Pemain Leicester, Harvey Barnes (kiri) meraikan jaringannya ketika berdepan Crystal Palace. - EPA
LONDON: Leicester naik ke kedudukan kedua Liga Perdana hasil gol penyamaan lewat permainan Harvey Barnes ketika seri 1-1 di Crystal Palace awal pagi tadi.
Voli hebat Wilfried Zaha meletakkan skuad Eagles di depan selepas penalti babak pertama Kelechi Iheanacho buat Leicester diselamatkan.
Dengan rehat hanya kira-kira 48 jam selepas skuad Foxes seri 2-2 berdepan Manchester United Sabtu lalu serta kunjungan ke Selhurst Park, bos Leicester, Brendan Rodgers membuat tujuh perubahan dengan Jamie Vardy dan Youri Tielemans antara pemain direhatkan di bangku simpanan.
Kedua-duanya dimasukkan pada pertengahan babak kedua dan tekanan diberikan Leicester berhasil dengan gol penyamaan apabila Barnes meledak rendah ke penjuru gawang untuk gol kelapannya musim ini.
Walaupun berdepan masalah kehilangan ramai bintang mereka, Leicester masih beraksi lebih baik namun terlepas peluang untuk mengurangkan jurang dengan Liverpool di persada liga kepada hanya satu mata.
Iheanacho diberikan peluang untuk memulakan permainan apabila pemain berusia 33 tahun, Vardy direhatkan namun pemain Nigeria itu gagal menyerlah. |