[size=0.8]Aizat Sharif - Oktober 7, 2021 @ 4:38pm[email protected]
- Hiasan. FOTO NSTP
ARAU: Hanya tiga daripada 26 guru di Perlis yang enggan menerima vaksin sebelum ini mengubah pendirian mereka untuk menerima vaksin COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) negeri, Rozieana Ahmad berkata, setakat ini usaha memujuk dan berunding supaya guru terbabit mengubah pendirian mereka masih dijalankan.
"Pada cikgu yang belum mengambil vaksin itu, kita masih memberi ruang dan saya yakin Jabatan Pendidikan Perlis dapat memberi peluang kepada mereka untuk mengubah fikiran (mengambil vaksin).
"Tinggal 23 orang guru saja yang masih belum mengambil vaksin," katanya kepada media hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) melaporkan terdapat 26 guru di seluruh Perlis enggan menerima vaksin COVID-19 kerana pelbagai alasan termasuk masalah kesihatan.