KOTA KINABALU: Aktiviti untuk sukan rekreasi air kini dibenarkan berkuat kuasa serta-merta dengan syarat sudah memperoleh vaksinasi lengkap.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kebenaran berkenaan termasuk untuk aktiviti renang, snorkeling, kayak, 'jet skiing', 'sea walking', dan selam skuba.
Katanya, sepanjang ativiti dijalankan, setiap individu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter.
"Selain itu, pergerakan individu dari rumah yang sama dan golongan dewasa yang lengkap dos vaksinasi dibenarkan keluar berdasarkan jumlah kapasiti kenderaan," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, pada 2 September lepas, pengusaha premis restoran dibenarkan untuk meletakkan meja di ruang legar atau kaki lima restoran.
Menurutnya, para pengusaha hendaklah menyewa tapak berkenaan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan ia tertakluk kepada SOP semasa.
"Sebanyak 27 kompaun melanggar SOP COVID-19 dikeluarkan di seluruh Sabah semalam termasuk 13 kompaun melibatkan kesalahan tidak memakai pelitup muka.
"Dua orang dikenakan kompaun kerana gagal mendaftar masuk premis, dua kompaun pergerakan keluar atau masuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dan tiga individu dikompuan tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan.
"Seorang pemilik premis dikompuan kerana gagal mematuhi waktu operasi, tiga dikompaun membabitkan lain-lain kesalahan yang tidak tersenarai, dan tiga kompaun membawa penumpang berlebihan," katanya.
Beliau berkata, sejumlah 158 sekatan jalan raya (SJR) dilaksana dalam tempoh 24 jam, melibatkan pemeriksaan sebanyak 34,129 kenderaan.
Daripada jumlah itu jelasnya, sebanyak 154 kenderaan diarah berpatah balik.
utusanborneo.com.my/2021/09/04
|