View: 4022|Reply: 4
|
Pesona Tarikan Pulau Suri - Harian Metro
[Copy link]
|
|
[email protected]
SUDAH lama penulis mendengar mengenai pasar terapung yang berada nun di Kelantan ini, namun tiada kesempatan lagi untuk melawatnya.
Mujur pada Julai lalu ketika sebelum berlakunya gelombang ketiga pandemik Covid-19, Tourism Malaysia mengadakan Ekspresi Media ke Kelantan bagi menerokai bumi Cik Siti Wan Kembang yang begitu kaya, bukan sahaja dek budayanya malah terdapat banyak lokasi alam semula jadi yang boleh diterokai.
Menaiki bot dari Jeti Medan Ikan Bakar atau lebih sinonim dengan ringkasannya MBI di Kota Bharu ternyata memberi peluang kepada penulis bersama jurufoto Aswadi Alias dan rakan-rakan media untuk menelusuri Sungai Kelantan.
Penulis dimaklumkan oleh pemandu pelancong, Rusdi Abdul Ghalib yang difahamkan Sungai Kelantan adalah pertemuan antara dua buah sungai huluan, Sungai Galas dan Sungai Neggiri. Jauhnya pula sekitar 248 kilometer (km) merentasi beberapa daerah antaranya Pasir Mas, Kuala Krai dan Kota Bharu.
Ketika di dalam bot, Rusdi memaklumkan meskipun air Sungai Kelantan tidak jernih tetapi ia menjadi lokasi pelbagai aktiviti menjana pendapatan yang memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.
Menariknya mengenai Sungai Kelantan ialah terdapatnya pulau-pulau di bahagian muara sungai yang paling popular ialah Pulau Teluk Rejuna, Pulau Beluru, Pulau Seratus dan paling menjadi sebutan ketika ini pastinya mengenai Pulau Suri kerana aktiviti pasar terapung.
Mengenai Pulau Suri pula, Rusdi berkata, ia diterokai oleh seorang bidan kampung yang dikenali sebagai Suri sekitar 50 tahun lalu.
Sehingga kini, Pulau Suri mempunyai sekitar 50 keluarga yang melakukan pelbagai aktiviti ekonomi antaranya ekopelancongan sehinggakan ia terkenal sebagai salah satu destinasi inap desa.
Mendengar celoteh Rusdi, diam tidak diam sudah hampir 15 minit bot yang kami naiki membelah Sungai Kelantan tiba ke destinasi yang dituju iaitu Pantai Suri Floating Market.
Rusdi juga memberitahu Pantai Suri Floating Market adalah salah satu daripada gugusan Pulau Suri yang menawarkan aktiviti perdagangan kepada pengunjung di atas bot.
Suasana meriah menyambut kehadiran kami kerana muzik dikir barat yang begitu sinonim dengan Kelantan berkumandang begitu kuat sekali.
Tidak sekadar itu, pemilik Pantai Suri Floating Market, Ghani Abdullah turut menyediakan pelbagai permainan rakyat untuk kami melihat lebih dekat aktiviti santai masyarakat terdahulu di negeri itu.
Ghani yang lebih mesra disapa Pak Ngah berkata, Pantai Suri Floating Market dimulakan pada September 2016 dan ketika ini terdapat 20 bot menyediakan pelbagai jenis makanan untuk dijual kepada pengunjung.
Tidak sekadar itu, terdapat juga 10 gerai di atas pulau yang turut memeriahkan lagi aktiviti jual beli di lokasi berkenaan.
"Boleh dikatakan lokasi ini menjadi tumpuan pengunjung dari Kelantan dan luar negeri kerana pada hujung minggu sahaja kami merekodkan kehadiran lebih 1,000 pengunjung.
"Dalam suasana pandemik Covid-19 ini kami turut memastikan setiap peniaga dan pengunjung perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa kerana khuatir berlaku perkara yang tidak dijangka di sini," katanya.
Melihat sendiri kemeriahan aktiviti perniagaan di atas bot ternyata penulis merasakan seperti berada di negara jiran, Thailand yang menawarkan aktiviti tarikan pelancongan jual beli di atas bot terutama di Hatyai.
Paling menarik pastinya penulis dan rakan-rakan media yang lain dapat merasai sendiri juadah tempatan yang dijual pada harga yang dilihat amat berpatutan.
Sebut sahaja jenis makanan yang anda mahukan yang sinonim dengan Kelantan semuanya ada. Paling menarik bagi penulis ialah hidangan berasaskan hidupan sungai yang segar untuk dinikmati.
Mengenai persembahan kebudayaan pula, Pak Ngah memaklumkan ia diadakan mengikut permintaan pengunjung yang datang secara berkumpulan.
"Begitu juga dengan permainan tradisional yang kami sediakan pada hari ini iaitu pertandingan mengira kokok ayam.
"Permainan ini membabitkan masyarakat setempat yang mempunyai ayam yang dijinakkan dan pemiliknya akan memanggil nama unggas masing-masing untuk berkokok serta markah akan dikira mengikut jumlah kokok paling banyak mengikut masa ditetapkan," katanya.
Sememangnya merasai pengalaman di Pantai Suri Floating Market adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan oleh penulis dan rakan-rakan media yang lain kerana kami dapat melihat satu produk pelancongan yang begitu unik dibangunkan masyarakat setempat.
Sekiranya keadaan pandemik sudah pulih dan membolehkan anda menerokai destinasi itu, sila jangan lepaskan peluang untuk ke sana jika mengunjungi Kelantan kerana ia amat berbaloi untuk percutian keluarga. |
|
|
|
|
|
|
|
kalo air cun jernih lg best
|
|
|
|
|
|
|
|
Bestnya...mcm kat siam plak |
|
|
|
|
|
|
| |
|