KUCHING: Yayasan MyProdigy Malaysia dengan kerjasama Persatuan Kesenian Hiburan dan Kreatif Sarawak menganjurkan Peraduan Reka Cipta Atas Talian Sambutan Hari Malaysia 2021 bertemakan 'Sarawak Kamek, Malaysia Kita' sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2021.
Dengan tema yang dipilih amat sesuai dengan konteks 'Keluarga Malaysia' yang mana di Sarawak boleh mengesyorkan keunikan dan identiti Sarawak dalam keluarga besar Malaysia yang menyumbang kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat seluruh negara.
Peraduan ini yang terbuka kepada masyarakat berbilang bangsa dari seluruh Malaysia adalah yang pertama kali dianjurkan secara dalam talian bagi acara Sambutan Hari Malaysia di negara ini.
Penaung progran ini yang juga Pengerusi Yayasan MyProdigy Malaysia, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian konsep peraduan melalui atas talian pada waktu pandemik ini adalah salah satu cara berkesan untuk menyemarakkan semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
"Ia juga dalam kita memperingati hari penubuhan Malaysia yang berlangsung setiap tahun pada 16 September walaupun negara masih dilanda pandemik COVID-19.
"Inisiatif mengadakan peraduan atas talian seperti ini merupakan antara norma baru yang harus diberi ruang sebagai platform rasmi sama ada untuk aktiviti rasmi mahupun aktiviti kemasyarakatan pada masa hadapan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Jaziri Peraduan Reka Cipta Kreatif Atas Talian Sambutan Hari Malaysia ini terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan dibahagikan kepada tiga kategori utama.
Kategori pertama adalah Reka Cipta Kreatif Pakaian Patriotik, kategori kedua adalah Reka Cipta Kreatif Kenderaan Berhias manakala kategori ketiga adalah Reka Cipta Kreatif Rumah Berhias yang menawarkan hadiah terkumpul melebihi RM15,000.
Bagi Kategori Reka Cipta Kreatif Pakaian Patriotik dan Kenderaan Berhias, Johan akan membawa pulang RM2,000 tempat kedua RM1,000 dan tempat ketiga RM750.
Manakala bagi kategori Reka Cipta Kreatif Rumah Berhias, johan akan membawa pulang hadiah RM2,500, tempat kedua RM1,500 dan ketiga RM1,000.
Bagi hadiah saguhati iaitu bagi pemenang tempat keempat hingga kelapan setiap kategori, mereka akan mendapat wang tunai sebanyak RM100.
"Sejak dilancarkan pada awal Ogos lepas, peraduan ini telah berjaya mendapat jumlah penyertaan yang amat menggalakkan dari rakyat berbilang kaum di seluruh Malaysia.
"Malah lebih membanggakan lagi apabila peraduan ini telah berjaya mendapat rating bilangan pengunjung netizen seramai 112,313 ke halaman media sosialnya sehingga kini," katanya.
Jaziri memberitahu pihak penganjur juga telah melantik pereka fesyen terkenal Datuk Dayang Fatimah Tom Abang Saufi sebagai ketua juri yang akan menilai karya kreatif dari peserta yang menyertai peraduan ini.
"Pihak yayasan juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pelabuhan Bintulu yang telah sudi menjadi penaja utama dan juga Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak untuk program ini," katanya.
Tarikh tutup peraduan adalah pada 15 September 2021 dan penyertaan adalah percuma dan nama pemenang-pemenang akan diumumkan dan dipamerkan dalam media pada Hari Malaysia nanti.
Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh layari laman Facebook Peraduan Reka Cipta Kreatif Atas Talian Sambutan Hari Malaysia 2021.
utusanborneo.com.my/2021/09/03
|