|
Bila sentuh soal paras rupa teringat Kakak Tua perihal wajah rupawan kakak Datuk Siti Nurhaliza, Saida yang beraksi di dalam Konsert AF6 saban minggu.
Ibu pada empat orang anak ini cukup ayu dan genit orangnya. Gerak lakunya molek dipandang mata. Jauh beza susuk tubuh Saida dengan adiknya yang tersohor itu.
Kedua beradik ini sama jelitanya tetapi di dalam kategori yang berlainan. Siti pula setelah berkahwin dengan suami yang hartawan tak ubah seperti 'Rumah besar perabung perak', mana pergi dimuliakan orang sehinggakan bahang kemasyurannya terasa sampai ke akademi.
Mungkin ada yang dah perasan, sehingga ke penghujung konsert ke 4, bakat yang ada pada Saida bak sejemput nasi saja.
Untungnya, pertalian darah dengan penyanyi No 1 negara dan berbekal wajah comel membuat dia terus berada di dalam akademi. Kehadiran Saida terus diperkatakan kerana suaranya yang kurang merdu itu.
Dan bila pengaruh dan hubungan ukhuwah antara adik ternama dengan rakan-rakan artis yang menjadi juri AF6, maka verdict atau komen yang diberi sekadar 'mulut manis' dan menjaga hati.
Semua ayat pedas dan pedih disusun dan diolah dengan sebegitu rupa sehingga kedengaran yang manis-manis saja. Ini tidak adil bagi pelajar-pelajar lain, yang lebih berbakat dan tidak ada 'connection'.
Berita dari akademi sering diterima, begitu juga diari akademi selalu juga ditonton.Baik guru mahupun juri seolah memendam saja apa yang terbuku di dalam hati mereka. Hendak berterus terang, salah. Terus-terus membisu, tak boleh juga.
Semua bagaikan sudah maklum dan harus terima, bakat ala kadar Saida mampu membawanya ke final, mungkin. Tapi percayalah, 'Bukan air muara yang ditimba, sudah disauk dari hulunya.'
Kesahihan cerita bakat Saida yang tidak seberapa ini sudah diketahui umum. Tidak cukup mengabur mata dan solekan ayu di wajah lesu, langsung tidak bermaya dan beremosi. Mungkin juga menanggung rindu pada anak dan suami tercinta.
Justeru suara biasa yang kedengaran terasa lebih hambar apabila dibandingkan dengan yang lain, terpaksa diterima jua kerana kasihankan Saida yang terpisah dengan keluarga.
Inilah yang dikatakan 'Rupa seperti pulut, bila dimasak berderai.' Penampilan yang manis ayu bak puteri jelita tapi bila bernyanyi, suara yang diharap merdu bak buluh perindu kerana dipilih antara beribu, jauh tersasar.
Sayang sekali, pakej yang ada pada Saida hanya mampu memikat segelintir orang untuk terus terpaku dan terpana dengan apa yang dimilikki.
Kakak Tua harap teguran ini dapat diterima dengan hati terbuka oleh keluarga Siti terutama Rozie, Ayie dan yang berkenaan. Maklum sajalah, akhir-akhir ini bukan semua boleh menerima persepsi sebegini.
Walau apapun reaksi mereka, diri ini redha saja. Bukannya tak sedar, perhubungan ramai artis dengan Kakak Tua kebelakangan ini ibarat 'Rekah tidak, rekat pukah.' Semuanya kerana teguran, jadi hubungan pun agak longgar, akrab tidak, bermusuhpun tidak.
Tapi mungkin juga sudah rezeki menanti Saida di akademi. Ya lah, rezeki musang tak akan dapat ke helang...
KAKAK TUA: Sedar diri dagang piatu, sebab itu selalu pandai bawa diri kerana "Rasa air ke air, rasa minyak ke minyak!" |
|