|
Kota Bharu: Kemenangan Negeri Sembilan FC (NSCF) dalam aksi Kumpulan C saingan Piala Malaysia menentang Kelantan United FC (KUFC) malam tadi dianggap sebagai tuah.
Menyifatkan prestasi pemain KUFC berada dalam momentum cemerlang, Ketua Jurulatihnya, Nazrulerwan Makmor berkata, pasukannya sudah bermati-matian memberikan komitmen namun ternyata 'luck' lebih berpihak kepada pihak lawan.
Pada perlawanan semalam menyaksikan NSFC meraih gol kemenangan apabila hantaran lintang pemain gantian, Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir pada minit ke-80 menyebabkan Evan Wensley tertampan bola ke gawang sendiri sekali gus menamatkan penantian pasukan lawan.
"Dalam bola sepak, 'luck' memainkan peranan yang besar, apa-apa boleh jadi dan walau kita ketinggalan (ketika permainan) tapi kita menyerang sehabis baik namun nasib tetap tidak menyebelahi.
"Secara jujur saya rasa kemenangan berpihak kepada kita tapi kalau tiada rezeki, apa pun kita buat tak boleh masuk (gol) malah kita banyak dapat peluang tapi akhirnya dalam bola sepak, gol menentukan segalanya," katanya.
Nazrulerwan berkata, beliau melihat banyak peningkatan dibuat oleh pemainnya dalam permainan.
Bagi menebus dua kali kekecewaan, beliau memberi laluan kepada pemainnya untuk berehat dalam masa yang sama akan memperbaiki kelemahan sebagai persediaan bagi berdepan dengan pasukan Melaka United FC pada 29 Oktober ini.
"Dalam tempoh tiga minggu kami berehat ini, akan memperbaiki kelemahan hasil perlawanan antara dua pasukan terdahulu tapi apa yang lihat dan kami akan cuba yang terbaik untuk berdepan Melaka United FC nanti," katanya. - HMetro
|
|