Kulim: Dua beranak nyaris maut selepas van dinaiki terbabit kemalangan dengan seekor kerbau di Jalan Labu Besar-Malau, dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, van dinaiki lelaki berusia 47 tahun bersama anak perempuan berusia 24 tahun dalam perjalanan pulang dari berniaga di pasar malam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan berhubung kemalangan terbabit dan anggota polis terus bergegas ke lokasi.
"Maklumat yang diterima mengatakan sebuah van terbabit dalam kemalangan dengan seekor kerbau dan sebaik tiba kita mendapati kenderaan itu berada di tepi jalan.
"Bagaimanapun, pemandu dan penumpang van sudah tiada di lokasi kemalangan dan pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan akibat terlanggar kerbau," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati van dinaiki lelaki bersama anak perempuannya itu dalam perjalanan pulang dari arah Labu Besar menuju ke Kampung Bikan selepas selesai berniaga di pasar malam.
"Hasil keterangan daripada beberapa saksi mendakwa anak perempuan pemandu van berkenaan tersepit dalam kenderaan itu namun berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang ramai.
"Siasatan polis juga mendapati mangsa dikejarkan ke Hospital Kulim dan menerima rawatan sebagai pesakit luar," katanya.