|
KUALA LUMPUR: Penerbit drama, Haslinda Merican M A Merican, semalam ditegur Hakim Mahkamah Tinggi kerana tidak hadir bagi prosiding rayuannya terhadap hukuman penjara 10 bulan dan denda RM5,000, lapan tahun lalu, bagi kesalahan menjadi pengantara dalam pelacuran artis dan personaliti televisyen.
Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah mengingatkan Haslinda dan perunding kewangan, Mohamad Amin Jamadi, supaya hadir untuk tarikh berikut 13 Mei ini, bagi mengelak mahkamah membatalkan rayuan mereka, yang akan mengakibatkan mereka menjalani hukuman penjara itu.
Haslinda dan Mohamad Amin hadir semalam bersama peguam Gurubachan Singh Johal, yang menyebut kes itu bagi pihak peguam Gurbachan Singh.
Berikutan itu mahkamah membenarkan permohonan Gurubachan untuk menangguhkan prosiding kerana Gurbachan tidak sihat. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Yusob Md Tasir.
Haslinda dan Mohamad Amin didapati bersalah oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Zura Yahya, pada 4 Oktober 2000 selepas perbicaraan hampir lima tahun.
Perbicaraan itu menggemparkan negara kerana mengaitkan beberapa artis dan personaliti televisyen, termasuk artis terkenal dan orang kenamaan. Bagaimanapun nama mereka yang terbabit tidak pernah disiarkan atas arahan mahkamah.
Haslinda dan Mohamad Amin yang dihadapkan ke mahkamah pada 13 dan 14 Julai 1995, didapati bersalah menjadi perantara bagi empat artis dan personaliti televisyen berusia 18 hingga 35 tahun di lobi Hotel Ming Court, Jalan Ampang antara jam 8 malam dan 10.30 malam, 27 Jun 1995.
Dalam perbicaraan kes itu, personaliti televisyen yang dikaitkan sebagai pelacur dalam kertas pertuduhan, tidak pernah dipanggil sebagai saksi kerana dia dikatakan menghilangkan diri ke Sydney, Australia. |
|