Edited by Vellfire at 21-7-2021 12:23 PM
Kes positif COVID-19 di Sabah menurun
MASIDI
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan penurunan kes positif COVID-19 sebanyak 183 kes menjumlahkan 474 kes hari ini berbanding 657 kes semalam.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata penurunan itu banyak dipengaruhi oleh ketiadaan kes positif baharu dari kluster penjara, kecuali lapan kes dari Penjara Tawau.
“Saringan kontak rapat adalah penyumbang utama kes hari ini dengan merekodkan 227 kes diikuti 71 kes dari sarıngan bergejala.
“Beaufort merekodkan jumlah tertinggi bagi saringan bersasar dari kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu 38 daripada 55 kes keseluruhan bagi kategori berkenaan.
“Dua kluster baharu masing-masing Kluster Sawit Lung di Beluran dan Kluster Industri KKIP Selatan direkodkan di Sabah hari ini bagaimanapun hanya 16 kes dicatatkan untuk kedua-dua kluster itu setakat ini,” katanya.
Tambahnya 90.5 peratus daripada kes hari ini dikesan daripada pesakit yang tidak mengalami sebarang simptom manakala 245 lagi hanya mengalami simptom ringan dan pesakit tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan hanya sekadar ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).
“Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi sebanyak 128 kes diikuti Beaufort 76 dan Penampang 45 kes.
“Tawau turut merekodkan penurunan kepada 36 kes diikuti Keningau 24, Ranau 22, Tuaran dan Sipitang masing-masing 19, Putatan 18, Beluran 15, Kudat 14 dan Kota Belud 12.
“Sandakan dan Papar hanya sembilan kes, Semporna tujuh, Tongod enam, Lahad Datu empat, manakala Kunak, Kinabatangan , Telupid dan Tenom dua kes bagi setiap daerah,” katanya.
Katanya hanya satu kes bagi Kalabakan, Kota Marudu, Tambunan dan tiada kes direkodkan di Nabawan, Kuala Penyu dan Pitas.
utusan borneo 2021-07-21T16:01:42+08:00
|