi kenduri berserta lauk dalam bekas sia itu dan hantar ke rumah tumpangan pengantin lelaki. Maple tak perlu hantar nasi. Ponu kena hantar. Sebab itu tak ada istilah nasi ponu, yang ada hanya nasi maple. Selagi tak sampai, jangan harap maple boleh ke rumah ponu.

“Namun, meskipun ia satu adat penting yang masih diamalkan sehingga kini, ia tidak lagi setegas dulu. Sekarang, sama ada ponu hantar nasi maple atau tidak, rombongan pengantin tetap akan tiba,” katanya.

Masyarakat Jawi Peranakan dulu juga sangat mengambil berat dalam hal dara pengantin perempuan sehingga mereka akan menggunakan satu kaedah khas untuk memastikan pengantin perempuan masih dara sebelum ‘malam pertama’.

“Ia adat resam yang sangat dijaga dulu. Ia adalah tugas khas mak andam untuk menentukan mengenai status dara itu. Biasanya sehelai kain putih diletak di atas katil pengantin dan memeriksanya sama ada ada darah atau tidak selepas berlaku hubungan kelamin.

“Sudah menjadi keutamaan mereka iaitu mahu menantu yang sempurna atau tidak pernah dirosakkan. Jika didapati tiada darah atau disahkan mak andam yang pengantin perempuan sebenarnya tiada dara, ia akan diceraikan.

“Ia sebenarnya sesuatu yang rumit dan boleh merosakkan rumah tangga yang baru dibina tetapi sebenarnya ia membuatkan wanita dulu sangat menjaga maruah mereka. Apabila adat sebegini tak diamalkan, boleh dilihat banyak masalah sosial berlaku sekarang kerana wanita tak ambil kisah sangat soal ada dara atau tidak,” kata Omar ketika menambah cerita Mohd Mustaqim.

Mohd Mustaqim pula ketika mencelah cerita Omar berkata: “Ibu bapa Jawi Peranakan dulu tak ada kompromi. Mereka lebih sanggup menghadapi perceraian daripada dapat menantu yang sudah tak ada dara. Mereka tak nak maruah mereka jatuh.”

Menambah lanjut mengenai budaya perkahwinan masyarakat Jawi Peranakan, Omar berkata, meskipun Jawi Peranakan berasal dari darah India Muslim tetapi mereka tidak mengamalkan konsep perempuan meminang lelaki.

“India Muslim, perempuan perlu beri dowry (bayaran perkahwinan) kepada pihak lelaki. Namun, Jawi Peranakan sama seperti Melayu. Lelaki yang bayar. Mengenai jumlah hantaran pula, keutamaan utama ialah status atau kedudukan keluarga perempuan. Semakin tinggi, semakin mahal. Rupa dan pelajaran, nombor dua,” katanya.

Namun, kini kebanyakan kebudayaan dan adat yang digunakan dalam masyarakat itu semakin terhakis lantaran dilihat sebagai kurang sesuai dengan perkembangan masyarakat itu dalam komuniti Melayu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-8-2010 01:19 PM | Show all posts
Misteri Etnik: Jawi Peranakan utama kecemerlangan, buka madrasah
Oleh Azrul Affandi Sobry
[email protected]
2010/05/13

BORIA sangat sinonim dengan masyarakat Melayu Pulau Pinang. Namun siri 4 Misteri Etnik mengenai masyarakat Jawi Peranakan semalam mengulas panjang lebar mengenai budaya termasuk persembahan boria dan adat istiadat perkahwinan etnik itu. Siri kelima hari ini memaparkan sumbangan Jawi Peranakan terhadap wakaf dan pendidikan di Pulau Pinang.

KEMASUKAN pendatang luar ke Pulau Pinang pada awal era 1900 bukan setakat mempengaruhi budaya serta pembentukan kaum di pulau itu malah memberi impak besar terhadap sistem pendidikan terutama dengan kehadiran pedagang dari Tanah Arab.
Seperti diceritakan dalam siri sebelum ini, masyarakat Arab yang berkahwin dengan wanita Melayu juga membentuk masyarakat Jawi Peranakan. Ia secara jelas menggambarkan masyarakat ini menjadi penyumbang utama terhadap sistem pendidikan di Pulau Pinang, apatah lagi mereka memang terkenal dengan kualiti intelektual yang tinggi.
Satu daripada impak utama dikaitkan dengan masyarakat Jawi Peranakan ialah dengan terbinanya Sekolah Menengah Kebangsaan Agama AlMashoor yang pada awalnya dikenali sebagai Madrasah al-Quran di Lebuh Acheen.

Madrasah itu yang dibina pada 1916 dan dipimpin Guru Besar pertama, Al Syed Al Shaik Al Hadi mendapat sokongan yang menggalakkan terutama apabila turut ditaja kerajaan Arab Saudi sebelum berpindah ke kawasan lebih besar di Kampung Jawa Lama.

Di tapak baru ini, nama sekolah ditukar kepada Madrasah Mashoor Al Islamiah sempena nama seorang penghulu terkemuka di Pulau Pinang iaitu Tuan Habib Al Mashoor. Pada 1920, sekali lagi madrasah itu dipindah ke Lebuh Tek Soon di atas tanah kepunyaan Tuan Haji Bachik.

Ketika itu, perkembangan sekolah berlaku dengan cukup pesat dan yuran sebanyak RM2 dikenakan kepada setiap pelajar. Ketika penjajahan Jepun, ia ditutup selama tiga tahun lapan bulan sebelum dibuka semula pada 1945 selepas British kembali ke Tanah Melayu.
Pada 1957, sempena kunjungan Tunku Abdul Rahman Putra ke madrasah itu, beliau berjanji mendirikan bangunan baru bagi kedua-dua sekolah (lelaki dan perempuan). Waris Almarhum Tuan K M S Sultan Alaudin mewakafkan sekeping tanah dan rumah di Jalan Lunas untuk pembinaan tapak pembinaan bangunan sekolah perempuan.

Pada 1979, Kementerian Pelajaran mengambil alih kedua-dua madrasah secara rasmi dengan menempatkan pelajar lelaki di sebuah bangunan di Jalan Ayer Itam. Selepas 1984, SMKA (P) AlMashoor memulakan operasinya di tapak sekarang iaitu di Medan Lim Cheng Teik.

Itu sebahagian rentetan bagaimana sebuah madrasah yang memberi kesan besar terhadap pendidikan Melayu di Pulau Pinang dengan gerak atau usaha awalnya adalah berpunca daripada masyarakat Arab yang akhirnya menetap dan berkahwin dengan wanita tempatan.

Anak kepada Al Shaikh Mohamed Hussein Bakar Rafiee iaitu Guru Besar keempat di madrasah itu pada 1956 hingga 1970, Fuad M H Rafiee, berkata selepas madrasah dibuka, ia turut menjadi pencetus kepada kemasukan lebih ramai masyarakat Arab sehingga mewujudkan masyarakat Jawi Peranakan berdarah Arab di situ.

Katanya, kerana memerlukan tambahan guru dari Arab Saudi, pada 1920 bapanya ditawarkan untuk menjadi guru. Memandangkan beliau tidak mahu meninggalkan keluarga, bapanya membawa semua keluarga seramai tujuh orang ke Pulau Pinang menaiki kapal dari Jeddah dengan kadar tambang sebanyak dua riyal seorang.

“Pada 1932, bapa saya berkahwin dengan wanita Melayu dari Titi Serong, Perak. Bermula dari situlah keluarga Jawi Peranakan bermula dalam keluarga kami. Bapa saya juga yang bertindak membuka sekolah perempuan untuk Madrasah Mashoor Al Islamiah.

“Ia jelas membuktikan masyarakat Jawi Peranakan berdarah Arab banyak menyumbang kepada perkembangan pendidikan di Pulau Pinang. Mereka (orang Arab) bukan sekadar berdagang tetapi berdakwah. Lebih manis lagi, bapa saya pernah diberi gelaran ‘Harimau Tanah Melayu’ oleh Tunku Abdul Rahman,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, meskipun madrasah itu sudah diambil alih oleh kerajaan, Shaikh Mohamed Hussein meneruskan jasanya dengan membuka pula sekolah anak yatim persendirian hasil bantuan kerajaan Arab Saudi.

Kegigihan dalam menguasai bidang pendidikan memang seakan sudah sebati dalam masyarakat berdarah campuran itu dan ia turut diakui guru di SMKA (P) AlMashoor, Adnan Yaakob yang berpengalaman selama 22 tahun mengajar di sekolah itu.

“Masyarakat Jawi Peranakan memang terkenal dengan kesungguhan dalam pelbagai aspek dan kualiti disiplin mereka juga tinggi. Akhlak mereka cukup elok meskipun diakui ada juga yang bermasalah tetapi ia hanya segelintir kecil. Kebanyakannya cukup berkualiti dalam semua bidang.

“Malah, selepas mengalami proses percampuran dengan masyarakat Melayu, mereka lebih mudah bergaul dengan sesiapa saja dan mudah menyerap masuk dengan semua kaum. Kemahuan belajar mereka juga tinggi, namun kini sudah setanding dengan masyarakat lain,” katanya.

Bagi pelajar Tingkatan Lima sekolah itu, Nur Faridah Mohd Habib, generasi seusianya tidak banyak didedahkan mengenai asal usul masyarakat mereka, malah langsung tidak tahu mengenai istilah Jawi Peranakan meskipun tahu berlakunya perkahwinan campur dalam keluarganya.

Apa yang dia tahu ialah masyarakat Jawi Peranakan adalah orang yang sangat teliti dalam semua aspek termasuk kehidupan dan pelajaran. Katanya, ada sesetengah perkara yang diutamakan dalam masyarakat itu tidak sesuai dan renyah.

Seorang lagi pelajar berketurunan Jawi Peranakan, Nur Fatehah Abu Bakar, 17, berkata sikap suka menunjuk dan bersaing antara satu sama lain dalam masyarakat itu memberi kesan positif terhadap kemajuan mereka terutama dalam bidang pendidikan.

“Dalam keluarga saya sendiri, semuanya suka menunjuk-nunjuk. Semuanya suka bersaing. Semuanya nak dapat 11A. Dalam diri kami, ia seakan ada sikap suka bersaing dalam apa saja perkara. Ia seakan sudah diwarisi.

“Secara tak langsung, ia umpama satu motivasi kepada saya untuk bersaing dengan rakan lain di kelas. Selain itu, ia juga menjadi punca utama mengapa ramai orang dalam masyarakat ini yang berjaya menjawat jawatan tinggi. Dalam keluarga saya sendiri ada doktor, arkitek, peguam dan ada yang menjadi ahli politik,” katanya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-8-2010 01:20 PM | Show all posts
Misteri Etnik: Perniagaan sebati dengan masyarakat Jawi Peranakan
Oleh Azrul Affandi Sobry
[email protected]
2010/05/11


PENJUAL perabot terpakai, Mohd Mustaqim Mohd Mastan menunjukkan kotak simpanan yang digunakan oleh masyarakat Jawi Peranakan.
PENJUAL perabot terpakai, Mohd Mustaqim Mohd Mastan menunjukkan kotak simpanan yang digunakan oleh masyarakat Jawi Peranakan.
DALAM siri kedua semalam, Misteri Etnik mengupas mengenai sejarah kewujudan masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang yang diasaskan Kapitan Keling pada era awal 1700-an. Hari ini pembaca berpeluang mengetahui lebih lanjut kegiatan ekonomi dan cara hidup masyarakat itu.

PERNIAGAAN adalah punca utama kekayaan masyarakat India Muslim di Pulau Pinang. Sikap gigih berusaha lantaran tidak mahu ketinggalan di bumi orang menyebabkan kebanyakan masyarakat itu yang masuk ke Tanah Melayu pada era 1770-an berjaya membina empayar ekonomi yang stabil sehingga kini.
Kekayaan itu jugalah yang diwarisi generasi selepas mereka termasuk masyarakat Jawi Peranakan yang dilihat mempunyai status ekonomi cukup baik dengan ramai masih meneruskan cara hidup generasi sebelumnya iaitu sebagai peniaga.
Tidak semua menjadikan perniagaan sebagai sumber ekonomi kerana kini sudah ramai di kalangan masyarakat Jawi Peranakan menjadi profesional dalam pelbagai bidang sekali gus membuktikan darah yang diwarisi itu melahirkan generasi yang kuat berusaha tidak kira dalam apa jua lapangan sekalipun.

Tidak seperti mamak yang turut mempunyai darah India Muslim, masyarakat Jawi Peranakan tidak sesuai dikaitkan dengan perniagaan nasi kandar yang popular di Pulau Pinang. Nasi kandar hanya sesuai dikaitkan dengan mamak (India Muslim) manakala Jawi Peranakan menjalankan perniagaan lain seperti barang kemas dan kain.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Datuk Seri Mohd Yussof Latiff, berkata sejarah kemasukan India Muslim pada awal 1770 adalah sebagai peniaga kerana melihat kepada peluang perniagaan yang terbuka di Pulau Pinang ketika itu.

“Mereka termasuk yang datang dari Arab dan Acheh mempunyai misi dan seakan tahu melihat masa depan orang Islam di Pulau Pinang. Mereka mewakafkan tanah di kawasan bandar dan ia kekal sebagai kawasan orang Islam seperti di Wakaf Haji Kassim dan Wakaf Hashim Yahya. Itulah uniknya mereka.
“Mereka peniaga dan cara hidup itu diturunkan kepada hartawan dan pemimpin dulu. Ia sekali gus membolehkan ramai orang Jawi Peranakan memiliki harta dalam kawasan bandar. Dalam bandar di Pulau Pinang, jika dikatakan Melayu, pastinya ia masyarakat Jawi Peranakan. Merekalah Melayu yang menguasai kawasan bandar.

“Berbeza dengan kawasan luar bandar seperti Batu Feringgi dan Tanjung Tokong, di situ memang Melayu tulen, Melayu asal. Perniagaan bagai sudah sebati dengan Jawi Peranakan dan kekal sehingga kini. Jika tidak secara besar-besaran, ia dibuat secara kecil-kecilan,” katanya.

Berbalik kepada tindakan mewakafkan tanah untuk orang Islam oleh generasi terawal Jawi Peranakan, beliau berkata, jika ia tidak dilaksanakan sebegitu, pasti kini tiada lagi saki baki generasi masyarakat itu di bandar kerana ia akan dikuasai masyarakat lain.

Dalam aspek pelan ekonomi, ia membuktikan masyarakat itu mempunyai visi unik untuk mengekalkan pengaruh dan kedudukan mereka termasuk mengukuhkan status orang Melayu sendiri bersaing di dalam kawasan bandar.

Malah, masyarakat Jawi Peranakan sudah diiktiraf oleh British sebagai antara penyumbang utama terhadap perkembangan ekonomi Pulau Pinang seperti ditunjukkan oleh O M Nordin sehingga wujud jalan atas namanya (Nordin Street dan Lebuh Nordin).

“Kedatangan mereka ke pulau ini sebenarnya memberi impak besar terhadap masyarakat Melayu secara keseluruhannya. Mereka bukan sekadar membawa budaya perniagaan tetapi turut mengukuhkan Islam di pulau ini dengan bertindak sebagai pendakwah.

“Namun, ketika ini adalah tidak adil lagi jika melabelkan mereka sebagai golongan peniaga semata-mata kerana kini sudah ramai yang menceburi bidang profesional lain termasuk menjadi pentadbir dan sebagainya. Peluang kesamarataan sudah diberi kerajaan.

“Masyarakat Jawi Peranakan juga mempunyai budaya penyatuan komuniti yang kuat. Ia sekali gus membolehkan mereka bersaing dengan orang Cina (majoriti di Pulau Pinang). Penyatuan masyarakat ini sebenarnya jauh lebih kuat berbanding Melayu,” katanya.

Berita Harian turut meninjau aktiviti ekonomi masyarakat Jawi Peranakan. Ini jelas sekali dilihat di sekitar kawasan Lebuh Chulia dengan kebanyakan kedai kain, barang kemas termasuk minyak wangi diusahakan peniaga daripada etnik itu.

Satu daripadanya, syarikat S O Almashoor, kedai barang kemas yang diusahakan Syed Idrus Syed Ahmad bersama isterinya, Sharifah Zaharah Syed Omar Almashoor.

“Nenek moyang kami mai ke Penang memang sebagai peniaga. Depa niaga kain dari Indonesia. Ada juga yang beli tanah getah untuk dijadikan harta. Kebanyakan orang peranakan berdarah Arab memang peniaga.

“Depa memang kena rajin pasai depa dah susah sejak dari negara asal. Kalau tak rajin, payah juga nak bersaing dengan orang lain terutama orang Cina di Penang. Keluarga kami dari Yaman bukan orang senang. Kebanyakannya susah.

“Masa kami pi sana pada 1972 dulu, keluarga kami di sana masih susah. La ni baru ada minyak. Baru nampak senang sikit. Sebab itu, bila depa mai ke Penang, depa kena pulun (kerja) lebih sikit,” cerita Sharifah dalam loghat utara agak pekat namun masih mudah difahami.

Syed Idrus pula berkata, budaya sebagai peniaga di kalangan masyarakat Jawi Peranakan dilihat bakal terhakis pada masa depan lantaran kebanyakan anak mereka tidak lagi berminat dengan kerjaya itu dan lebih suka bekerja makan gaji dalam bidang profesional lain.

“Kami generasi ketiga. Anak-anak kami sendiri sudah tak ramai yang berminat menjadi peniaga. Mereka lebih selesa jadi jurutera dan sebagainya sebab persaingan kini terlalu kuat. Namun, apa saja bidang yang mereka ceburi, kebanyakan berjaya,” katanya.

Seorang lagi peniaga dari keturunan Jawi Peranakan berdarah Arab, Fuad M H Rafie, yang menjalankan perniagaan barangan kraftangan khat, berkata asal masyarakat Jawi Peranakan adalah sebagai pendatang sekali gus memerlukan mereka aktif mencari rezeki untuk meneruskan hidup.

“Sama juga dengan Melayu kita jika ke negara lain. Selalunya, anak watan tak aktif di negara sendiri, tapi sebaliknya jika ke negara lain. Kebanyakan orang Arab seperti keluarga saya pula datang ke Pulau Pinang untuk berdakwah dan membuka sekolah di sini.

“Perniagaan saya ini adalah secara kebetulan. Keluarga kami bukan peniaga pada awalnya. Saya dulu tinggal di Mesir dan apabila pulang ke Pulau Pinang, ada bawa bersama barangan berbentuk hadiah. Apabila saya lihat orang sini minat dengan barangan Arab, saya mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan barangan itu di sini,” katanya
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 2-8-2010 01:26 PM | Show all posts




Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-8-2010 01:27 PM | Show all posts
link : http://www.facebook.com/jawiperanakanpulaupinang

anak mami, sila join yea... hehe
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 2-8-2010 03:58 PM | Show all posts
Pengkishan Melayu Pulau Pinang: Sessi Sejarah Lisan
Rapporteur Omar b.Yusoff

Mukadimmah

Sesi sejarah lisan diadakan pada jam 3.30 petang. Sesi ini dipengerusikan oleh Prof. Omar Farouk Bajunid iaitu seorang Profesor daripada Hiroshima City University, Jepun. Ahli-ahli panel yang mengambil bahagian dalam sesi ini ialah: Cikgu Haji Yusoff Azmi Merican (Kumpulan Waris & Nazir Wakaf, Persatuan Warisan Pulau Pinang), Cikgu Mohamed bin Yahaya (Lebuh Acheh, Pulau Pinang) dan Cikgu Mohd. Bahroodin Ahmad (Penasihat kebudayaan, Persatuan Warisan Pulau Pinang).


Sejarah Lisan Masakini
Dalam memperkatakan tentang sejarah lisan, pengerusi menegaskan kebanyakan masyarakat hari ini mengabaikan sejarah lisan. Sehubungan itu, beliau menyatakan adalah perlu bagi kita merekodkan sejarah umat Islam di Pulau Pinang yang disampaikan oleh golongan tua secara lisan sama ada dalam mana-mana perjumpaan ataupun secara temubual dengan mereka. Jika tidak berbuat demikian cerita-cerita yang diketahui oleh mereka mengenai umat Islam di Pulau Pinang akan hilang begitu sahaja ditelan arus zaman. Ini akan merugikan generasi mendatang kerana mereka tidak lagi mempunyai ingatan mengenai sejarah kaum Melayu Selat di Pulau Pinang. Beliau berpendapat, walaupun pulau ini kecil tetapi ia agak unik kerana pulau ini begitu kaya dengan warisan sejarah pelbagai etnik seperti Melayu, Cina, India, Arab, Acheh dan sebagainya

Dalam usaha memperkasakan sejarah umat Islam di Pulau Pinang, beliau mencadangkan pihak-pihak tertentu seperti ahli-ahli sejarah, antropologi, arkeologi dan sebagainya hendaklah terus berusaha memperbanyakkan lagi penyelidikan mengenai masyarakat ini. Lantaran itu, dalam usaha menjayakan penyelidikan seumpama ini beliau mengharapkan lebih banyak lagi sarjana-sarjana tempatan tampil kehadapan untuk mengkaji sejarah umat Islam di Pulau Pinang daripada pelbagai sudut, sama ada perdagangan, kebudayaan dan sebagainya.


Pembentangan Ahli-Ahli Panel

1. Cikgu Yusoff Azmi Merican
Tajuk : Kaum 'Jawi Peranakan' Di Pulau Pinang

Sejarah kaum 'Jawi Peranakan' di Pulau Pinang telah disampaikan oleh Cikgu Yusoff Azmi Merican. Beliau menceritakan serba ringkas mengenai asal usulnya. Dari segi genealogi, beliau merupakan generasi ke-6 Hashim Yahya Merican. Pada tahun 1970, beliau telah dilantik menjadi Nazir Masjid Hashim Yahya di Jalan Perak. Beliau sendiri adalah keturunan 'Jawi Peranakan' dan menunjukkan sijil beranaknya yang menyebut bangsanya sebagai 'Jawi Peranakan'. Menurut beliau, golongan ini mempunyai darah campuran India Muslim. Beliau menegaskan komuniti India Muslim telahpun berhijrah ke Pulau Pinang sebelum Pulau Pinang dibuka oleh Kapten Light. Mereka datang ke Pulau Pinang dengan menaiki kapal layar yang dibuat sendiri. Kebanyakan daripada golongan India Muslim yang datang ke Pulau Pinang terdiri daripada kaum Marakayar yang berasal daripada Selatan India. Kawasan penempatan awal mereka adalah di sekitar Lebuh Chulia.

Menurut beliau, Marakayar berasal daripada perkataan Arab. Dari segi etimologi Arab, Marakayar bermaksud perahu ataupun kapal. Tujuan utama kedatangan mereka ke Pulau Pinang adalah untuk berdagang. Namun demikian, ada juga di antara mereka yang datang ke sini sebagai banduan. Setelah banduan-banduan ini dibebaskan ada yang terus menetap di Pulau Pinang. Malah mereka lebih suka menetap di Pulau Pinang. Ada juga di antara mereka telah berkahwin dengan wanita-wanita Melayu Pulau Pinang dan akhirnya menetap terus di Pulau Pinang.

Menurut beliau, pembentukan kaum 'Jawi Peranakan' di Pulau Pinang adalah hasil daripada perkahwinan campur di antara lelaki India Muslim dengan wanita Melayu. Dengan wujudnya perkahwinan seumpama ini, lahirlah satu generasi campuran. Dari segi fizikal, generasi ini mempunyai rupa paras yang lebih cantik. Selain itu, kaum ini juga adalah lebih cerdas dari segi pelajaran. Dari segi hantaran, beliau menyatakan anak 'Mami Pulau Pinang' memang terkenal dengan harganya yang tinggi, seperti kata orang Pulau Pinang 'tak dak RM 5,000 jangan pinang anak Mami'.

Dari segi pendidikan, golongan 'Jawi Peranakan' memang mengambil berat tentang pelajaran. Pada awalnya sistem pondok memainkan peranan penting untuk memberikan pendidikan kepada masyarakat Pulau Pinang. Justeru, kebanyakan daripada golongan tua kaum 'Jawi Peranakan' mendapat pendidikan di sekolah-sekolah seumpama ini. Mereka begitu mahir dalam penulisan Jawi. Dalam usaha untuk menyalurkan maklumat kepada masyarakat Melayu di Pulau Pinang maka lahirlah majalah-majalah yang dihasilkan oleh kaum 'Jawi Peranakan'. Salah satu daripadanya ialah majalah Jawi Peranakan. Setelah wujudnya sistem pendidikan sekular, ramai daripada anak-anak 'Jawi Peranakan' mendapat pendidikan di sekolah-sekolah seumpama ini dan ada di antara mereka memegang jawatan tertinggi.

Menurut beliau, Sheik Basha Othman Merican adalah di antara kaum 'Jawi Peranakan' yang menjawat jawatan tertinggi. Beliau pernah dilantik sebagai Pengetua di Sekolah Province Wellesley dan pernah menjadi penyelia di RIDA Training College. Untuk mengetahui budaya 'Jawi Peranakan', beliau menyarankan kita tonton beberapa filem yang dihasilkan oleh Allahyarham Tan Seri P. Ramlee.

Dalam usaha untuk menjalankan pelbagai aktiviti di Pulau Pinang, lahirlah Persatuan Melayu Pulau Pinang. Persatuan ini telah memainkan peranan penting dalam hal-hal kebajikan masyarakat Melayu di Pulau Pinang. Menurut beliau, Sir Dr. Kamal Ariff, datuk kepada Nazir Ariff, adalah juga diantara orang yang dianggap penting dalam persatuan ini. Mengenai persatuan, beliau juga telah menyentuh secara ringkas mengenai Bendera Merah dan Bendera Putih. Menurutnya persatuan ini cukup terkenal di Pulau Pinang satu ketika dahulu dan ia dipengaruhi oleh kongsi gelap Cina yang wujud di Pulau Pinang.

Dari segi interksi sosial, beliau menyatakan di sekitar tahun 1930an ataupun 1940an timbul konflik di antara golongan peranakan Arab dengan golongan 'Jawi Peranakan'. Namun begitu, konflik tersebut dapat diselesaikan. Selain itu, kaum 'Jawi Peranakan' juga telah memainkan peranan penting dalam menentang pembentukan Malayan Union. Selain itu, kaum ini juga telah berjuang untuk menuntut kemerdekaan.

Kesimpulan
Sebagai rumusan, pengerusi menyatakan persoalan untuk mengekalkan identiti sesuatu kaum merupakan persoalan utama dalam setiap masyarakat. Walaupun mereka terdiri daripada orang Acheh, 'Jawi Peranakan', Mendeling, Java, India Muslim dan sebagainya. Soal utama yang dibincangkan adalah mengenai pengekalan identiti mereka. Justeru, menurut beliau jika kita ingin memahami 'Jawi Peranakan' jalur Islam itu adalah merupakan tunggak utama yang dapat mengeratkan kaum ini dengan orang Melayu di Pulau Pinang. Di samping itu, dalam usaha mewujudkan integrasi sosial di antara kedua-dua kaum ini, penubuhan persatuan-persatuan dianggap penting. Persatuan yang ditubuhkan diibaratkan sebagai payung yang dapat melindungi kepentingan kedua-dua kaum ini, sama ada berkaitan hal-hal politik, ekonomi mahupun sosial.


2. Cikgu Mohamed Bin Yahaya.
Tajuk : Penempatan Orang Melayu Di Lebuh Acheh

Beliau dilahirkan pada 1938 di rumah No. 69, Lebuh Acheh dan masih menetap di alamat tersebut. Dari segi genealogi, beliau merupakan generasi ke-5 Sheikh Omar Basheer. Beliau juga telah menyentuh secara ringkas mengenai kariernya. Dari segi penempatan umat Islam di kawasan bandar, beliau menyatakan kalau orang India Muslim dan 'Jawi Peranakan' terkenal di Lebuh Chulia, maka orang Melayu juga terkenal di Lebuh Acheh. Kawasan ini merupakan kawasan penempatan awal orang Melayu.

Menurut beliau, pada abad ke-18, Acheh telah pun diduduki oleh pedagang-pedagang Arab dan India Muslim. Tempat ini dijadikan oleh mereka sebagai pusat penyebaran agama Islam di Gugusan Pulau-Pulau Melayu. Salah seorang daripada pedagang-pedagang Arab ini ialah Tengku Syed Hussain Al-Aidid yang sememangnya sudah terkenal di kalangan orang Melayu Pulau Pinang.

Pada tahun 1792, Tengku Syed Hussain Al-Aidid dan puak-puaknya telah berhijrah ke Pulau Pinang. Rombongan mereka telah menetap di Acheen Street yang terdapat sekarang ini. Kemudiannya, beliau telah membangunkan sebuah pejabat dan gudang untuk menjalankan perniagaannya di kawasan tersebut. Berdasarkan kepada harta yang dimilikinya, Kapten Light menganggapnya sebagai salah seorang yang paling kaya di Pulau Pinang pada ketika itu.

Menurut beliau, pada realitinya apabila ada penempatan orang Melayu atau pun orang Islam, Masjid merupakan perkara utama untuk dibangunkan bertujuan untuk menjalankan segala perintah Allah. Lantaran itu, sebuah Masjid telah dibina oleh Syed Hussain Al-Aidid di kawasan ini di sekitar tahun 1808. Masjid ini dikenali sebagai Masjid Melayu di Acheen Street. Selain mendirikan sebuah Masjid, Syed Hussain Al-Aidid juga telah memainkan peranan penting dalam menjaga hal-hal kebajikan orang Melayu di Lebuh Acheh. Beliau banyak membantu orang Melayu di kawasan tersebut.

Menurut beliau, Syed Hussain Al-Aidid telah kembali keRahmatullah pada tahun 1820an. Beliau telah disemadikan berdekatan dengan Masjid tersebut. Memandangkan Syed Hussain Al-Aidid banyak berjasa kepada masyarakat Melayu di Pulau Pinang, beliau mengharapkan pihak pemerintah hendaklah melakukan sesuatu sebagai tanda menghargai jasa-jasanya dan usahlah dibiarkan segala pengorbanannya yang lalu hanyut ditelan zaman dan generasi mendatang tidak mengenal sejarah Syed Hussain Al-Aidid.

Menurut beliau, pada ketika itu, orang Melayu juga memainkan peranan penting dalam usaha mereka menyalurkan maklumat kepada kaum sendiri. Sehubungan itu, wujudlah persuratkhabaran Melayu pada ketika itu. Salah satu daripadanya ialah Sahabat Pena yang dikeluarkan pada 1938. Pengetuanya ialah S.M. Zainal Abidin. Dengan adanya persuratkhabaran Melayu sedikit sebanyak ia dapat memperkayakan minda orang Melayu pada ketika itu, terutamanya mengenai hal-ehwal Pulau Pinang. Selain itu, untuk menyampaikan mesej kepada orang Melayu, Boria merupakan salah satu daripada saluran yang digunakan. Beliau juga menyatakan, pada ketika itu, pelabuhan di Pulau Pinang juga telah digunakan sebagai tempat perkumpulan bagi orang Islam yang hendak mengerjakan Haji.

Kesimpulan
Sebagai rumusan, pengerusi menyatakan selain daripada golongan 'Jawi Peranakan' dan orang Arab, orang Melayu juga memainkan peranan penting di kawasan bandar. Oleh yang demikian golongan ini tidaklah boleh dikatakan sebagai golongan yang tinggal terpencil di kawasan desa sahaja. Beliau juga menyatakan, sebagai mengenang jasa Syed Hussain Al-Aidid pihak kerajaan haruslah memberikan pengiktirafan kepadanya dan sejarah mengenainya haruslah dikembangkan kepada generasi mendatang. Dengan adanya sejarah-sejarah seumpama ini, beliau menyatakan orang Melayu juga tidak ketinggalan dalam pembangunan Pulau Pinang suatu masa dahulu, terutamanya berkaitan perdagangan sepertimana yang dijalankan oleh golongan India Muslim mahupun golongan bukan Islam.

3. Cikgu Mohd. Bahroodin Bin Ahmad.
Tajuk : Orang Melayu Pulau Pinang Dari Perspektif Budayanya

Beliau telah menceritakan serba ringkas mengenai latar belakangnya. Beliau mempunyai pengalaman yang banyak mengenai adat resam Melayu, boria, bangsawan, tarian dan lain-lain pementasan tradisional. Untuk menyampaikan tajuk di atas, beliau memfokuskan kepada empat perkara utama iaitu: Dialek Melayu Pulau Pinang, pakaian, upacara perkahwinan dan makanan Melayu di Pulau Pinang.

Beliau berpendapat, Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang unik. Walaupun, negeri ini dianggap kecil, tetapi ia cukup kaya dengan kepelbagaian warisan budayanya. Menurutnya, di Pulau Pinang terdapat komuniti Rawa, Minang, Acheh, Jawa, 'Jawi Pekan', India Muslim dan sebagainya. Dengan wujudnya interkasi sosial di antara golongan-golongan ini, pada hari ini budaya juga telah bercampur aduk. Namun begitu, masih terdapat sesetengah daripada komuniti ini mengekalkan adat resam mereka. Pengekalan ini merupakan satu usaha yang dilakukan oleh mereka dalam mempertahankan garis sempadan etnik mereka agar identiti mereka terus kekal.

Menurut beliau, walaupun rata-rata masyarakat Malaysia menganggap bahasa orang Melayu Pulau Pinang itu adalah Bahasa Melayu. Tetapi, dari segi dialek terdapat perbezaannya di antara satu kawasan ke satu kawasan yang lain. Sebagai contoh, dari segi sosio-linguistik, dialek yang digunakan di kawasan Datok Keramat adalah berbeza dengan mereka yang tinggal di Telok Kumbar ataupun di Balik Pulau. Di samping itu, beliau juga menyatakan terdapat beberapa bahasa Tamil yang dipinjamkan oleh orang Melayu Pulau Pinang, terutamanya berkaitan istilah persanakan. Misalnya, Mamak, Mamu, Mami, Nana, Jee, Ba dan sebagainya. Dari pemerhatian beliau, istilah-istilah persanakan ini banyak digunakan di kalangan kaum "Jawi Pekan'.

Mengenai pakaian orang Melayu Pulau Pinang suatu ketika dahulu, ia dianggap menarik dan setiap komuniti mempunyai pakaian tradisi tersendiri. Sebagai contoh, orang 'Jawi Pekan' memakai 'Baju T' di dalam dan diluarnya mereka memakai Kot berserta dengan Kain Pelaikat dan juga Songkok yang dibeli daripada Acheh. Menurut beliau, ada juga sesetengah komuniti Melayu yang menggantungkan Jam di baju mereka dan ada juga yang memakai Songkok secara menegak dan untuk melaram ada juga di antara mereka menyerengkan Songkok mereka. Beliau menyatakan pada ketika itu, terdapat pelbagai nama jolokan mengenai pakaian Melayu antaranya seperti 'Kod Asam Pedas', 'Baju Kancing Lima' dan sebagainya. Baju-baju yang dipakai juga melambangkan status seseorang. Selalunya baju-baju seumpama ini dipakai oleh masyarakat Melayu di bandar.

Beliau juga menyentuh tentang adat perkahwinan orang Melayu Pulau Pinang. Menurutnya, pada masa dahulu upacara perkahwinan begitu meriah sekali. Biasanya mereka akan pegang pada adat resam dan semua sanak-saudara akan berkumpul lebih awal sebelum kenduri perkahwinan kaum kerabat mereka. Mengenai adat perkahwinan, beliau menyatakan terdapat adat 'suap gula' yang diamalkan dalam masyarakat Melayu Pulau Pinang. Berdasarkan adat ini, ahli keluarga akan menyuapkan gula dan juga susu ke mulut pengantin. Justeru, beliau berpendapat adat ini merupakan adat yang diamalkan di kalangan India Muslim di Pulau Pinang. Adat ini dianggap sebagai sesuatu yang unik yang terdapat dalam acara perkahwinan masyarakat Melayu Pulau Pinang, kerana di negeri-negeri lain adat seumpama ini tidak dilakukan.

Selain itu, beliau juga menyentuh tentang kepelbagaian makanan yang terdapat di Pulau Pinang. Menurut beliau, Pulau Pinang terkenal dengan makanan yang pedas-pedas terutamanya 'Nasi Kandar'. Walau bagaimanapun, ramuan yang digunakan pada masa dahulu tidak sama berbanding pada masa sekarang. Pada masa itu, harga makanan di Pulau Pinang murah dan makanannya cukup enak, seperti Mee Goreng dan Laksa Pulau Pinang. Menurut beliau lagi, pada ketika itu, terdapat orang India Muslim yang menjual 'Kara****' yang disumbat dengan Tauge dan disaluti dengan kuah yang cukup enak rasanya. Akibat daripada peredaran masa, banyak daripada makanan-makanan seumpama ini tidak lagi terdapat di Pulau Pinang. Namun begitu, makanan-makanan yang dijual pada masa sekarang terlalu tinggi harganya. Misalnya, satu pinggan Pasembor yang dijual di Padang Kota Lama, harganya mencecah RM 30 sepinggan. Justreru, dalam membincangkan tentang adat resam Melayu Pulau Pinang, beliau mengembalikan nostalgia di zaman silamnya.

Kesimpulan
Sebagai rumusan, pengerusi menyatakan apabila memperkatakan tentang kebudayaan, ia bukan sahaja menyentuh budaya non-material malah kita juga akan menyentuh budaya material. Budaya material juga tidak kurang banyaknya yang terdapat di Pulau Pinang jika kita hendak memperkatakan tentang hal ini. Kepelbagaian budaya yang terdapat di Pulau Pinang jika dihidupkan kembali sudah tentulah kita dapat menggamit orang luar untuk berkunjung ke Pulau Pinang.

http://www.penangstory.net.my/bm-content-paperomar.html
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-8-2010 04:03 PM | Show all posts
Post Last Edit by Syd at 2-8-2010 16:04

Jiwa Chetti Melaka
Oleh Azrul Affandi Sobry

2010/07/11



Etnik Hindu Peranakan tiada kaitan Chettiar, sebaliknya banyak amal budaya Melayu

KETIKA diminta menyelami kehidupan masyarakat Chetti Melaka, hanya satu bermain di fikiran - apakah mereka berkait rapat keturunan pemberi hutang yang dikenali imej berkain putih diselit di pinggang sambil mengepit payung hitam di bawah ketiak.

Nyata, sangkaan itu meleset sama sekali kerana Chetti Melaka tidak pernah terbabit sebagai pemberi hutang, malah mempunyai ciri-ciri yang sama sekali berlawanan kelompok ‘chettiar’ pemberi hutang yang berasal dari daerah berbeza. Masalah mungkin timbul kerana nama masyarakat itu seakan menyamai kumpulan chettiar berkenaan. Bagaimanapun, selepas merujuk pelbagai dokumen, termasuk geran kuil yang dikeluarkan penjajah Belanda, masyarakat itu diberi nama Chitty tetapi ia seakan-akan tidak popular dan enggan digunakan kebanyakan mereka atas beberapa sebab yang hanya mereka sendiri ketahui.

Bagi masyarakat itu yang kini kebanyakannya menetap di Kampung Chetti, Melaka, etnik minoriti itu lebih tepat dikenali Chetti, malah ia turut digunakan secara rasmi bagi menamakan muzium mereka (Muzium Chetti) yang terletak di pintu masuk perkampungan itu.

Alasan mereka, penggunaan perkataan Chitty dilihat kurang sesuai lantaran ia sebenarnya hanya mewakili satu kluster daripada 10 kumpulan lain yang terbabit secara langsung dengan kewujudan masyarakat itu di Melaka sejak beratus tahun lamanya akibat hubungan perdagangan kawasan di Benua Hindi dengan beberapa negeri di Nusantara.

Sekali imbas, tiada apa yang menarik mengenai masyarakat ini. Tetapi kesempatan menyelami cara hidup mereka mendedahkan banyak keunikan terutama membabitkan budaya, bahasa, sejarah serta sumbangan mereka.
Paling unik, bahasa mereka kerana meskipun Chetti Melaka beragama Hindu dan dikatakan lebih kuat amalan agamanya, namun mereka hanya fasih berbahasa Melayu termasuk ketika bertutur dengan keluarga di rumah. Mereka juga tidak pandai berbahasa Tamil kecuali generasi baru.

Melihatkan cara hidup mereka, tiada banyak beza dengan orang Melayu. Berkain batik di rumah, menu masakan saling tidak tumpah rasanya dengan menu orang Melayu, bermain congkak dan gasing, malah gemar menonton filem Melayu dengan hanya sebilangan kecil suka menonton filem Tamil atau Hindi.

Terkejut juga ketika melintasi rumah di Kampung Chetti apabila terdengar sepasang suami isteri sedang leka berkaraoke menyanyikan Dondang Sayang dan lagu joget, malah lebih mengujakan apabila mereka berjoget seakan-akan menghayati irama dan seni kata lagu yang diputarkan.

Ketika menjenguk di rumah sebelah, ada dua tiga orang remaja dan kanak-kanak sedang leka bermain gasing, manakala beberapa gadis menumpukan perhatian terhadap guli dalam permainan congkak, sekali gus membuatkan penulis berasakan seperti berada dalam perkampungan Melayu.

Tidak timbul rasa janggal bergaul dengan mereka. Faktor budaya Melayu yang mereka amalkan menenggelamkan rasa kurang selesa dan perbezaan antara dua bangsa. Jauh sekali untuk berbicara soal perkauman kerana di situ, India, Cina dan Melayu hidup seperti satu bangsa.

Secalit rasa makanan mereka, selera Melayu sebegitu terasa. Tidak lengkap menu harian tanpa sambal belacan sebagai pembuka selera. Lauk pauknya juga tidak sama masakan India. Paling enak tentulah lauk masak pindang dan tidak lupa sejenis masakan campuran sayur yang dikenali sebagai ‘haram jadah’.

Dalam konteks berbeza, Chetti Melaka dikenali sebagai masyarakat Hindu Peranakan Melaka hasil perkahwinan campur antara orang India dengan penduduk tempatan, sama ada Melayu dan Cina. Difahamkan, ia turut membabitkan beberapa masyarakat minoriti lain seperti Jawa dan Batak.

Dari segi amalan kehidupan, masyarakat ini boleh disamakan masyarakat Baba Melaka, lantaran terlalu kuat mengamalkan budaya tempatan dan hanya menggunakan istilah bahasa Tamil untuk kegunaan khusus membabitkan soal agama.

Jika Chettiar memang terkenal sebagai pemberi hutang dan berniaga, Chetti Melaka pula lebih terdedah kepada pelbagai pekerjaan, termasuk makan gaji dan hanya sebilangan kecil menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Perkahwinan campur dengan orang tempatan juga mengubah wajah masyarakat ini, sekali gus kelihatan sangat berbeza dengan orang India, khususnya generasi baru yang ada berkulit putih gebu, sawo matang dan hitam manis. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan ramai juga dalam kalangan gadis mereka mempunyai rupa paras menarik.

Asimilasi dengan masyarakat tempatan menyebabkan bilangan etnik ini kian berkurangan. Di Kampung Chetti yang menjadi satu lokasi penempatan mereka, hanya ada kurang 25 rumah daripada 50 kediaman itu yang didiami keluarga berketurunan itu manakala bakinya disewa orang Cina. Jika mahu dihitung, populasi masyarakat itu dikatakan sekitar 500 orang di seluruh Malaysia. Ini dikaitkan dengan pencapaian akademik mereka dalam pendidikan dalam kalangan generasi mudanya juga menyumbang kepada kemerosotan jumlah populasi masyarakat Chetti Melaka apabila mereka berhijrah ke bandar sama ada untuk menyambung pengajian atau berkahwin dengan kaum lain.

Menyentuh mengenai sumbangan ke atas perkembangan agama Hindu di Melaka, Chetti Melaka adalah penyumbang utama pembukaan puluhan kuil di Bandaraya Bersejarah itu. Sehingga kini masih ada 10 kuil yang aktif digunakan termasuk Sri Poyatha Venayager Moorthi, kuil besar tertua yang masih digunakan di negara ini.

Pada awal kedatangan mereka ke Melaka, masyarakat ini membina perkampungan di Kampung Keling, bersebelahan Sungai Melaka yang kini menjadi kawasan perniagaan utama masyarakat Cina, sebelum berhijrah ke Tengkera.

Walaupun mengikut catatan sejarah nenek moyang mereka berasal dari benua Klingga Partanam yang terletak di Pantai Koromadel, apabila ditanya, tidak seorangpun yang tahu lokasi keturunan mereka boleh ditemui di India dan kebanyakannya mengatakan tiada hubungan lagi dengan negara asal mereka itu.

Masyarakat ini mengamalkan ajaran Siva Hindu yang agak ortodoks. Seperti kaum Baba Nyonya, ia tidak jauh berbeza kerana wanitanya memakai kebaya labuh atau pendek dengan kerongsang dan bersanggul, manakala lelakinya berkain pelikat, berbaju cekak musang, sehelai selempang di bahu kiri dan memakai talpa (sapu tangan).

Bagaimanapun, cara berpakaian ini sudah semakin sukar dilihat kecuali dalam kalangan warga tua, itupun bukan menjadi pakaian harian, mungkin pengaruh dunia moden yang bukan sekadar merubah cara hidup masyarakat Chetti Melaka, malah membabitkan pelbagai kaum dan bangsa di dunia ini.

Jika sesiapa ke Gajah Berang, Melaka, pasti berkesempatan melihat sebuah muzium Chetti Melaka di tepi jalan yang dibina pada 2003 oleh kerajaan Melaka, selain sebuah rumah asal tertua di perkampungan itu yang bersetentangan muzium berkenaan.

'Panggil Chetti, bukan Chitty'

"KAIN batik kepala dua,
Pakai mari si Nyonya Melaka,
Sanggul cantik berisi bunga,
Pakai mari perempuan Chitty Melaka."

Ini antara bait pantun yang dilontarkan secara spontan oleh seorang wanita tua masyarakat itu, sekali gus membuktikan Chetti Melaka juga pandai berpantun seperti orang Melayu lainnya.

Namun, persoalannya Chetti atau Chitty? Ia bukan menunjukkan dua masyarakat berbeza tetapi wujud dua pendapat berbeza mengenai nama satu masyarakat peranakan di negara ini yang hanya ada di Melaka dengan majoritinya lebih selesa menggunakan Chetti, namun ada pula fakta sejarah merujuk mereka sebagai Chitty.

Ahli jawatankuasa masyarakat itu ketika ditemui lebih cenderung menggunakan nama Chetti Melaka lantaran ia dikatakan lebih adil dan tepat untuk mewakili 10 kasta asal mereka yang berhijrah dari India, meskipun mereka sedar nama Chitty sudah termaktub dalam kebanyakan dokumen sejarah termasuk geran tanah kuil yang dikeluarkan Belanda sejak 1770.

Pemegang Amanah kedua Chetti Melaka, K Arunasalam, 51, berkata kurang sesuai untuk merujuk masyarakat mereka sebagai Chitty kerana nama itu sebenarnya mewakili satu kasta dalam masyarakat itu iaitu kasta Chitty, satu kumpulan peniaga yang berhijrah ke Melaka satu ketika dulu.

“Memang Chitty dianggap sebagai ketua kepada sembilan kasta lain tetapi tidak adil menggunakan nama mereka untuk mewakili kami. Justeru, nama Chetti lebih sesuai. Ia sama sekali tidak sama dengan Chettiar (golongan pemberi hutang).

“Meskipun diakui penggunaan nama Chetti menyebabkan berlaku kekeliruan kerana sama dengan Chettiar, ia sebenarnya lebih tepat untuk digunakan dalam masyarakat ini,” katanya.

Merujuk sejarah kewujudan masyarakat itu di Melaka, kasta Chitty mengetuai sembilan kasta lain iaitu Pillay, Pathair, Mudaliar, Padiachee, Konar, Rajah, Pandaram, Naikel dan Kallan untuk menggerakkan ekonomi masyarakat itu di Tanah Melayu dengan beberapa kasta berkenaan turut terbabit sebagai tukang emas, pengawal keselamatan dan pengembala.

Mungkin disebabkan kasta Chitty dilihat lebih dominan dalam kelompok mereka menyebabkan Belanda mengeluarkan geran atas nama kumpulan itu, namun kini ia tidak lagi digunakan secara rasmi termasuk dalam urusan persatuan, pembinaan muzium dan turut tidak lagi popular di kalangan generasi baru di Kampung Chetti, Gajah Berang.

Realitinya, kata tokoh sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, nama Chetti Melaka tidak pernah wujud dalam sejarah kerana semua dokumen bertulis termasuk penulisan hasil kajian oleh K Narayanasamy mengenai masyarakat itu pada 1967 juga menggunakan nama Chitty Melaka.

“Ia jelas tertera dalam semua geran dan dokumen rasmi Belanda serta Inggeris. Dalam fakta sejarah, nama Chitty Melaka dianggap sebagai nama rasmi masyarakat mereka. Saya sendiri kurang faham mengapa mereka menukar nama mereka kepada Chetti Melaka, sedangkan ia menimbulkan keraguan ramai orang yang tidak mengenali mereka.

“Ramai orang luar akan mengaitkan mereka dengan Chettiar sebagai kumpulan pemberi hutang kerana penggunaan nama Chetti. Justeru, bagi saya, sewajarnya mereka kekal menggunakan nama asal iaitu Chitty,” katanya.

Meskipun wujud perbezaan pendapat mengenai penggunaan itu, masyarakat seluruh negara sudah mengenali mereka dengan nama Chetti Melaka dan seakan-akan sudah diwartakan sebagai nama rasmi di Melaka apabila digunakan secara rasmi bagi semua urusan membabitkan masyarakat itu di Melaka.

Justeru, penulisan artikel mengenai kaum ini akan menggunakan nama Chetti Melaka atas permintaan persatuan masyarakat itu sendiri.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 8-8-2010 11:12 AM | Show all posts
Misteri Etnik: Melayu Rawa
Oleh Mohd Azis Ngah
[email protected]
2010/08/08





Aktiviti perlombongan emas punca penghijrahan Melayu Rawa dari Sumatera, Indonesia sejak abad ke-17

ADA yang menggelar mereka Melayu Rao biarpun masyarakat ini lebih sinonim dengan Melayu Rawa. Malangnya tidak ramai yang mengenali etnik yang banyak bertumpu di beberapa negeri di Semenanjung seperti Perak, Pahang.
Mengikut tulisan Prof Dr HM Bukhari Lubis (Universiti Pendidikan Sultan Idris) dan Afriadi Sanusi (Universiti Malaya), Melayu Rao ini ditakrif sebagai beragama Islam, bermastautin di Rao, berasal dari keluarga Rao melalui hubungan darah atau persemendaan tanpa batas sempadan, berbahasa Rao dan mengamal adat budaya Rao. Menarik sebenarnya untuk dibincangkan mengenai hubungan Rao itu dengan Malaysia. Ringkasnya, sekitar 1830-an ada seramai 25,000 orang Rao di Lembah Rao, Sumatera, namun pada tahun 2009, bilangannya sekitar 60,000 orang saja di sana kerana majoritinya sudah berhijrah ke Malaysia dan Singapura.

Jika dikaji, terlalu banyak fakta mengenai orang Rao, lebih menarik jika diteliti bagaimana mereka berhijrah ke Tanah Melayu, berbekalkan status sebagai golongan mahir dalam pentadbiran, keagamaan, kerohanian dengan bekerja sebagai petani, pedagang dan pelombong.

Kaum Rao yang pertama berpindah ke Tanah Melayu adalah golongan petani sekitar abad ke-5 Masihi. Faktor perdagangan bebas ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka pada pada ke-15, hanya menggalakkan lebih ramai orang Rao merantau, berdagang dan terus bermastautin di sini.

Kerancakan aktiviti perlombongan emas di abad ke-17 Masihi dan bijih timah di abad ke-18 mendorong sebahagian besar pelombong Rao ke Tanah Melayu melalui negeri selat (Singapura, Melaka dan Pulau Pinang).
Mereka membawa bersama budaya dan adat resam tradisi yang masih diamalkan sehingga kini sebagai identiti Orang Rao. Mengamati fizikal mereka, tiada banyak berbeza dengan Melayu Malaysia cuma bahasa pertuturannya berbeza iaitu seakan-akan Minang.

Namun, antara keunikan identiti mereka adalah makanan tradisional popular Kelamai atau Gelamai yang sebegitu popular ketika Ramadan dan lebaran. Mengikut istilah Dewan Bahasa dan Pustaka, Kelamai ialah sejenis kuih menyamai dodol manakala Gelamai sebagai penganan diperbuat daripada tepung pulut, gula dan santan.

Ia sebenarnya boleh dianggap lemang Orang Rao tetapi digelar kelamai kerana bahan ramuannya berbeza dengan lemang tetapi teknik membakarnya hampir sama.

Apa yang membezakannya dengan lemang ialah buluh kelamai atau buluh Hawa akan dibuang kulitnya berbanding buluh lemang yang dibakar dalam keadaan asal. Buluh jenis itu jauh lebih besar dan mempunyai ruas pendek berbanding buluh lemang yang mempunyai ruas panjang.

Kelebihannya - kelamai boleh disimpan dan tahan lama sehingga beberapa bulan lamanya. Malah, bak kata orang tua-tua Melayu Rao, nenek moyang mereka sebelum ini memasak kelamai untuk sambut Aidilfitri tetapi boleh disimpan sehingga menjelang Aidiladha.

Itulah keistimewaannya tetapi bukan sembarangan orang mahir memasaknya. Jika tersilap, adunan yang digelar ‘omei’ boleh menghasilkan rasa kurang enak. Bahkan jika teknik membakar dan memotong buluh tidak tepat, pasti isinya akan mentah.

Kelamai banyak ditemui dijual di tepi jalan di sekitar Gopeng, Perak, tetapi mungkin juga ada dibuat di tempat lain seperti di Negeri Sembilan, Pahang dan Pulau Pinang, cuma jumlahnya agak terhad atau lebih kepada keperluan sendiri.

Proses menyediakan bahan kelamai ini memerlukan tempoh yang lama kerana bahan yang disiap diadun akan diperap selama tiga hari sebelum dimasukkan ke dalam buluh untuk dibakar. Ia bertujuan supaya bahan itu lebih sebati dan akan membentuk corak tertentu pada potongan isi kelamai masak.

Di Kampung Gunung Mesah Hilir, Gopeng, penulis menemui keluarga yang mewarisi kemahiran membuat kelamai. Safuan Sulaiman, 19, dan kakaknya, Shahira, 20, dilihat sibuk menyediakan kelengkapan memasak kelamai.

Dilihat pada usia mudanya, hampir tidak percaya mereka sebenarnya cukup mahir. Bermula dengan proses memasukkan omei ke dalam buluh, Shahira memperlihatkan kemahiran tanpa menumpahkan sedikit pun bahan yang dicurah ke dalam buluh. Bahan itu tidak perlu diisi penuh ke dalam buluh kerana jika mendidih dan masak, isinya akan melimpah keluar.

Dua beradik itu mewarisi kemahiran ayah mereka, Allahyarham Sulaiman Shaharudin dan ibunya, Sawiyah Mohd Isa, 40, yang memperoleh kemahiran itu daripada datuknya Shaharudin Karim, 80.

Jangan terkejut, adik mereka Syafik, 17, dan Shazwan, 13, juga membantu dan boleh dikatakan bakal pewaris pembuat kelamai untuk dijual. Ketika ibunya keluar bekerja di sekolah berdekatan, Safuan dan Shahira boleh diharap untuk memastikan 70 batang kelamai siap dimasak dan disimpan elok untuk dijual pada hari-hari biasa. Namun jumlahnya mencecah kira-kira 500 batang sehari ketika Ramadan dan lebaran.

Proses menyediakan omei agak rumit bermula dengan mencampurkan beras pulut dengan gula merah sebelum mengadunkan dengan kerisik, tahi minyak dan gula putih. Semua bahan itu akan digaul sehingga sebati dan diperap selama tiga hari di dalam bekas bertutup.

Shaharudin yang ditemui beberapa jam selepas itu juga cukup yakin dengan kemampuan cucunya kerana bagi beliau, semua ilmu sudah diturunkan kepada arwah anak dan cucunya. Pada masa sama, beliau tetap memantau mereka bagi memastikan resepi asli mereka kekal.

“Satu petua paling mudah ialah teknik memotong buluh, mengupas kulit dan mengukur saiz yang sesuai. Buluh itu perlu dikupas songsang, daripada pucuk ke umbi kerana ia lebih mudah. Begitu juga potongan di ruas paling bawah, mesti ada baki sepanjang sejengkal.

“Baki itu sebenarnya akan memudahkan kita untuk membakar, jika terlalu pendek, mungkin isinya akan mentah kerana kelamai dimasak menggunakan bahan panas bara api, bukannya api yang menyala. Sebab itulah proses memasaknya lama, kadang kala sehingga lapan jam,” katanya.

Setiap batang kelamai biasanya akan menggunakan dua ruas buluh Hawa yang dikenali sebagai buluh Kelamai dan satu daripada ruasnya akan ditebuk. Ia juga memerlukan teknik khas iaitu mesti menebuk dulu lubang ruas diikuti proses membuang kulit buluh bagi mengelakkan buluh pecah.

Ketika kami ke rumah Safuan, kami mendapati satu unggun api besar sedang dibakar untuk mendapatkan bara dan akan diatur selari sepanjang tempat membakar yang digelar lantaran.

Rao terkenal adat berjojak, tobek

ISTILAH Rawa merujuk kepada satu etnik suku bangsa Melayu daripada keturunan Rao, sebuah kacamatan di dalam Kabupaten Pasaman di Sumatera Barat. Negeri Rao berjiran dengan Tapanuli (utara) yang didiami Mandailing dan Sumatera Barat (selatan) yang majoriti penduduknya Minangkabau.

Di sebelah barat Rao ialah Selat Mentawai dan timur bersempadan dengan Riau. Perkataan Rawa hanya popular di Makkah dan Malaysia tetapi kurang dikenali di Rao.

Pengkaji sejarah masyarakat Rawa, Zabidin Ismail (Jari Basurek) merujuk kepada catatan penulis, Wan Mohd Shaghor Abdullah yang mengatakan, istilah Rawa di Malaysia bermula daripada Haji Abdullah Nordin al-Rawi yang mengasaskan syarikat percetakan dan penerbitan, Persama Press di Lebuh Aceh, Pulau Pinang (1921).

Pada asalnya, di sebut ar-Rawi mengikut istilah Arab yang bermaksud dibangsakan kepada ‘Rao;’ tetapi lama kelamaan menjadi ar-Rawa yang menunjukkan seseorang itu berasal dari Negeri Rao. Penggunaannya bermula awal abad ke-19 khususnya ketika pengajian Islam berkembang di Makkah.

Berdasarkan kajian Zabidin melalui bukunya, ‘Sekondak Hati’ beliau memberikan pendapat dan analisis bahawa wujud tanggapan bahawa asal usul orang Rao adalah dari Pagar Ruyung.

Bagaimanapun, katanya jika merujuk kepada penelitian Dr Mukhtar Naim dan pendapat daripada MO Parlindungan yang menyatakan orang Rao adalah dari Champa iaitu suku bangsa Lubu, bukannya orang Pagar Ruyung.

Hal ini sesuai dengan situasi pendapat orang tua di Rao yang menerima petua bawah mereka adalah orang Lubu dan sesuai dengan peninggalan sejarah klasik Rao yang menganut Hindu dan Budha yang dibawa dari Champa.

Penghijrahan beramai ramai ke Tanah Melayu berlaku semasa Perang Paderi (1816-1833) di Indonesia semasa zaman pemerintahan kolonial Belanda. Sebahagian besarnya terdiri daripada golongan istana, ulama, cendikiawan, panglima dan tentera.

Mereka kini bertuah kerana wujudnya pertubuhan Jalinan Anak Rao Malaysia (JARO) yang didaftar pada 6 Disember 2007 bagi menguruskan, mengumpul, mengembangkan serta menghidupkan semula budaya Rao.

Setiausaha JARO, Tahiruddin Ahmad berkata, berdasarkan kajian tidak rasmi, ada kira-kira 250,000 keturunan Rao di Malaysia dan 700 daripadanya sudah mendaftar dengan JARO.

“Masih ada kira-kira 150,000 Rao di Sumatera Barat atau di penempatan asal. Kami pernah adakan seminar Melayu Rao buat pertama kali pada UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris) yang dihadiri 1,500 orang, itu suatu yang di luar jangkaan,” katanya.

Orang Rao sebenarnya cukup terkenal dengan adat Berjojak (Pantang Tanah), kemahiran tobek (membela ikan air tawar), masakan tradisional gulai lemak dan kelamai (lemang).

INFO: Proses penghijrahan:

# Negeri Sembilan
Ke Seri Menanti sekitar 1773 dan Sungai Ujong 1848

# Pahang
Melalui Sungai Hulu Pahang (Bera, Hulu Pahang, Kuala Lipis, Raub, Bentong) sekitar 1857-1863), antaranya Tengku Khairul Alam, Pakeh Khalifah Saka dan Tujuan Saka.

# Selangor
Melalui Sungai Klang (Hulu Langat), Sungai Selangor (Kalumpang, Ampang, Kuala Lumpur, Gombak) sekitar 1867 - 1873.

# Perak
Melalui Sungai Perak, Sungai Bidor, Sungai Bernam (Teluk Intan, Kuala Kangsar, Larut, Kinta, Gopeng, Temoh, Tapah, Kampar) sekitar 1875-1876.
Antara tokoh - Datuk Sakti Putih.

# Kelantan
Melalui Pahang ke jajahan Pasir Mas melalui Sutan Amir Kaharuddin Budiman.

Aktiviti JARO:
# Lawatan 'Balik Kampung' ke Rao, Sumatera Barat.
# Majlis Silaturahim sempena Hari Raya Aidiladha.
# Lawatan ke negeri dan daerah yang mempunyai orang Rao.
# Tabung dan majlis makan malam.

Bahan asas 'omei' kelamai (lima gantang)
# 60 hingga 70 batang buluh (mengikut saiz)
# 12 biji kelapa dijadikan kerisik.
# 35 biji kelapa dimasak tahi minyak
# 20 kilogram berat pulut dikisar menjadi tepung
# 3 kg tepung gandum
# 8 kg gula putih
# 21 kg gula merah
# 3 kg tepung pulut.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-12-2010 02:51 PM | Show all posts
Misteri Etnik: Jati diri Ponorogo
Oleh Azrul Affandi Sobry
[email protected]
2010/12/12
Harta warisan, budaya unik kelebihan masyarakat Jawa di sekitar Johor

Siri 1

RAMAI beranggapan masyarakat Jawa ini sama saja walau di mana saja mereka berada, biarpun hakikatnya kelompok ini terbahagi kepada beberapa etnik kecil yang menjurus kepada tanah asal mereka di Indonesia. Namun, pernahkah anda tahu mengenai kewujudan masyarakat Jawa Ponorogo di Malaysia? Mendengar namanya saja sudah pelik, apalagi penceritaan mengenainya sebegitu asing. Malah, dalam kalangan orang Jawa sendiri, khususnya generasi mudanya pun tidak mengenai kelompok Ponorogo itu.

Secara ringkas, Jawa Ponorogo adalah masyarakat terbesar bertumpu di kawasan Sri Medan, Batu Pahat dan antara teramai di daerah Johor itu. Malah, mereka juga kekal satu-satunya masyarakat Jawa yang tegar meneruskan cara hidup serta budaya asal Jawa dibawa dari Indonesia.

Jawa Ponorogo berasal dari daerah di Jawa Timur iaitu Ponorogo dan kemasukan mereka ke sekitar Batu Pahat dan sebahagiannya di Selangor berlaku pada awal 1920 untuk memantapkan ekonomi mereka lantaran kesukaran membina kehidupan sempurna di tanah asal di Indonesia.

Kesempatan mendekati mereka di kawasan Sri Medan terutama di kampung Parit Warijo dan Parit Baru, menyerlahkan lagi realiti yang menampilkan kelainan sebagai penerus budaya Jawa asli dari Indonesia. Perbezaan yang ditampilkan pula bukan sekadar bahasa tetapi juga cara hidup serta wajah kampung itu sendiri.
Penulis sendiri terpegun seketika melihat persekitaran ketika melintasi jalan Parit Warijo ke rumah Ketua Kampung, Sukadi Kusmadi, baru-baru ini. Di kiri kanan jalan, kami dihidangkan pemandangan rumah besar berhalaman luas dan bersih dikelilingi pokok kelapa sawit yang tersusun kemas. Bukannya tiada kampung lain sebersih itu tetapi pemandangan kali ini mengagumkan penulis kerana selain kebanyakan rumahnya ibarat banglo mewah, halamannya juga luas yang boleh memuatkan lebih 10 kereta sekali gus.

Biarpun dikelilingi pokok kelapa sawit, persekitarannya sentiasa bersih yang menjadi antara keunikan cara hidup atau budaya Jawa Ponorogo dan bukan Jawa lain secara umumnya.

Malah Jawa Ponorogo juga unik kerana banyak perbezaan dengan Jawa lainnya termasuk aspek bahasa dan budaya berikutan asal usul mereka dari Jawa Timur di Kepulauan Jawa.

Ramai warga tuanya juga mahir berbahasa Jawa Ponorogo halus.

Keunikan lain mereka ialah sikap lemah lembut dan berbudi bahasa dalam kebanyakan urusan. Tidak sah bertandang tanpa hidangan sekurang-kurangnya air kosong. Seperti peringatan rakan Jawa lain yang mengetahui misi Misteri Etnik mendekati masyarakat itu kali ini, jangan sekali-kali menolak hidangan jika berkunjung ke rumah orang Jawa terutama Ponorogo kerana budaya mereka memastikan tetamu tidak pulang tanpa tekak dibasahkan dulu.

Merujuk sejarah kedatangan mereka, meskipun merantau ke bumi orang dalam keadaan daif dan hanya berbekalkan kemahiran bertani, masyarakat itu berjaya membina kehidupan baik dengan kebanyakan keluarga memiliki tanah luas mencecah belasan ekar dengan pelbagai tanaman seperti kelapa sawit dan getah.

Ia berkait rapat sifat berani meneroka kawasan baru serta rajin. Selain paparan keadaan rumah mereka yang mewah, masyarakat ini juga tebal tradisi mencari rezeki untuk diwarisi turun temurun. Lantaran itulah, meskipun Sri Medan sinonim dengan banjir selama ini, ia mampu dibangunkan dengan baik sampai sekarang atas kemahuan orang Jawa Ponorogo yang membina kehidupan lebih selesa untuk kesenangan anak cucu.

Masyarakat Jawa Ponorogo juga memiliki keteguhan mempertahankan budaya tersendiri kerana sudah menjadi tradisi di Ponorogo, Indonesia, satu pesta kebudayaan ‘Reyog’ terus diadakan setiap tahun.

Ia turut menjadi tunjang kepada keturunan Jawa Ponorogo di negara ini untuk terus mempraktikkan banyak aktiviti kebudayaan dan kesenian seperti kuda kepang, barongan, wayang kulit dan permainan muzik gamelan. Lebih ketara, perhubungan berterusan masyarakat itu dengan keluarga asal di Ponorogo, membolehkan budaya itu dikekalkan.

Kebetulan, ketika tugasan Misteri Etnik ini dijalankan, ramai masyarakat di Parit Warijo berkunjung ke Ponorogo kerana di sana bakal diadakan pesta Reyog yang kebiasaannya menjadi keramaian terbesar setiap kali tiba Awal Muharam.

Kelebihan mereka juga terletak kepada darah pahlawan yang menebal dalam diri mereka, terutama jika merujuk sejarah mereka dalam perkembangan Islam dan tuntutan kemerdekaan daripada kerajaan Majapahit. Jawa Ponorogo ini turut dikenali pejuang ‘Warok’ yang diabadikan sebagai tugu besar di daerah itu di Indonesia.

Darah kepahlawanan dan keberanian itulah mendorong mereka untuk membina penempatan di kebanyakan kawasan di Batu Pahat. Malah, di Sri Medan sendiri, boleh dikatakan 80 peratus penduduknya berdarah Ponorogo selain etnik Jawa lain, Banjar dan masyarakat Cina yang bergelar minoriti di situ.

Status diri sebagai ‘orang kaya’ juga sesuai bagi menggambarkan cara hidup mereka. Difahamkan, tidak banyak kenderaan awam yang sanggup memasuki kawasan itu kerana sukar mendapat penumpang lantaran setiap isi rumah memiliki kereta sendiri, termasuk berkereta mewah.

Jika adapun, mungkin sekali bagi setiap dua ke tiga jam, kelihatan kelibat bas awam, itupun tidak ramai penumpang. Kemewahan masyarakat itu mungkin didorong keupayaan mengusahakan sektor pertanian dan perladangan. Difahamkan juga, ekonomi rumah tangga turut dibantu hasil usaha golongan wanitanya yang mahir mengusahakan pelbagai kerja tangan.

Biarpun kaya atau berkemampuan, mereka tidak lekang sikap ramah, merendah diri serta budi bahasa tinggi yang menarik hati penulis. Tidak hairanlah kerap juga program anak angkat diadakan di situ kerana mudah mendapat kerjasama keluarga yang sudi menerima tetamu.

Mereka juga dikatakan golongan kuat beribadat dan hebat berdakwah, termasuk penggunaan pentas wayang kulit sebagai saluran utamanya. Malah, ia menjadi alat utama pada zaman wali kesembilan di Jawa ketika penyebaran dakwah Islam kepada masyarakat Jawa Hindu.

Namun, disebabkan Indonesia secara umumnya dan Kepulauan Jawa pada dulunya dimonopoli agama Hindu, ia sedikit sebanyak mempengaruhi budaya masyarakat Jawa termasuk Ponorogo, terutama struktur rumah.

Kebanyakan, malah mungkin semua rumah asal Jawa Ponorogo mempunyai ruang di tengah dinding berlubang dengan satu kayu setinggi paras betis di bawahnya dikenali sebagai ‘Undak Undaan’. Ia sebenarnya digunakan oleh masyarakat dulu untuk meletak kemenyan dan kelapa, kononnya untuk meraikan sesuatu. Ia nyata pengaruh Hindu yang dibawa mereka, namun sudah diketepikan kini.

BERSAMBUNG ESOK

Bahasa halus kian pupus

JAWA Ponorogo mempunyai beberapa kelainan jika dibandingkan dengan masyarakat Jawa lain kerana mereka bukan sekadar berasal dari Jawa Timur, satu daerah dalam Kepulauan Jawa yang turut mempunyai Jawa Barat dan Tengah, malah masyarakat itu turut mempunyai bahasa pertuturan berbeza.

Jika orang Jawa Ponorogo bercakap dalam bahasa mereka, ia mungkin tidak difahami masyarakat Jawa lain dan begitu juga sebaliknya. Lebih unik, Jawa Ponorogo mempunyai dua jenis bahasa iaitu bahasa pasar (pertuturan biasa) dan bahasa halus yang kini semakin pupus kerana kurang pengamalnya.

Satu keistimewaan masyarakat ini ialah ketegasan ibu bapa dalam memastikan bahasa Jawa Ponorogo terus diwarisi golongan muda sama ada dengan penggunaan secara kerap dalam rumah, mahupun menjadi bahasa pertuturan rasmi di mana saja mereka berada.

Justeru, tidak menghairankan jika meskipun orang Jawa Ponorogo sedang berbual dalam Bahasa Melayu sesama rakan bukan Jawa, mereka akan dengan spontan menukar bahasa pertuturan itu ke bahasa Jawa sejurus ada seorang rakan Jawa menyertai perbualan itu.

Ia juga sama dalam banyak urusan sama ada ketika menyampaikan ceramah dan ucapan sesama mereka. Sukar sekali untuk difahami lenggok bahasa Jawa Ponorogo ini kerana tiada langsung persamaan dengan bahasa Melayu.

Ketika melihat persembahan wayang kulit yang dibawa khusus dari Ponorogo, Indonesia di satu majlis perkahwinan, semua pengunjung Melayu hanya mampu terpinga-pinga, malah dalam kalangan orang Jawa juga ada yang asyik kehalusan sekali bahasa yang digunakan.

Ia sekali gus menunjukkan begitu unik sekali bahasa Jawa Ponorogo dalam masyarakat itu, namun hakikat yang perlu diakui ialah ia semakin pupus kerana tidak ramai generasi baru termasuk golongan umur pertengahan yang menguasai bahasa Jawa Ponorogo halus.

“Kue apik tenang. Ayo la neng ngomah ku. Aku madang sego.” Rasanya bahasa itu kedengaran berbeza sekali dengan orang Jawa lain. Ayat itu yang membawa maksud - “Kamu sangat baik hati. Jemputlah ke rumah saya. Aku makan nasi.” Ada antara isi ayat itu hanya ada pada orang Jawa Ponorogo.

Namun, jika diteliti pula aspek bahasa halus mereka, nyata jauh sangat perbezaan dengan bahasa pertuturan harian. Malah, jika ditanya kepada orang Jawa lain, pasti ada yang langsung tidak tahu maksudnya sesuatu perkataan itu.

Sebagai contoh, makan dalam masyarakat Jawa adalah madang dan ada menyebutnya mangan. Namun, dalam bahasa halus Jawa Ponorogo, ia disebut dahar. Nyata jauh sekali perbezaannya, bukan sekadar mengubah satu dua suku kata.

Tidur disebut turu dalam perbualan harian tetapi menjadi tilem dalam bahasa halus. Rumah atau omah menjadi griyo, manakala jalan atau dalan menjadi radosan.

Apa sekalipun, keunikan itu pasti menjadikan masyarakat itu sangat menarik untuk didekati, bukan sekadar bahasa tetapi cara hidup dan budaya mereka tersendiri.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 10-4-2011 01:03 PM | Show all posts
Misteri Etnik: 'Ambo Cino Kelate'
Oleh Azrul Affandi Sobry
[email protected]
2011/04/10



Siri 1

CINA yang bukan Cina, Siam pun bukan, jauh sekali Melayu. Itulah gambaran pertama dilontarkan penduduk Kelantan ketika diminta berkongsi mengenai masyarakat Cina Peranakan di negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Terbukti, kata-kata mereka bukan sekadar tanggapan biasa kerana ia menepati perwatakan masyarakat itu.
Manakan tidak, Cina Peranakan di Kelantan sangat unik dan lain daripada yang lain. Jika berlegar di sekitar perkampungan kecil sekitar Kelantan, terutama di sepanjang pesisir Sungai Kelantan, pasti sukar untuk mengenal pasti siapa Melayu, Cina atau Siam. Semuanya sama saja.
Bukan setakat bahasa pertuturan, malah pakaian, makanan dan rupa paras tidak ada bezanya dengan orang Melayu. Kulit orang Cina Peranakan kebanyakannya sawo matang. Mata tidak terlalu sepet seperti kebanyakan orang Cina lainnya. Lebih mengelirukan, bahasa Melayu loghat Kelantan mereka sangat pekat dan lancar.

Lebih menambah kekeliruan, hampir semua orang Cina Peranakan yang ditemui penulis memulakan perbualan dengan ‘Assalamualaikum’ selain turut diselitkan ‘Alhamdulillah’ dan ‘Insya-Allah’ ketika berbual. Ditambah dengan kain sarung yang tak lekang dari tubuh, proses mengenal pasti bangsa mereka menjadi semakin rumit.

Sudahnya, penulis terpaksa bertanya adakah mereka Melayu atau Cina dan semuanya akan tertawa dulu sebelum menjawab dalam loghat pekat Melayu Kelantan - “Kawe Cino. Bakpo demo tok ce kawe ni Cino?” (Saya Cina. Kenapa pula awak tak cam yang saya ni Cina).

Pasti setiap kali jawapan begitu keluar dari mulut mereka, lantas rasa malu mula terasa di hati penulis dan sesi perbualan menjadi tersekat-sekat. Namun, apabila proses temubual diteruskan, secara perlahan-lahan datang rasa lupa bahawa di depan itu seorang Cina kerana mereka lebih Melayu daripada Melayu sebenar.
Tidak ada sepatah pun bahasa Cina digunakan meskipun berbual dalam kalangan mereka sendiri. Pendek kata, bahasa Melayu Kelantan boleh diangkat sebagai bahasa rasmi mereka. Ketika ditanya, mereka sebenarnya bukan tidak tahu bahasa Cina atau bahasa Hokkien iaitu asal keturunan mereka. Jika mereka berbahasa Hokkien, pasti nahu dan tata bahasanya akan tunggang langgang sekali gus memeningkan kepala.

Lupakan seketika keunikan itu kerana ada persoalan yang mahu dikupas mengenai siapa sebenarnya mereka. Adakah Cina Peranakan di Kelantan wujud akibat campuran budaya yang menebal selepas membesar dalam kelompok masyarakat Melayu atau sememangnya mereka mempunyai darah perkahwinan campur antara orang Cina Hokkien dengan orang Melayu dan mungkin juga Siam?

Pengerusi Persatuan Peranakan Cina Kelantan, Law Awang, 60, menafikan tanggapan kedua. Beliau mempunyai keyakinan bukan semua orang Cina Peranakan atau juga dikenali Cina Kampung mempunyai darah perkahwinan campur dengan orang tempatan sama ada Melayu atau Siam.

“Tidak semua. Memang ada sebahagian nenek moyang kami yang memasuki Kelantan sejak ratusan tahun dulu pernah berkahwin dengan orang Siam tempatan tetapi tidak semua. Ada yang berkahwin dengan wanita di China dan berhijrah ke sini, seterusnya tinggal di pesisir sungai seperti orang lain.

“Saya melihat kewujudan masyarakat ini lebih kepada campuran budaya dengan orang Melayu dan Siam. Selepas beratus-ratus tahun mewujudkan generasi kedua dalam kelompok masyarakat asal itu, ia sekali gus mengubah budaya dan cara hidup orang Cina Kampung kepada budaya tempatan.

“Sebenarnya, istilah Cina Peranakan pun baru saja diberikan pengkaji, Prof Dr Tan Chee Bee. Sebelum ini, kami dikenali pelbagai gelaran seperti Poa Teng Huan (separuh Cina, separuh Melayu) dan Poa Teng Siam (separuh Siam) oleh orang Cina Bandar.

“Orang Melayu pula mengenali kami sebagai Cina Kampung, Cina Kelantan atau Cina Kita. Masyarakat ini wujud bukan disebabkan darah keturunan perkahwinan campur tetapi siapa saja yang ibu bapanya lahir di Kelantan, anak mereka pun lahir di Kelantan serta mengamalkan cara hidup Melayu layak digelar Cina Peranakan,” katanya.

Namun, di sebalik penafiannya mengenai masyarakat itu bukan berdarah keturunan Cina dan Siam, ada satu persoalan yang sukar untuk beliau sendiri huraikan. Jika benar Cina Peranakan hanya mendapat gelaran itu disebabkan campuran budaya dan cara hidup, bagaimana pula wajah mereka mirip Melayu atau Siam?

Jika orang Cina lain mempunyai kulit putih melepak, kebanyakan Cina Peranakan berkulit sawo matang. Bentuk muka juga langsung tidak sama dengan Cina lain. Sekali pandang, sukar untuk mempercayai mereka adalah orang Cina kecuali selepas melihat kad pengenalan mereka.

Nama mereka juga tidak melambangkan Cina sebenar dengan ada yang menggunakan nama Awang, Dollah dan sebagainya. Justeru, jika benar tiada campuran darah Siam atau Melayu, mana mungkin mampu merubah karakter wajah Cina semata-mata kerana percampuran budaya?

“Susah untuk mendefinisikan masyarakat ini. Apa yang pasti Cina Peranakan merujuk masyarakat Cina Kampung yang mengamalkan budaya hidup kampung seperti orang Melayu dan Siam. Dalam perlembagaan persatuan misalnya, selain sekurang-kurangnya dua generasi lahir di Kelantan, menggunakan bahasa Cina Kampung dan Melayu Kelantan, individu itu juga mesti berbudaya Cina Kampung untuk layak digelar Cina Peranakan.

“Namun, kami akui wajah kami ada mirip orang Melayu dan Siam. Saya juga setuju ramai nenek moyang kami dulu berkahwin dengan orang Siam tetapi saya difahamkan tidak semua. Tapi... bagaimana pula wajah kami tidak nampak seperti Cina,” keluh Law Awang sambil mengerutkan dahinya.

Persoalan yang sukar untuk dihuraikan kerana tidak ada bukti sejarah bertulis untuk memperincikan punca kewujudan masyarakat ini. Berbeza dengan Jawi Peranakan (Melayu Peranakan) di Pulau Pinang atau Chetti Melaka (Hindu Peranakan) yang jelas wujud kerana perkahwinan campur orang dari India dengan anak tempatan terutama Melayu.

Apapun, Cina Peranakan tetap unik dan sukar untuk ditemui di mana-mana. Loghat Melayu Kelantan itu sendiri sudah terlalu unik, ditambah pula apabila ia dituturkan oleh orang Cina tanpa sebarang bunyi pelat. Karakter dan perwatakan mereka ada kalanya kelihatan lebih Melayu daripada Melayu sendiri.

Permainan wayang kulit menjadi kegemaran mereka. Malah, ada beberapa tok dalang dalam kalangan masyarakat itu dengan dua daripadanya sudah dikenali di Kelantan. Jika kita berada di depan pentas mendengar celoteh Tok Dalang yang melontarkan dialog watak wayang kulit, pasti tidak tahu ia dikeluarkan dari mulut seorang Cina!

Begitu juga jika merayau di sekitar kampung. Jangan terkejut melihat semuanya (kecuali orang muda) berkain sarung (batik atau pelikat). Wanita menyapu sampah di halaman berkain batik dan suaminya pula leka membaca akhbar berbahasa Melayu berkain pelikat.

Tidak cukup dengan itu, ramai juga dalam kalangan mereka mahir menulis dan membaca tulisan Jawi. Terpegun seketika penulis apabila berjumpa dengan beberapa warga emas Cina Peranakan yang petah berpantun sambil seorang lagi mengarang kembali pantun itu dengan tulisan Jawi. Hebat! Orang Melayu pun tidak ramai pandai menulis Jawi.

Mereka masih mendiami kawasan pesisir sungai kerana meneruskan cara hidup sejak dulu iaitu bertani. Tidak ramai berpindah ke bandar kecuali golongan muda yang memilih untuk mengubah taraf hidup sendiri. Namun, dengan hidup bertani, mereka sudah dianggap mewah kerana memiliki tanah puluhan ekar dengan kebanyakannya memfokuskan kepada tanam padi dan buah salak. - Bersambung esok.

Seramai 16,000 diami negeri Siti Wan Kembang

GELARAN Cina Kampung atau Cina Kita diberikan kepada masyarakat Cina Peranakan di Kelantan sejak berzaman lamanya oleh masyarakat Melayu dan Siam. Ada juga yang menggelar mereka Cina Kelantan. Gelaran Cina Peranakan dikatakan baru saja diberikan seorang pengkaji, Dr Tan Chee Beng.

Merujuk gelaran yang pernah diberikan orang Melayu dulu dan masih selesa digunakan hingga kini, jelas menunjukkan latar belakang masyarakat Cina berbudaya Melayu itu yang mendiami kawasan kampung di pesisir sungai Kelantan.

Mereka memang orang Cina di kampung. Budaya dan rutin hidup mereka cara orang kampung. Makanan, pakaian, pertuturan dan apa saja yang dilakukan saban hari adalah cara orang kampung. Hanya agama yang membezakan mereka dengan orang Melayu, selebihnya sama saja.

Mereka makan masak lemak, nasi kerabu, sambal belacan, jering dan apa saja masakan orang Melayu. Mereka berkain sarung di rumah. Malah, mereka juga percaya kepada bomoh, antara kepercayaan yang sinonim dengan orang Melayu atau Siam.

Di Kelantan, ada 47 kampung tradisional yang sejak dulu didiami masyarakat berketurunan Cina dan dikatakan penempatan itu bermula sejak 600 tahun dulu dengan kebanyakannya terletak di tebing sungai dari Kota Bharu hingga ke Gua Musang dalam jarak lebih kurang 180 kilometer.

Mengikut rekod Persatuan Peranakan Cina Kelantan, ada hampir 16,000 Cina Peranakan di Kelantan dengan hanya hampir 2,000 daripadanya sudah berhijrah dan menetap di bandar, manakala sebahagian besarnya masih kekal di kampung.

Kampung Mata Ayer di jajahan Machang menjadi kampung dengan penempatan paling ramai iaitu lebih kurang 2,000 orang, diikuti Kampung Kulim, Kampung Dusun Pulai dan Kampung Pasir Parit yang penduduknya dianggarkan lebih kurang 1,000 orang.

Uniknya, penempatan mereka di kebanyakan kampung dibina secara terancang dan tersusun. Jika kita menjengah ke kebanyakan lokasi perkampungan sekitar Kelantan, tidak disangka ada orang Cina di situ kerana kebiasaannya akan melalui deretan rumah orang Melayu.

Selepas meneroka ke kawasan lebih dalam iaitu sehingga ke tebing sungai, baru kelihatan ada rumah dihiasi tanglung atau patung Buddha. Paling tidak pun, tulisan Cina berwarna merah menghiasi pintu rumah kampung yang coraknya seakan-akan rumah Melayu, cuma atapnya lebih runcing.

Kekeliruan pasti timbul kerana meskipun sudah melalui kawasan deretan rumah yang dihiasi objek orang Cina, sukar untuk membezakan mereka kerana ada berwajah Melayu atau Siam. Jika disapa, pertuturan mereka tidak langsung melambangkan orang Cina kerana pelat mereka sudah tiada.

Justeru, itulah keunikan mereka kerana mampu berjiran dengan masyarakat Melayu, apatah lagi dapat menyerap budaya di sekeliling mereka.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 10-4-2011 01:08 PM | Show all posts






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-11-2024 08:48 AM GMT+8 , Processed in 0.070551 second(s), 26 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list