ROSAK: Keadaan kedua-dua kenderaan tersebut selepas terlibat dalam kemalangan.
TAWAU: Seorang lelaki parah selepas terlibat dalam kemalangan di KM15 Jalan Tawau-Merotai, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas dalam kenyataan mediaanya berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 9 pagi melibatkan sebuah motokar dan pacuan empat roda.
“Siasatan awal mendapati pemandu pacuan empat roda dari arah bandar Tawau, manakala motokar yang dipandu mangsa dari arah bertentangan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu pacuan empat roda hilang kawalan ketika cuba mengelak sebuah kenderaan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan kereta mangsa,” katanya.
Menurutnya, pemandu motakar yang merupakan seorang peneroka berumur 30 tahun itu mengalami cedera parah patah tulang paha, manakala empat penumpangnya hanya cedera ringan.
“Pemandu pacuan empat roda pula, hanya mengalami cedera ringan dan kesemua mereka dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan susulan.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu pacuan empat roda yang gagal mengawal pergerakan sehingga terbabas masuk ke laluan bertentangan,” katanya.
Peter berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
www.utusanborneo.com.my/2021/09/02
|