|
Suria FM anjur pertukaran artis tempatan ke Indonesia
20-09-2007 11:15:30 AM
oleh WAHIDA ASRANI | SEJAK kebelakangan ini, isu mengenai kebanjiran lagu-lagu dari Indonesia di negara ini kembali hangat diperkatakan.
Di kalangan artis tempatan, Amy Search baru-baru ini menyuarakan secara lantang ketidakpuasan hatinya apabila lagu-lagu luar yang sering dimainkan di radio-radio berbanding lagu tempatan.
Malah, apabila beberapa stesen-stesen radio menegaskan mereka berbuat demikian atas alasan permintaan pendengar juga kurang dipersetujui ramai dan ada pula yang merasakan stesen radio itu sendiri sebenarnya yang mengamalkan sikap diskriminasi.
| "Saya rasa, bila artis kita kata radio swasta tidak sokong artis tempatan, itu kurang tepat," - Engku Emran | Mengulas hal ini, Ketua Pegawai Operasi (COO) Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin berkata, isu itu sepatutnya tidak berbangkit.
"Saya rasa, bila artis kita kata radio swasta tidak sokong artis tempatan, itu kurang tepat. Bercakap bagi pihak Suria FM sendiri, stesen radio kami sudah banyak membantu artis-artis yang sebelum ini belum ada nama.
"Kami juga ada segmen khas mainkan lagu-lagu yang jarang diputarkan seperti yang berentak jazz. Melalui kajian kami sendiri, pendengar sebenarnya masih suka mendengar lagu-lagu tempatan.
"Cuma saya akui, Suria FM ada juga promosikan lagu-lagu luar, tetapi kita hadkan kekerapan lagu-lagu tersebut.
"Di Suria FM, pada setiap jam, peratusan lagu yang kami keudarakan adalah 70 peratus lagu tempatan, 15 peratus lagu Inggeris dan 15 peratus lagi lagu-lagu Indonesia. Itu memang telah ditetapkan," ujar Emran ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Suria FM, baru-baru ini.
Menurut Emran lagi, sebagai bukti stesen radio itu mementingkan keseimbangan dan tidak hanya memberi penekanan kepada artis-artis luar, terutamanya dari seberang, Suria FM juga ketika ini sedang merancang untuk membawa artis tempatan ke Indonesia bagi melebarkan lagi kerjaya seni mereka.
"Kita sudah pun berbincang dengan pihak di Jakarta dan mereka setuju dengan idea kita untuk bawa tiga artis tempatan ke sana dan sebagai pertukaran, mereka juga akan bawa tiga artis dari seberang untuk diperkenalkan di sini.
"Jika tiada sebarang masalah, kita akan jalankan program ini pada tahun 2008. Buat permulaan, kita akan bawa tiga artis saja dulu ke sana dan artis-artis tersebut akan dipilih berdasarkan kualiti dan populariti mereka di sini.
Engku Emran bersama ahli-ahli Badan Kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (BAKAT) dan artis-artis yang menjayakan majlis berbuka puasa bersama Suria FM (Foto The Star oleh Glenn Guan)
"Sudah ada beberapa nama yang kami senaraikan, tetapi kita belum putuskan lagi siapa tiga artis tersebut. Artis-artis yang dipilih nanti akan buat showcase di Jakarta dan akan ditemubual oleh media di sana.
"Bukan bertujuan untuk mempromosikan album mereka tetapi motif penganjuran program ini adalah lebih kepada untuk memperkenalkan artis itu di sana," katanya lagi.
Nusantara Aidilfitri
Sempena Ramadhan dan juga lebaran yang bakal menjengah nanti, sebuah majlis berbuka puasa bersama Suria FM telah diadakan baru-baru ini yang dianjurkan oleh pusat beli-belah terkemuka di ibukota, Sungei Wang Plaza.
Kemunculan Anuar Zain adalah yang paling ditunggu-tunggu oleh rata-rata tetamu yang hadir. Anuar mempersembahkan dua buah lagu iaitu Sesucinya Cintamu dan lagu dari album terbarunya, Lelaki Ini (Foto The Star oleh Glenn Guan)
Majlis yang berlangsung di ruang legar pusat beli-belah itu telah dimeriahkan dengan penampilan istimewa oleh artis-artis tempatan seperti Dina, Sharifah Zarina, Shazzy, Cheryl Samad, Fazli Zainal, Farah AF, Bob, Ferhad dan Ahli Fiqir,
Selain itu, tetamu dan orang ramai yang berada di sekitar ruang legar tersebut turut dihiburkan dengan persembahan hebat oleh Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor, Dafi, Faizal Tahir, Farahwahida dan Dina.
Rata-rata penyanyi yang membuat persembahan pada malam itu telah membawakan lagu-lagu popular masing-masing, termasuklah lagu-lagu raya.
Dayang dan Jac tidak ketinggalan hadir memeriahkan majlis (Foto The Star oleh Glenn Guan)
Majlis buka puasa itu juga turut memberi peluang kepada pendengar-pendengar Suria FM yang bertuah untuk bersama-sama berbuka puasa dengan artis-artis kesayangan mereka.
Mereka terpilih menerusi kuiz Nusantara Aidilfitri yang telah dikeudarakan di stesen radio itu pada 10 hingga 14 September yang lalu.
"Program ini dikelolakan oleh Sungei Wang sempena promosi jualan Hari Raya. Melalui majlis seperti ini, kami di Suria FM juga gembira dapat berkumpul bersama pendengar-pendengar kami yang memenangi kuiz yang kami adakan baru-baru ini.
Faizal Tahir sempat mengusik salah seorang tetamu pada majlis tersebut
"Program ini juga kita rakamkan dan akan disiarkan semula di Suria FM pada Hari Raya pertama nanti khas untuk para pendengar yang tidak berkesempatan untuk bersama-sama di majlis ini," kata Emran.
Pada majlis itu juga, Sungei Wang Plaza dan Suria FM turut menyerahkan duit raya dan cenderamata kepada Badan Kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (BAKAT).
|
|
|
|