PdPR dalam bot demi mendapatkan liputan Internet
Tiga pelajar mengikuti PdPR di dalam bot dalam hujan lebat di Sungai Sawai, Matu.
MATU: Demi mendapatkan liputan Internet, tiga pelajar di Kampung Sawai, Matu terpaksa mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di dalam bot dalam keadaan hujan lebat di Sungai Sawai berhampiran Batang Lassa, hari ini.
Perkara tersebut tular di media sosial menerusi video yang dikongsi oleh seorang pengguna Facebook bernama Gna Muda. Utusan Borneo berjaya menghubungi pemilik akaun Facebook tersebut dan dihubungkan dengan abang kepada seorang pelajar terbabit. Menurut Carry Alwind Sahren, 19, adik dan dua lagi sepupunya itu mengikuti kelas dalam talian di atas bot sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas.
Carry yang kini berada di Bintulu kerana masih belajar di Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu berkata, adiknya, Danniella Ines, 17, adalah pelajar Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batang Igan, manakala dua orang sepupunya, Nick Nazuel Juria, 16, dan Sherly Erina, 19, masing-masing kini menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Betong dan Politeknik Mukah.
Katanya, ketiadaan liputan internet di kawasan rumah menyukarkan ketiga-tiga mereka untuk menyiapkan dan menghantar kerja sekolah terutama yang perlu dihantar segera.
"Itulah rutin harian mereka jika ada kelas atas talian atau PdPR sejak PKP tahun lalu. Dari rumah, mereka akan menaiki bot dan menempuh perjalanan kira-kira lima hingga 10 minit untuk sampai ke tebing sungai berhampiran yang mempunyai capaian internet lebih baik. "Ada ketika mereka terpaksa menggunakan payung untuk berlindung dari hujan dan panas dan kadang-kadang terpaksa belajar dalam keadaan pakaian basah kuyup jika hujan lebat," katanya.
Carry memberitahu ibu dan saudaranyalah yang sering menjadi pemandu bot dan menemani mereka mengikuti PdPR berkenaan. "Selain mereka bertiga, terdapat pelajar lain juga di kawasan tebing tersebut yang turut senasib dengan mereka," katanya. Beliau berkata, mereka bertiga sebelum ini tinggal di asrama, namun akibat pelaksanaan PKP menyebabkan mereka terpaksa pulang ke rumah dan mengikuti kelas secara atas talian.
"Masalah liputan internet adalah cabaran utama mereka untuk mengikuti PdPR. Meskipun kawasan tebing sungai tempat mereka belajar mempunyai capaian internet, tetapi masih lemah.
"Keadaan ini menyebabkan mereka sukar untuk mengikuti PdPR dengan baik dan selesa," katanya. Beliau berkata, jika untuk mendapat capaian internet lebih baik, mereka terpaksa pergi ke pasar Matu yang mengambil perjalanan kira-kira satu jam setengah.
Bagaimanapun, Carry tetap berasa bangga dengan semangat dan kegigihan yang ditunjukkan oleh adik dan dua orang sepupunya itu yang tidak mahu ketinggalan dalam pembelajaran mereka.
Namun, beliau sentiasa risau akan keselamatan mereka apabila memikirkan bahaya dan risiko yang terpaksa dihadapai ketika mengikuti PdPR di atas bot.
"Sungai tersebut ada buaya dan perkara itulah paling merisaukan saya setiap kali mereka ke tebing sungai tersebut. Satu lagi cabaran yang terpaksa mereka tempuh ialah apabila enjin bot rosak. Keadaan ini menyebabkan mereka terlepas mengikuti sesi PdPR jika ada kelas pada hari tersebut," katanya.
utusan borneo 2021-06-29T18:10:14+08:00
|