|
Metz: Pemain Perancis yang pernah menjulang trofi Piala Dunia, Kylian Mbappe dinasihatkan agar lebih merendah diri jika mahu disayangi selain kemampuannya menjadi penjaring gol berbisa.
Nasihat itu diberikan jurulatih Metz, Frederic Antonetti selepas Paris Saint Germain (PSG) perlu menunggu sehingga ke masa kecederaan untuk menumpaskan pasukan tercorot itu 2-1 dan mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan bagi saingan domestik musim ini.
"Kylian Mbappe perlu lebih beradab jika dia mahu disayangi. Saya sangat menggemarinya, dia sangat kuat namun dia lebih akan dihormati jika merendah diri," kata Antonetti.
Antonetti ditanya berkenaan dengan layangan kad kuning yang diberikan kepada penjaga gol, Alexandre Oukidja yang berperang mulut dengan Mbappe selepas meraikan gol kemenangan.
"Dalam perlawanan, Mbappe seperti tidak wujud," kata Antonetti. - HMetro
|
|