|
Dayang berdebar kerana 'Luka'
04-10-2006 11:25:58 AM
Oleh WAHIDA ASRANI
Untungnya jadi Dayang Nurfaizah adalah dia memang sudah terkenal. Walaupun cubaannya untuk merangkul RM1 juta di dalam pertandingan One In A Million (OIAM) baru baru ini gagal, tidak ada apa yang perlu digusarkan oleh penyanyi ini.
Tetap tidak patah semangat, Dayang kembali sibuk untuk proses rakaman album terbarunya dan siapa sangka bahawa penyanyi bersuara gemersik ini rupa-rupanya akan berlakon pula di dalam sebuah filem berjodol Luka yang menampilkan pelakon popular Indonesia, Dian Sastrowardoyo dan Marcel Chandrawinata.
Awal Januari depan, Dayang akan berangkat ke Jakarta untuk penggambaran filem tersebut yang telah berberapa kali ditunda.
Dayang kembali sibuk dengan album terbaru dan filem pertamanya
(Foto The Star oleh Kamal Sellehuddin)
Inilah penglibatan Dayang yang pertama sebagai pelakon dan bakal bergandingan dengan nama-nama besar membuatkan penyanyi yang pernah popular dengan lagu Seandainya Masih Ada Cinta ini gementar.
Justeru, salah satu langkah yang diambilnya untuk memastikan hasil lakonannya nanti berkesan, Dayang akan turut mengikuti kelas lakonan di Jakarta.
"Sebenarnya, sebelum sertai OIAM, saya sempat belajar berlakon selama sebulan dengan pelakon Indonesia, Ria Irawan. Dia banyak mengajar apa yang saya perlu lakukan untuk bawa watak saya itu.
"Kemungkinan besar di Jakarta nanti, Ria juga yang akan melatih saya untuk kelas lakonan itu nanti," tambahnya lagi.
Luka menceritakan sebuah kisah cinta segitiga di antara tiga orang sahabat, Luka (Marcel Chandrawinata), Rika (Dian Sastrowardoyo) dan Alia (Dayang Nurfaizah) di mana pelbagai konflik perlu dihadapi oleh ketiga-tiga mereka dalam memahami erti sebenar 'cinta'.
Faizal OIAM tulis lagu untuk Dayang
Bercerita tentang album keenamnya, Dayang berkata empat buah lagu sudah disiapkan dan ketika ini masih di dalam proses pemilihan enam buah lagu lain.
Antara komposer yang turut menyumbangkan lagu mereka adalah Amir Ruffedge, Mazlan Hamzah dan Iman Wan.
Dayang akan bercuti selama dua minggu sempena Hari Raya
(Foto The Star )
Menurut Dayang lagi, Faizal OIAM juga dijangka akan menyumbangkan sebuah lagu untuknya.
"Sejak di dalam OIAM lagi saya lihat Faizal seorang yang kreatif, bukan saja ketika menyanyi tetapi juga di dalam penghasilan lagu.
"ada satu hari tu, saya bertanya pada dia, 'ada lagu tak untuk Dayang?'. Tak sangka pula sebenarnya dia memang ada lagu yang dia mahu saya nyanyikan, cuma dia segan untuk beritahu saya.
"Insyaallah, saya akan dengar dulu lagu itu dan jika ia sesuai dengan konsep saya, saya akan masukkan lagu tersebut dalam album saya nanti," ujar Dayang.
Katanya lagi, album ini turut menampilkan kelainan berbanding album-albumnya sebelum ini.
"Saya masih kekalkan konsep R&B, cuma kali ini ada sedikit kelainan dari segi nyanyian dan muzik. Jika semuanya berjalan lancar, album ini akan mula berada di pasaran pada akhir November depan." :pompom::pompom:
Cuti raya dua minggu
Sejak penglibatannya di dalam dunia seni, amat sukar untuk penyanyi berusia 25 tahun ini meluangkan masa yang lama bersama keluarga tercinta tatkala menjelangnya Hari Raya.
Ada saja program atau persembahan yang perlu dijayakannya sehingga adakalanya membataskan peluang Dayang untuk meraikan hari mulia itu bersama-sama keluarganya di Kuching, Sarawak.
Namun tidak pada Syawal kali ini. Menurut Dayang, tahun ini dia akan mengambil cuti selama dua minggu.
"Saya penat sangat tahun ini, terutamanya selepas sertai One In A Million. Memang saya ingin sangat berehat lama, sebab itu saya ambil cuti dua minggu.
"Lagipun sudah lama tidak berjumpa dengan saudara-mara. Insyaallah, dua atau tiga hari sebelum raya, saya akan pulang ke Kuching," ujar Dayang.
Ditanya tentang persiapan raya pula, penyanyi ini mengaku belum membuat sebarang persediaan kerana sibuk menguruskan kerjaya seninya.
"Baju raya pun saya belum sempat tempah. Mungkin pakai semula baju tahun-tahun yang dulu.
"Begitu juga dengan kuih raya, ada yang akan dibeli dan yang penting, setiap tahun, kuih tradisi keluarga kami 'Desa Fair' mesti ada. Walaupun nama kuih itu pelik, tapi ia memang sedap!" kata Dayang. |
|