|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/lokasiu_1543995108.jpg)
MISTERI bau busuk terungkai dengan penemuan mayat reput dalam sebuah bangunan terbiar di Jalan Green, di Sarikei, semalam.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superitendan Awang Alfian Awang Bujang berkata, dalam kejadian 5 petang itu, seorang lelaki berusia 40 tahun secara kebetulan melalui kawasan berkenaan sebelum terhidu bau busuk.
Katanya, curiga dengan bau itu, lelaki berkenaan kemudian meninjau sekitar kawasan terbabit sebelum menemui satu mayat reput dalam sebuah bilik di tingkat atas bangunan itu.
“Sebaik sahaja ternampak mayat dalam bilik itu, lelaki berkenaan melarikan diri kerana ketakutan sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Sarikei,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.
Awang Alfian berkata, siasatan polis di tempat kejadian mendapati, mayat itu berpakaian baju warna biru gelap dan seluar pendek warna hitam.
Bagaimanapun, katanya, berdasarkan keadaan mayat, dipercayai meninggal dunia, sejak beberapa hari lalu.
“Polis akan melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti identiti mayat dan punca kematiannya.
“Setakat ini, kita tidak menemui apa-apa bahan bukti di lokasi kejadian yang boleh dikaitkan dengan penemuan mayat itu.
“Polis juga akan menyemak jika ada laporan membabitkan orang hilang. Justeru, kita menggesa mana-mana individu yang kehilangan anggota keluarga supaya tampil membuat laporan,” katanya.
|
|