[size=0.8]Oleh Safuri Kamarudin - Oktober 1, 2021 @ 3:07pm[email protected]
Kakitangan Kementerian Kesihatan berpakaian lengkap PPE mengeluarkan mayat wanita warga emas di rumahnya Kampung Berjaya Kuala Pegang - Foto NSTP/PDRM
BALING: Polis menemui mayat seorang warga emas di sebuah rumah di Kampung Berjaya Kuala Pegang, semalam manakala seorang wanita orang kurang upaya (OKU) dipercayai anaknya pula didapati lemah di sebelah jenazah itu.
Polis menerima aduan penduduk berhubung bau tidak menyenangkan pada jam 12.40 tengah hari dan menghantar anggota membuat pemeriksaan.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, polis menemui mayat warga emas itu yang dikenali sebagai Rusnah Abu Hadan, 61 manakala wanita OKU berusia 21 tahun itu didapati dalam keadaan lemah di sebelah jenazah.
Beliau berkata siasatan awal mendapati wanita terbabit dipercayai meninggal dunia lima hari lalu.
Polis juga menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah Baling untuk tindakan lanjut berkaitan COVID-19.
Shamsudin berkata, punca kematian belum diketahui dan remaja OKU itu juga dibawa ke Hospital Baling (HB) untuk rawatan lanjut.
"Jenazah telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk ujian COVID-19 dan mendapatkan punca kematian," katanya dalam kenyataan.