|
Malu kalau tidak jadi'
Oleh Zaidi Mohamad
MATANG: Mawi belum bersedia merungkai kisah perkahwinannya.
Mawi masih kunci mulut bab kahwin dengan Ikin
SUSUK tubuh insan yang dicintai gadis bertudung bernama Ikin, Mawi semakin berubah. Nampak berisi dan tona warna kulitnya kelihatan gelap kerana sibuk menjalani penggambaran program Langkah Mawi di bawah panas terik mentari.
Ada kemungkinan yang menyebabkan sisi fizikalnya berubah sekelip mata kerana jejaka yang nama sebenarnya Asmawi Ani berusia 28 tahun itu sedang bahagia melalui kisah cinta yang kini bukan lagi satu rahsia.
Bagaimanapun, Bintang Paling Popular bagi tiga tahun berturut-turut itu tenang sekali ketika diaju soalan berbaur peribadi. Namun enggan mengulang kesilapan lalu hingga memakan diri, Mawi belum mampu berbicara lanjut mengenai hari bahagianya.
Ada yang meramalkan jejaka yang mesra dipanggil Cik Wiwi di kalangan keluarga terdekatnya bakal menamatkan zaman bujangnya bersama Cik Kikin (gelaran buat Ikin) pada penghujung tahun ini sekitar November dan Disember.
"Benda ini (soal kahwin) saya tak boleh nak bercerita sekarang. Bimbang tak menjadi perit malunya harus ditanggung sendiri. Kalau sudah ada kepastian, saya tak akan teragak-agak untuk menceritakannya. Nak kata kami akan kahwin dalam tahun ini, saya tak tahu lagi. Semuanya masih dalam proses merencana.
MENANG LAGI: Mawi bersama hadiah terbarunya, kereta model Peugeot 407.
"Alhamdulillah keluarga sudah merestui ikatan hubungan kami. Niat yang suci dan baik, mengapa perlu kami berselindung, cuma sehingga saat ini segala-gala masih belum dipastikan. Sebagai lelaki, semestinya saya mahu ikatan murni berakhir ke jinjang pelamin, namun soal jodoh semuanya urusan Tuhan. Doakan yang baik-baik saja ya," ungkap Mawi bersungguh-sungguh.
Lantaran pengakuan cinta itu ada yang menghukum dan mengandaikan popularitinya yang dulu memuncak kian menurun. Kegagalannya di beberapa anugerah berprestij kebelakangan ini menjadi modal sesetengah pihak mengatakan inilah zaman kejatuhannya.
Jelas Mawi, dia sedar kehidupan ini umpama putaran roda dan tak semestinya sentiasa berada di kemuncak. Kejayaan baginya bukan semudah melafazkan kalimah cinta, sebaliknya ia bergantung kepada usaha untuk terus mengukuhkan ikatan cinta yang sedia terjalin itu.
"Saya menerima apa jua kemungkinan kejayaan dan kegagalan dengan hati yang terbuka. Hari ini mungkin orang sayang dan ingat kita, di kemudian hari semuanya belum pasti. Kejayaan bagi saya bukan datang begitu saja. Ia muncul atas usaha, doa dan sokongan ramai pihak termasuk peminat. Cukup senang untuk kita mencapai kejayaan, hakikatnya nak mengekalkannya adalah satu kesukaran yang perit," kata penyanyi lagu Aduh Saliha ini.
Sebelum ini, ada yang berkata ternampak Ikin sedang menempah baju kahwin sedangkan hakikatnya dia terbabit dengan pertunjukan fesyen busana pengantin. Terbaru Mawi pula dikatakan ke sebuah gedung fabrik Jackal untuk menempah baju kahwin pula.
"Mana ada, saya memang menempah baju di gedung fabrik itu tapi bukan menempah baju kahwin sebaliknya saya buat baju untuk persembahan Hari Ibu," katanya.
Empat kereta, tiada lesen
SUDAH rezeki Mawi, sehingga kini dia sudah ada empat kereta yang dimenanginya melalui Akademi Fantasia dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian selama tiga tahun. Deretan empat kereta itu adalah Suzuki Swift, Kia Optima, Kia Sorento dan terbaru Peugeot 407 yang baru diterimanya.
Lucunya, biarpun sudah ada kereta, Mawi belum ada lesen.
"Saya memang belum ada lesen memandu kereta lagi, saya pun tak pasti lagi bila waktunya saya boleh mengambil kelas ujian memandu itu. Saya memang berhasrat nak mengambil lesen memandu cuma kesibukan saya yang membataskan ruang waktu untuk berbuat demikian," kata Mawi yang ditemui pada Majlis Penyampaian Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 di West Garden Lawn, Palace of the Golden Horses Hotel, Seri Kembangan, baru-baru ini.
Menyingkap kerjaya seninya pula, selepas selesai penggambaran program Langkah Mawi, Jun ini Mawi akan ke Kaherah membikin program Mawi Di Bumi Anbia. Peluang menjejakkan kaki ke negara luar memberi 1001 nikmat untuknya mengenali budaya, ideologi masyarakat dan berkunjung ke tempat menarik.
Melalui syarikatnya MW Production, dia ada merancang beberapa program yang lebih bersifat infotainment dan tengah rancak menghasilkan album Qasidah 2.
"Saya akan terbabit dengan program bercirikan Islam, Mawi Di Bumi Anbia bagi siaran Astro Oasis. Program itu memaparkan sejarah Islam yang patut diterokai untuk tatapan umum. Saya juga sempat mencuri masa untuk membikin album kelima iaitu Qasidah 2, Insya-Allah dalam masa terdekat.
"Melalui syarikat MW Production, pihak kami sedang merencana beberapa program yang membabitkan saya sendiri sebagai hos," kata duta produk air alkali jenama DCL dan ais krim Walls Fantasia ini.
FAKTA: Mawi
# Selain memenangi kereta Peugeot 407 2.0 tajaan Nasim Sdn Bhd di atas kejayaan memenangi kategori Bintang Paling Popular Berita Harian 2007 itu juga menerima barangan kemas tajaan Habib Jewel bernilai RM150,000 dan pakej penginapan mewah di Palace of The Golden Horses.
# Kata Mawi, barangan kemas yang dimenanginya akan disimpan di dalam bank. Ada juga rakan media yang mengusik barangan kemas itu untuk hantaran perkahwinan nanti.
# Cukup sinonim dengan laungan tagline 'world'.
# Selesa berimej berkumis, kerana mahukan kelainan. Khabarnya Mawi berimej sedemikian demi sentuhan berbeza kerana ada klon yang sering mengikuti gayanya.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
ahh mawi.. tak jadi pun tak apa... ramai lagi yang bagus2...
niy ada .. chumi ada... eh... dino pun ada!! gs --
|
|