Youssoufa Moukoko (kanan) menjaringkan gol penyamaan Dortmund ketika menentang Union Berlin dalam saingan Bundesliga. - Foto AFP
BERLIN: Impian kejuaraan Bundesliga Borussia Dortmund terjejas apabila tewas 2-1 di Union Berlin, di mana penyerang mereka Youssoufa Moukoko menjadi penjaring gol termuda liga.
Selepas pemain pinjaman dari Liverpool Taiwo Awoniyi meletakkan Union di depan dengan tandukan di awal babak kedua, Moukoko mencatat sejarah dengan gol penyamaan untuk Dortmund pada usia 16 tahun 28 hari.
Moukoko mengatasi rekod pemain Leverkusen Florian Wirtz, yang berusia 17 tahun 34 hari ketika dia merobek gawang Bayern Munich Jun lalu.
Bagaimanapun kegembiraan Maukoko hanya bertahan seketika apabila Dortmund sekali lagi dibolosi hasil tandukan Marvin Friedrich ketika permainan berbaki 12 minit.
"Kami tewas dua perlawanan liga menerusi situasi bola mati, ia satu bencana," kata pertahanan Dortmund Mats Hummels.
Kekalahan 5-1 Sabtu lalu di tangan Stuttgart menyebabkan pengendalinya Lucien Favre dipecat, dan Dortmund kini dikendali sementara oleh Edin Terzic. |