[size=0.8]Oleh Zuliaty Zulkiffli - Oktober 13, 2021 @ 3:49pm[email protected]
Datuk Kamarul Zaman Mamat menunjukkan barangan kes dan pelbagai jenis dadah yang akan dilupuskan dari tahun 2014 hingga tahun lalu selepas kes selesai - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
ALOR SETAR: Polis menjangkakan hampir 120,000 kenderaan akan memasuki negeri ini hujung minggu ini bermula esok selepas kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya, kira-kira 60,000 kenderaan didapati masuk ke negeri ini pada Isnin lalu dan jumlah itu meningkat kepada kira-kira 80,000 pada Selasa.
Katanya, polis mengalu-alukan orang ramai pulang ke negeri ini, namun meminta mereka sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
"Polis tak ada halangan orang ramai balik jumpa saudara-mara, asalkan mereka lengkap dua dos vaksin dan ikut SOP ditetapkan.
"Kita ada pasukan yang akan melakukan pemantauan seluruh negeri, mereka akan periksa sijil vaksinasi individu dan memastikan orang ramai patuh SOP," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.
Kamarul Zaman berkata, pada masa sama pihaknya akan melakukan pemantauan di kawasan tumpuan orang ramai termasuk pusat rekreasi dan peranginan seluruh negeri.
"Semalam pasukan pemantau mengadakan pemeriksaan di kedua hala kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gurun dan mendapati orang ramai patuh pada SOP.
"Mereka juga menunjukkan sijil vaksinasi yang membuktikan mereka patuh SOP seperti disaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), cuma jika ada yang mempunyai gejala atau tidak sihat, jangan berada di tempat awam," katanya.
Terdahulu beliau menyaksikan pelupusan barangan kes dan pelbagai jenis dadah dari tahun 2014 hingga tahun lalu selepas kes selesai.