KUCHING: Satu majlis kesyukuran bersempena Sambutan Hari Lahir Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Ke 85 telah diadakan di Masjid Jamek Kuching pada Jumaat.
Ianya turut disertai TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak,Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib serta Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri Datin Patinggi Datuk Juma’ini Tuanku Bujang.
Majlis tersebut yang dihadiri lebih kurang 200 jemaah itu telah dimulakan dengan solat jemaah Maghrib dan diikuti bacaan yasin oleh Imam Besar Negeri Sarawak Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi serta diselitkan dengan ceramah khas yang bertajuk ‘Setia dan Barakah’ oleh Mufti Negeri Sarawak Datu Kipli Yassin.
Selesai menunaikan solat Isyak berjemaah, majlis diakhiri dengan bacaan doa kesyukuran yang dipimpin oleh Imam Besar Negeri Sarawak.
Majlis tersebut telah dianjurkan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan merupakan acara pembukaan sempena Sambutan Hari Lahir Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Ke 85.
Sementara itu, pada Sabtu akan diadakan perbarisan Kawalan Kehormatan Utama Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Pancaragam Gabungan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tembakan Meriam Istiadat di Tebingan Sungai Sarawak dan aktiviti ‘Fly Past’ iaitu lintas lalu kapal terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak,Majlis Istiadat Rasmi, Majlis Jamuan Teh dan Majlis Jamuan Negeri.
Turut dihadiri, Menteri kebajikan,Kesejahteraan Komuniti,Wanita ,Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Pendidikan Sains dan Penyelidikan merangkap Menteri Bertanggungjawab Perayaan Sambutan Hari Lahir Tuan Yang Terutama,Yang di-Pertua Negeri Sarawak,Dr Annuar Rapa’ee.
sarawakvoice.com/2021/10/09
|