KUCHING: Jabatan Imigresen Negeri Sarawak memberi peluang kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk menyerahkan diri secara sukarela di bawah Program Rekalibrasi Pulang (RP) yang sedang dilaksanakan di negeri ini.
Pengarahnya Datu Ken Leben (gambar) berkata, PATI yang layak untuk didaftarkan dalam program ini adalah mereka yang telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal lebih masa dan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu menyalahgunakan pas adalah dibenarkan untuk mendaftar di dalam program ini dan dikecualikan daripada pendakwaan.
Namun, tegasnya, mereka akan dikenakan kompaun.
“Di bawah Program RP ini, PATI perlu menyerah diri secara sukarela di mana-mana Pejabat Penguatkuasa Imigresen bersama pasport atau dokumen perjalanan yang sah yang telah tamat tempoh dan mengemukakan tiket penerbangan pulang ke negara asal.
"Manakala yang ingin balik ke negara asal dengan menggunakan jalan darat, perlu melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, semua urusan hendaklah melalui Sistem Temujanji Online (STO) di laman sesawang sto.imi.gov.my.
Dalam pada itu, Ken memberitahu Imigresen juga sedang melaksanakan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) yang bertujuan untuk meregularisasikan PATI yang berada di Sarawak untuk bekerja secara sah mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.
"PATI yang layak untuk didaftarkan dalam program ini adalah mereka yang telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal lebih masa dan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu menyalahgunakan pas," jelasnya.
Katanya lagi, PATI adalah dari negara sumber yang dibenarkan seperti di Portal Rasmi Jabatan Imigresen Malaysia.
"Di bawah program ini, hanya majikan daripada Sektor Perkilangan, Pembinaan, Pertanian, Perladangan dan Perkhidmatan iaitu (Subsektor: Pengangkutan, Restoran, Kedai Makan, Borong dan Runcit, dan Pembersihan dan Pencucian) serta Perlombongan dan Kuari sahaja dibenarkan.
"Bagaimanapun, permohonan adalah tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan dalam program ini," katanya.
Beliau menjelaskan, di bawah kedua-dua program ini, semua urusan yang melibatkan pembayaran dan kompaun di mana-mana Pejabat Imigresen di Sarawak adalah dalam berbentuk e-payment.
"Pendaftaran PATI, syarat-syarat kelayakan, tatacara permohonan dan kadar bayaran di bawah Program RTK dan RP boleh dilayari melalui Portal Rasmi Jabatan Imigresen Malaysia www.imi.gov.my," jelasnya.
Menurut beliau lagi, tempoh pelaksanaan bagi kedua-dua program ini adalah sehingga 31 Disember 2021 atau sehingga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) tamat untuk PATI.
Jabatan Imigresen akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa berhubung program ini.
Sebarang pertanyaan berhubung dengan program ini, boleh membuat pertanyaan melalui Sistem Pertanyaan Online (SPO) yang boleh dicapai di pautan http://eapp.imi.gov.my/spo.
https://www.utusanborneo.com.my/2021/09/02
|