Casiraghi merasakan seolah memiliki hubungan kuat dengan jenama yang berasal dari Perancis itu. (Gambar Instagram Chanel)
Charlotte Casiraghi, anak Putri Caroline dari Monako serta cucu dari mendiang Grace Kelly, dilantik sebagai duta untuk Chanel 2021. Berita itu disampaikan Chanel setelah memuat naik sebuah video di akaun Instagram mereka.
“Menjalinkan hubungan berpanjangan berdasarkan kepercayaan dan persahabatan, dimulai dengan Karl Lagerfeld dan berlanjutan hari ini oleh Virginie Viard, Charlotte Casiraghi akan jadi duta dan jurucakap kami mulai 1 Januari 2021.” demikian kapsyen yang ditulis Chanel pada muat naik tersebut.
Dalam sebuah video hitam putih, Casiraghi berkata, dia merasakan seolah memiliki hubungan kuat dengan jenama yang berasal dari Perancis itu.
Casiraghi menyingkap gambar ibundanya, Putri Caroline semasa sedang mengandungkannya, beliau mengenakan pakaian dari Chanel. Gambar itu diambil oleh mendiang Karl Lagerfeld, perancang pakaian sekaligus pengarah kreatif Chanel.
Ujar Casiraghi, sewaktu berkahwin dengan pengarah Dimitri Rassam pada Julai tahun lalu, dia memakai salah satu pakaian Haute Couture dari pereka Chanel.
Sebagai duta jenama, Casiraghi menjelaskan dia bertanggungjawab untuk memperkasakan wanita seperti yang dikehendaki Chanel.
Casiraghi akan memula tugasnya dengan mempamerkan koleksi pakaian “ready to wear” rekaan Viard untuk Spring/Summer 2021.
Sesi pengambaran untuk koleksi tersebut telah dijalankan di Villa La Vigie, Monako, yang secara kebetulannya adalah bekas kediaman Karl Lagerfeld sekaligus tempat resepsi perkahwinan Casiraghi dan Dimitri Rassam.
Casiraghi dan Viard, juga akan mengumumkan projek terbaharu mereka iaitu “The Rue Cambon Literary Rendezvous”, yang merupakan pertemuan bersama para penulis wanita dan artis untuk bertukar fikiran bagi membahaskan karya mereka.
Projek ini akan diadakan di apartmen peribadi Coco Chanel di 31 rue Cambon, Paris, Perancis pada 26 Januari 2021. |