KUCHING: Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Stadium Perpaduan terkawal meskipun jumlah kehadiran individu yang agak ramai bagi mendapatkan ujian klinikal, Perintah Kuarantin dan Perintah Pelepasan.
Tinjauan Utusan Borneo di CAC Stadium Perpaduan di sini hari ini mendapati beberapa laluan khas disediakan bagi mengelak kesesakan dan melancarkan pengoperasian di CAC ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed (gambar) ketika dihubungi, berkata fungsi CAC di Stadium Perpaduan ini tidak sama dengan CAC di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Katanya CAC di Dewan Masyarakat MBKS adalah untuk kontak rapat kepada kes positif COVID-19 menjalani saringan ujian swab COVID-19 dan akan diberikan gelang serta arahan kuarantin.
Manakala untuk CAC di Stadium Perpaduan ia adalah untuk kes yang didapati positif COVID-19 dan dipanggil untuk menjalani ujian klinikal.
“Kalau tidak sihat kita akan masukkan mereka ke hospital, atau dikuarantin di rumah jika tiada gejala atau penyakit lain di bawah pemantauan kendiri di rumah serta dipakaikan gelang.
Keadaan di CAC Stadium Perpaduan kelihatan terkawal meskipun jumlah kehadiran ramai individu bagi mendapatkan ujian klinikal, Perintah Kuarantin dan Perintah Pelepasan.
“Kalau perlu ke hospital, kita akan aturkan pengangkutan untuk dihantar ke hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC),” katanya.
Tambah Dr Mohamed Sapian, CAC Stadium Perpaduan ini juga untuk pesakit yang telah selesai kuarantin mendapatkan Perintah Pelepasan (RO) atau dipotong gelang.
Bagi mengelak kesesakan di CAC Stadium Perpaduan ini, beliau katanya merancang untuk menyediakan satu tempat lain khas untuk RO sahaja dan penilaian sama ada sihat atau tidak selepas 14 hari kuarantin.
“Saya juga rancang untuk membuka pusat ujian swab di tempat lain supaya mereka di luar Kuching misalnya Padawan tidak perlu ke CAC Dewan Masyarakat MBKS untuk ujian swab.
“Perkara ini masih dalam perancangan dan kita akan mengadakan perbincangan bersama Residen serta Pegawai Kesihatan Bahagian untuk menambahbaik dan memperbaiki perkhidmatan kita,” katanya.
Dr Mohamed Sapian turut menasihatkan mereka yang perlu hadir ke CAC Stadium Perpaduan untuk hadir mengikut masa janji temu ditetapkan bagi mengelak kesesakan. CAC di Stadium Perpaduan mula beroperasi pada 28 Ogos lepas dan dibuka dari Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang sementara Sabtu dan Ahad dari 8 pagi hingga 1 tengah hari.
utusanborneo.com.my/2021/09/01
|