Edited by Vellfire at 9-10-2021 02:47 AM
Uggah (tengah, depan) bersama Dr Sim (kanan, depan) dan Liwan (depan, kiri) bersama wakil-wakil badan agama bukan Islam yang lain merakam kenangan selepas majlis kesyukuran sempena sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-85 Yang di-Pertua Negeri. - Gambar UKAS.
KUCHING: Sarawak masih pada peringkat perbincangan bersama kerajaan persekutuan mengenai pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 atau dos penggalak kepada rakyat negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, dos penggalak berkenaan terutamanya kepada warga emas dan kumpulan komorbid atau berisiko. "Untuk makluman, kerajaan negeri kini sedang dalam perbincangan bersama kerajaan persekutuan mengenai pemberian dos penggalak kepada rakyat Sarawak.
"Ini terutamanya kepada kumpulan warga emas dan mereka yang mempunyai komorbid," katanya berucap pada Majlis Kesyukuran anjuran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-85 Yang di-Pertua Negeri Tahun 2021 di sini, hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menasihatkan kepada semua rakyat Sarawak agar terus berwaspada mengenai pandemik COVID-19.
Katanya kerajaan negeri telah memutuskan tiada lagi larangan perjalanan rentas daerah beberapa hari lepas sementara kes menunjukkan trend penurunan. "Ia menyebabkan masyarakat kita bebas bergerak sekarang. Namun demi kebaikan semua, kita harus terus mematuhi SOP.
"Saya ingin menasihati mereka yang merancang untuk kembali ke kampung dan rumah panjang mereka di kawasan pedalaman untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang ketat," tegasnya.
Beliau memberitahu orang ramai diminta melakukan ujian kendiri dengan menggunakan kit ujian kediri COVID-19 yang tersedia di kedai dan farmasi sebelum memulakan perjalanan.
Katanya, ia langkah terbaik bagi melindungi ahli keluarga yang mereka ziarahi terutama warga emas daripada jangkitan COVID-19.
"Gunakan pelitup muka anda, jaga penjarakan sosial, jangan berkumpul dalam kumpulan untuk bersosial apabila anda tiba," katanya.
Mengenai majlis kesyukuran kelahiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Uggah yang juga menteri bertanggungawab UNIFOR berkata, Tun Taon telah memberikan sumbangan besar dalam pembangunan negeri dalam semua aspek.
Katanya beliau menjadi Ketua Menteri dari tahun 1981 sehingga 2014 dan pelbagai pembangunan rancak telah dilakukan di Sarawak.
"Tun Taib juga banyak memainkan peranan dalam mengukuhkan kekuatan perpaduan serta keharmonian kaum selain kestabilan politik di Sarawak.
"Meskipun mempunyai kepelbagaian agama dan kaum, Sarawak hari ini menjadi teladan perpaduan, keharmonian dan kestabilan di negara ini," katanya.
Hadir sama majlis, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, Menteri Muda Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Datuk Liwan Lagang, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk John Sikie Tayai dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, (Transformasi Luar Bandar) Datu Ik Pahon Joyik.
utusanborneo.com.my/2021/10/08
|