KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN Setelah dibentangkan pendapat di atas dan juga perbahasan yang panjang lebar, maka kami menyatakan bahawa tauliah amat penting bahkan perlu mengikut kepada realiti semasa. Inilah yang diamalkan oleh negara-negara Islam yang lain seperti di Mesir, Kuwait, Jordan, dan seumpamanya. Ini kerana, kita memahami akan kehendak yang ingin dicapai dan tujuan pengajaran agar ianya munasib (sesuai) kepada pengajar dan ilmu yang diajar serta sasaran masyarakat sehingga memperolehi ilmu dengan sebaik mungkin.
Pada saat yang sama, antara matlamat tauliah adalah bersifat sad al-zariah (menutup jalan yang membawa kerosakan) untuk mengekang golongan yang tidak layak dan tidak berpengetahuan dalam mengajarkan ilmu. Ini sebagai satu tapisan dalam membezakan di antara yang layak dengan yang tidak berkelayakan.
Ibn Hajar al-Haitami di dalam kitabnya menyebut: Tidak layak bagi seorang imam atau tuan guru serta khatib menyampaikan hadis Nabi S.A.W tanpa menyebutkan riwayat sama ada ia sahih atau sebaliknya. Ini dengan jelas merupakan suatu langkah untuk mengekang hadis palsu dari disebarkan. Semoga, isu tauliah ini dapat difahami dengan sebaik mungkin. Namun, dalam masa yang sama hendaklah individu-individu yang berkelayakan serta diiktiraf keilmuan mereka dari kalangan ilmuwan Islam diraikan serta dimuliakan.
Kami akhiri isu ini dengan sebuah kisah. Suatu hari, Syaikhul Azhar al-Allamah Muhammad Bakhit telah datang ke kota Damsyiq dan sempat mengikuti pengajian yang disampaikan oleh al-Allamah al-Muhaddith al-Akbar Syeikh Badruddin al-Hasani. Selepas mendengarnya, Syaikhul Azhar berkata: Wahai tuan guru, jika kamu datang ke kota Mesir bukan pelajar al-Azhar sahaja yang kami suruh untuk belajar dengan kamu. Akan tetapi para guru dan masyaikh al-Azhar juga perlu belajar dengan kamu. Itulah gambaran kemuliaan seorang tuan guru yang berwibawa. Demikianlah sikap Syeikhul Azhar memuliakan ulama yang sehebat itu. Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T supaya orang ramai mendapatkan kefahaman berkenaan dengan isu tauliah. Segala semua urusan permintaan dan penerimaan tauliah juga dipermudahkan oleh Allah S.W.T. Ameen.
Akhukum Fillah, S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN 18 Julai 2016 bersamaan 13 Syawal 1437 H.
|