Georgetown: Polis mengesahkan kematian ahli perniagaan bergelar Datuk yang dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium Jalan Kelawei, Pulau Tikus di sini, semalam, tiada kaitan dengan unsur jenayah.
Laporan bedah siasat terhadap mangsa yang dilakukan pada petang hari ini juga mengesahkan kematian lelaki berusia 53 tahun itu disebabkan impak kecederaan terjatuh dari tempat tinggi.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Fisol Salleh berkata, polis sudah merakam percakapan daripada isteri berusia 55 tahun serta dua anaknya berusia 21 dan 24 tahun.
Menurutnya, berdasarkan keterangan keluarga berkenaan didapati kesemuanya adalah konsisten.
"Menerusi keterangan keluarga juga mendakwa tidak ada sebarang tindakan luar biasa yang berlaku terhadap mangsa sebelum kejadian.
"Isteri mangsa ada mengatakan bahawa suaminya pernah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan dalam membantu siasatan.
"Mangsa dipercayai terjun dari balkoni unit rumahnya dan kejadian itu tidak disedari ahli keluarga yang sedang tidur," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Semalam, Harian Metro melaporkan ahli perniagaan sebuah syarikat pemaju hartanah itu ditemukan dalam kolam renang dalam keadaan cedera parah.
Polis mengesahkan menerima panggilan berhubung kejadian pada 5.20 pagi.
Pegawai perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tujuan bedah siasat.
Mangsa adalah saksi pendakwaan utama kes membabitkan projek mega pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang serta pernah memberi keterangan di mahkamah sebelum ini.
Difahamkan, mangsa tinggal bersama isteri serta dua anaknya masing-masing lelaki dan perempuan di unit kondominium itu.
Mengulas lanjut Fisol berkata, siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa tidak berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah serta tidak mempunyai sejarah penyakit mental.
"Siasatan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di kondominium dan pemeriksaan polis ketika di lokasi didapati tiada unsur jenayah, begitu juga laporan bedah siasat.
"Setakat ini, ia diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR) dan kes masih disiasat.
"Sehubungan itu, orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini supaya tidak mengganggu siasatan serta menjaga sensitiviti ahli keluarga," katanya.