Bielsa gesa anak buahnya agar tidak berasa puas hati di atas kemenangan besar 5-0 ketika menentang West Brom. FOTO EPA
London: Pengurus Leeds United, Marcelo Bielsa memberi amaran kepada anak buahnya agar tidak berasa selesa di Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membelasah West Brom 5-0 awal pagi tadi.
Ezgjan Alioski, Jack Harrison dan Rodrigo menjaringkan tiga gol dalam tempoh sembilan minit selepas Romaine Sawyers meledak gol sendiri untuk membolehkan pasukan pelawat mendahului perlawanan.
Rembatan padu Raphinha pada separuh masa kedua menjadikan kedudukan 5-0 untuk membolehkan Leeds mencatat kemenangan terbesar di EPL selepas 17 tahun.
Mereka melonjak ke tangga ke-11 liga namun Bielsa menggesa anak buahnya agar berhati-hati selepas kemenangan besar itu.
"Kita baru saja mengharungi aksi liga sebanyak 16 perlawanan dan banyak lagi cabaran serta ujian perlu dilalui sebelum kita berhak mengatakan kita sudah mengukuhkan kedudukan.
"Semua perlawanan dalam liga ini adalah cabaran, semua pasukan mempunyai rahsia dan kemampuan. Ada beberapa perlawanan yang anda akan rasakan sukar untuk dihadapi.
"Kami harus kekal melakukan perkara sama dan mengulanginya untuk tempoh lama. Kami sudah melalui situasi di atas dan di bawah.
"Pasukan ini sangat efisyen daripada lapan peluang kami menjaringkan lima gol walaupun satu gol lagi adalah jaringan sendiri," katanya.
Pengurus The Baggies, Sam Allardyce menjelaskan pasukannya tidak mampu untuk bangkit melupakan gol sendiri Sawyers.
"Saya jangkakan mereka akan bangkit disebabkan kekecewaan berkenaan. Ia memang mengejutkan apabila anda melihat perkara seperti itu terutama sekali dengan kedudukan kita sekarang (kedua terbawah)," katanya. |