Kompleks baru Jakim di Putrajaya tempatkan 13 agensi bawah satu bumbung
|
JAMIL Khir Baharom bertanya sesuatu kepada Mohammad Zaki Mohamed Yusof, wakil dari Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia diperhatikan Dr. Mashitah Ibrahim (kanan) di Jakim, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS
|
PUTRAJAYA 18 Mei - Sebuah Kompleks Pentadbiran Islam akan dibina berhampiran Masjid Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin di sini untuk menempatkan 13 agensi di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kompleks baru bernilai RM500 juta yang mengandungi empat blok bangunan itu akan dibina menggunakan peruntukan kewangan Tabung Haji (TH).
''Jemaah Menteri telah meluluskan projek ini dan tanah sudah dibeli berhampiran Masjid Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin, pembinaan dijangka bermula tahun ini juga.
''Kompleks itu akan menempatkan kumpulan pentadbiran di bawah satu bumbung kerana pada masa sekarang agensi-agensi kita berselerak, ada yang beroperasi di Kampung Attap, Pusat Islam dan Jalan Duta di Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jakim, Othman Mustapha.
Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan khas berjumlah RM1 juta kepada 26 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang masing-masing menerima antara RM56,000 hingga RM25,000.
Sumbangan tersebut bertujuan mengeratkan hubungan antara kerajaan dengan NGO Islam sebagai tanda sokongan untuk mereka melaksanakan agenda ummah dalam bidang ekonomi, sosial dan dakwah Islamiah.
Peruntukan RM1 juta untuk NGO Islam diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Ulama bersama Umarak pada 5 Februari tahun lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Mengulas lanjut mengenai pembinaan kompleks yang memiliki prasarana lebih tersusun itu, beliau berkata, masih terdapat beberapa agensi seperti Baitulmal akan terus beroperasi di Kuala Lumpur kerana lokasi itu lebih strategik.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan yang bakal bersidang bulan depan akan membincangkan secara terperinci isu mengenai fahaman pluralisme dan aliran pemikiran liberal yang dikategorikan sebagai terkeluar daripada Islam.
''Kita akan bincangkan perkara ini untuk mengambil pendirian, bahkan dari awal lagi kita melihat pandangan para ulama bahawa pluralisme dan liberisme bercanggah dengan ajaran Islam, ia akan dimuktamadkan dalam muzakarah nanti," katanya.
Muzakarah Ulama dan Cendekiawan Islam 2011 yang bersidang di Ipoh, Perak sebelum ini memutuskan sebarang penyebaran fahaman tersebut tidak seharusnya dibenarkan di kalangan ummah kerana umat Islam wajib bersifat eksklusif dan haram mencampuradukkan akidah serta ibadah Islam dengan agama lain.