KUCHING: Cuepacs Negeri Sarawak (CNS) menyeru agar sekumpulan kecil 2.2 peratus penjawat awam termasuk guru serta Pembantu Pengurusan Murid (PPM) mengambil suntikan vaksin seperti yang dijadualkan oleh kerajaan.
Pengerusinya Omar Bahrein Unin berkata, dari segi peranan dan fungsi kalangan guru dan PPM dalam sistem pendidikan, pengambilan suntikan vaksin adalah demi kebaikan dan keselamatan keseluruhan masyarakat khususnya komuniti sekolah.
“Hal ini kerana, kalangan guru dan PPM ini merupakan kumpulan yang sentiasa berdamping rapat dengan murid-murid dan juga warga sekolah yang lain.
“Sekiranya mereka enggan menerima vaksin, sudah pasti ia akan menimbulkan kerisauan kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, beliau merayu serta menyeru agar golongan ini mengambil vaksin sebagai usaha melindungi diri dan juga masyarakat sekitar daripada penularan pandemik Covid-19.
“Kesediaan semua penjawat awam untuk mengambil vaksin adalah sebagai langkah menyokong usaha kerajaan mencapai imuniti kelompok sekali gus menangani penularan pandemik Covid-19,” tambahnya.
CNS juga menasihati penjawat awam lain yang masih belum mengambil suntikan vaksin supaya hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk menerima suntikan vaksin selaras dengan kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman.
“CNS khuatir mereka yang belum menerima suntikan vaksin boleh menjadi sumber penularan pandemik yang teruk di premis kerja masing-masing,” jelasnya.
Setakat 19 Ogos lalu, sejumlah 2.2 peratus daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam yang dikesan tidak mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
sarawakvoice.com/2021/08/30
|