Los Angeles: Model, Kendall Jenner mengakui status sebagai anggota keluarga Kardashian pernah membuatkan dirinya sukar menempatkan diri dalam dunia peragaan.
Walaupun ramai menganggap populariti itu sebagai satu tiket mudah untuk Jenner mengejar cita-citanya, namun perkara yang sebaliknya berlaku kepada kakak Kylie Jenner itu.
Menerusi tayangan terakhir Keeping Up with the Kardashian (KUWTK), Jenner menjelaskan, dia berusaha keras supaya dirinya mencapai pada tahap seperti sekarang.
Kendall berkata, selama ini ramai yang memandang sebelah mata dan tidak mahu melakukan 'casting' terhadapnya kerana nama keluarga yang disandangnya itu.
Malah, program realiti bersama keluarganya itu juga menjadi salah satu penghalang kariernya. Jenner kerap ditolak menjalani uji bakat hanya kerana dirinya tampil di KUWTK.
"Ada masanya di mana program KUWTK menjadi penghalang untuk saya mengejar cita-cita yang diimpikan. Ramai pihak tidak mahu mengambil saya bekerja hanya kerana saya tampil dalam program realiti itu.
"Tak ramai yang tahu selama ini saya bekerja keras dan melakukan apa yang termampu untuk sampai ke tahap sekarang,"katanya.
Menurut Kendall, kejayaan yang diraihnya juga adalah titik peluhnya sendiri tanpa campur tangan adik-beradik atau ibunya.
"Orang di sekeliling saya tahu betapa saya berusaha keras dengan kerjaya model yang saya lakukan ini.
"Saya sanggup menghadiri uji bakat di semua tempat, bukan hanya di New York saja tapi juga ke Eropah untuk mendapatkan peluang dan mengejar cita-cita," katanya.
Usaha keras Jenner membuahkan hasil apabila menduduki carta teratas sebagai model terkaya kerana menerima bayaran tahunan paling tinggi dengan jumlah pendapatan tahunannya mencecah AS$22.5 juta (RM94.43 juta).
Sumber:
https://www.hmetro.com.my