Keputusan tangani COVID-19 di Sarawak ikut Perlembagaan
KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata keputusan bagi menangani pandemik COVID-19 di Sarawak mengikut peruntukan dalam Perlembagaan yang disesuaikan dengan keadaan negeri ini.
Beliau berkata ia bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat lebih praktikal dan berkesan.
"Keupayaan untuk membuat keputusan sendiri untuk kepentingan Sarawak seharusnya mencerminkan jati diri anak Sarawak menentukan masa hadapan mereka sendiri agar negeri ini mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negeri-negeri atau negara-negara yang sudah berada di hadapan.
"Kita (Sarawak) menghormati kerajaan persekutuan dan keputusan yang dibuat di peringkat persekutuan tetapi tidak setiap keputusan yang dibuat di Putrajaya sesuai atau praktikal dilaksanakan dii sarawak," katanya dalam perutusan hari ini sempena Hari Sarawak yang disambut esok.
Abang Johari berkata Sarawak sebuah wilayah hampir sama besar dengan tanah Semenanjung dan kadang-kala, dengan kekangan sumber dan infrastruktur, agak sukar untuk pihak berkuasa negeri melaksanakan keputusan yang telah dibuat di peringkat persekutuan.
Sebagai contoh ujarnya, modifikasi kepada proses pemberian vaksin perlu bagi membolehkan rakyat kita di luar bandar diberi suntikan vaksin dahulu kemudian barulah didaftar di dalam aplikasi MySejahtera.
"Kita akur, sukar bagi saudara dan saudari di rumah-rumah panjang dan kampung untuk mendaftar dan mengakses MySejahtera," katanya. Abang Johari berkata ruang membolekan Sarawak membuat keputusan sesuai dengan keperluan negeri ini juga telah membolehkan kerajaan negeri mengambil langkah-langkah yang telah mempercepatkan proses pemberian vaksin di Sarawak.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) katanya dengan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak, terutamanya pihak industri, telah menubuhkan pusat pemberian vaksin di tempat-tempat kerja juga penubuhan pasukan-pasukan bergerak untuk menjangkau kepada mereka yang tidak dapat datang ke pusat-pusat vaksin.
Pihak tentera juga membantu di kawasan-kawasan luar bandar, tambahnya.
"Alhamdulliah, dengan semua langkah ini Sarawak adalah antara negeri yang terpantas dalam program pemberian vaksin dengan lebih daripada 60 peratus daripada rakyat dewasa, 2.2 juta telah menerima dos pertama.
"Langkah-langkah telah dikenakan oleh pihak JPBNS untuk menghambat penularan COVID-19, termasuk langkah mempercepatkan program pemberian vaksin nampaknya telah berjaya menurunkan kes jangkitan harian kebelakangan ini.
"Ini membuktikan Sarawak, dengan ruang yang ada, mempunyai keupayaan untuk menguruskan apa saja permasalahan yang dihadapi," ujarnya.
Menyentuh pembangunan Sarawak, Abang Johari berkata di ambang negeri ini menuju status negeri maju menjelang 2030, kerajaan pimpinannya telah merancang kemajuan ekonomi secara strategik dengan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur termasuk kemudahan internet.
Katanya beliau amat yakin dengan dasar yang berpandangan jauh, pembangunan ekonomi negeri ini mampu dibawa ke tahap lebih tinggi dan peningkatan pendapatan rakyat dengan produk-produk mempunyai nilai tambah.
"Sambutan perayaan pada kali ini menjadi lebih bermakna dengan pelancaran pelan pasca COVID-19 bagi Negeri Sarawak yang bertujuan melakar hala tuju ekonomi kita hingga ke 2030 dengan mengambil kira impak COVID-19.
"Kebelakangan ini negara berhadapan dengan keadaan politik yang tidak menentu dan ia menjadi lebih meruncingkan dalam keadaan negara berhadapan dengan COVID-19.
"Namun, di Sarawak suasana politik agak stabil dan saya sebagai ketua Kerajaan GPS mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat yang melibatkan diri dalam politik dengan berhemah dan menghindarkan Sarawak daripada keadaan yang kucar-kacir," katanya.
Mengakhiri perutusannya, Abang Johari mengajak seluruh seluruh anak Sarawak terus berganding bahu dan berusaha gigih tanpa mengira apa peranan mengangkat martabat Sarawak sebagai sebuah negeri yang cemerlang untuk generasi kini dan akan datang.
utusan borneo 2021-07-21T18:20:25+08:00
|