[size=0.8]Zuhainy Zulkiffli - September 26, 2021 @ 6:30pm[email protected]
Foto hiasan
GEORGETOWN: Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki di Minden Heights, Gelugor, di sini, Jumaat lalu.
Ketiga-tiga mereka ditahan di tiga lokasi berasingan iaitu kawasan Air Itam, Jelutong dan Lebuh Pantai antara jam 5.15 petang hingga jam 8.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata semua suspek yang berasal dari Pulau Pinang itu berusia 41 hingga 57 tahun.
Beliau berkata, dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkait jenayah dan dadah.
"Hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada mereka positif Methamphetamine dan Amphetamine.
"Semua suspek ditempatkan di Lokap Berpusat Bayan Baru dan direman lima hari sehingga 30 September bagi membantu siasatan," katanya di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa yang juga seorang buruh berusia 54 tahun ditemukan terbaring berhampiran motosikalnya dan mengalami kecederaan.
Polis menerima panggilan pada jam 2.30 petang daripada orang awam yang menyangka berlaku kemalangan jalan raya.
Siasatan awal di lokasi mendapati mangsa disyaki maut selepas dipukul kenalan akibat perselisihan faham.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.