View: 1419|Reply: 1
|
Piala Malaysia: Harap tiada kes Covid-19
[Copy link]
|
|
Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menzahirkan ucapan terima kasih buat semua pihak terutamanya kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di atas kebenaran untuk meneruskan saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, tanpa kerjasama erat dengan agensi berkaitan, sudah pasti usaha untuk menganjurkan Liga-M tidak akan berjaya.
"Justeru, diharap kebenaran serta kerjasama erat ini akan berterusan untuk musim 2022 nanti demi perkembangan bola sepak negara," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Ujarnya lagi, beliau berharap suasana harmoni itu akan diteruskan apabila kempen Piala Malaysia bermula Ahad ini dengan semua pasukan bertanding mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, sekali gus mengelak penularan wabak berlaku dalam kalangan pemain.
"Bagaimanapun, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan kepada pasukan-pasukan bertanding agar sentiasa berdisiplin dengan mematuhi SOP Covid-19 dalam memastikan tiada rantaian wabak ini berlaku dalam Piala Malaysia 2021," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Negeri Sembilan FC apabila berjaya muncul juara Liga Perdana musim ini.
"Saya bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Negeri Sembilan FC di atas kejayaan menjuarai Liga Perdana 2021.
"Apa yang pasti, musim ini memahat memori yang sukar dilupakan kita semua selepas disajikan pertembungan tiga penjuru iaitu Negeri Sembilan FC, Sarawak United FC dan Terengganu FC II (TFC II) dalam perebutan takhta Liga Perdana sehingga ke babak akhir musim.
"Sekali lagi, saya ingin mengucapkan tahniah Negeri Sembilan FC, Sarawak United FC dan TFC II terutama Negeri Sembilan FC dan Sarawak United FC yang sudah pun mengesahkan slot bermain di Liga Super musim depan.
"Tidak dilupakan juga tahniah kepada kesemua pasukan Liga Perdana 2021 di atas komitmen semua dan ketabahan semua pasukan yang wajar diberikan pujian apabila berjaya mengharungi musim cukup mencabar berdepan pandemik Covid-19," katanya.
Skuad Hobin Jang Hobin mengesahkan kejuaraan liga selepas berjaya menundukkan PDRM FC 4-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sekali gus menghimpun mata tertinggi dengan 41 mata daripada 20 aksi dilalui musim ini.
Dalam aksi itu, gol Negeri Sembilan disumbangkan Barathkumar, Alain Thierry Akono, Muhamad Fahmi Faizal dan gol sendiri, Eskandar Ismail manakala gol PDRM disumbangkan G Durrkeswaran dan Muhamad Azrie Reza Zamri. - HMetro
|
|
|
|
|
|
|
|
PRESIDEN MFL, Datuk Ab Ghani Hassan. FOTO Bernama |
|
|
|
|
|
|
| |
|