SIBU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas rokok dan minuman keras seludup bernilai RM 112,205 dalam satu serbuan di sebuah premis di bandar ini, petang semalam.
Serbuan jam 4.15 petang itu dilakukan selepas risikan dan intipan selama empat jam dilakukan Batalion 10 PGA Sibu dalam Op Kontraban.
Komander PGA Sarawak Senior Asisten Komisioner Saini Bongkek berkata, serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah premis kedai dua tingkat itu telah menahan seorang lelaki tempatan yang mengaku sebagai penjaga stor.
"Hasil pemeriksaan lanjut suspek tidak dapat menyatakan dokumen yang sah pemilikan ke atas sejumlah barangan iaitu minuman keras dan rokok disyaki tanpa cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
"Kita merampas sebanyak 594 katon rokok putih dianggarkan bernilai RM89,100 dan 13 katon rokok kretek RM1,705,"katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, turut dirampas ialah minuman keras pelbagai jenama
bernilai RM21,399.
"Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
"Kesemua barangan dirampas dan suspek ditahan untuk tindakan lanjut pihak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu,"katanya.