Dinesh menjadi pemain terbaru diikat Selangor FC.
Zulfaizan Mansor
[email protected]
KUALA LUMPUR: Bekas pemain Pahang, R Dinesh menjadi rekrut terbaru pasukan Selangor FC untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Perkembangan itu sekali gus menyaksikan Selangor antara pasukan paling serius untuk merebut kejayaan musim depan selepas mengikat penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri Fauzi dan pemain import, Tim Heubach.
Pengarah Teknikal Selangor, Michael Feichtenbeiner menjelaskan Dinesh pemain yang tepat untuk melengkapkan persediaan Red Giants bagi musim akan datang.
"Dinesh mempunyai usia yang muda, namun sudah mempunyai pengalaman yang luas bermain dalam saingan Liga Super.
"Saya yakin dia dapat membantu Selangor sebagai pemain pertahanan kiri atau sayap kiri dengan kemahiran yang dimilikinya.
"Kami bersyukur kerana memiliki seorang lagi pilihan pemain yang sesuai selain Zikri Khalili untuk menampung ketiadaan K Prabakaran yang dilepaskan pada hujung musim lalu," katanya.
Memiliki kepantasan dan teknik kawalan bola yang baik, Dinesh menjadi antara pemain utama skuad bawah (B16) tahun kebangsaan 2013 di bawah kendalian S Balachandran yang menjulang trofi kejohanan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).
Sementara itu, Dinesh mengakui sangat teruja dan tidak sabar untuk memperagakan aksi terbaik bersama Red Giants musim depan.
"Saya akan cuba sedaya upaya dan belajar sebanyak mungkin daripada barisan jurulatih dan rakan sepasukan yang baharu," kata pemain yang berusia 22 tahun itu. |