Penyerang Barcelona, Lionel Messi dalam salah satu perlawanan La Liga. FOTO AFP
Madrid: Lionel Messi memuji tonggak Atletico Madrid, Jan Oblak sebagai antara penjaga gol terbaik di dunia dan mengakui dia menyukai cabaran untuk menewaskan pemain itu.
Oblak menjadi antara penjaga gol termahal menyertai kelab liga utama Sepanyol itu apabila perpindahan ke Atletico dari Benfica dengan nilai sekitar 16 juta euro (RM79.8 juta) pada 2014.
Dia konsisten mempamerkan aksi terbaik bersama skuad Los Rojiblancos dan memulakan kempen musim 2020-21 dengan cemerlang.
Pemain kebangsaan Slovenia itu memastikan gawangnya tidak dibolosi dalam sembilan daripada 13 penampilan di La Liga untuk membantu Atletico berada di puncak liga mendahului seteru utamanya, Real Madrid.
Real memungut mata sama tetapi beraksi lebih dua perlawanan berbanding Atletico.
Oblak menyelamatkan empat percubaan tepat ketika Atletico mengatasi Barca 1-0 bulan lalu, dengan Messi buntu menemui sentuhan pada perlawanan itu.
"Sangat bagus untuk berdepan cabaran antara satu sama lain," kata bintang Argentina, Messi kepada Bud Football.
"Dia adalah salah seorang penjaga gol terbaik di dunia buat masa ini dan semestinya persaingan yang bagus berdepan yang terbaik.
"Ia menjadi motivasi tinggi untuk mengatasinya, atau cuba melakukannya, menjaringkan gol, dengan apa cara sekalipun dan sesukar mana sekalipun, ketika dia membuktikan ketangkasannya pada setiap perlawanan." |