Edited by mbhcsf at 28-11-2016 04:59 PM
Ilmu Bukannya Sifat MasyarakatDitulis oleh Dr. Mohd. Zaidi bin Ismail. Posted in Utusan Malaysia
Dalam Islam, diyakini bahawa ilmu dan perkara-perkara yang terangkum dalamnya (seperti makna yang benar serta kefahaman yang betul) sebenarnya anugerah daripada Allah S.W.T.
Turut juga diyakini bahawa anugerah sedemikian dikurniakan hanya kepada diri-diri insan perseorangan yang pada sisi Allah bukan sahaja telah menyediakan diri mereka untuk menerima pemberian-Nya tetapi juga layak untuk kurniaan sedemikian.
Ringkasnya, ilmu sesungguhnya sifat individu insan.
Dalam kitab-kitab utama yang menerangkan aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah, seperti Syarah Imam Sa‘d al-Din al-Taftazani (wafat 793H/1390M) ke atas teks Aqa’id yang dirumuskan oleh Imam Abu Hafs Umar al-Nasafi (wafat 537H/1142M), ilmu dijelaskan sebagai suatu sifat yang menerangi yang menetap pada diri seseorang insan.
Atas asas kefahaman yang tersebut itu, sebuah masyarakat atau badan, meskipun terbentuk daripada diri-diri insan perseorangan, pada hakikatnya tidak mungkin bersifat dengan ilmu, kefahaman, dan yang seumpamanya.
Sekiranya terdapat pun gambaran perihal sesuatu masyarakat itu sebagai masyarakat berilmu, atau sesuatu pertubuhan itu sebagai organisasi berilmu, semua itu bukan penyifatan secara hakiki tetapi hanya penggunaan secara metafora atau lanjutan (derivative) disebabkan individu-individu berilmu bukan sahaja berada dalam masyarakat atau pertubuhan sedemikian tetapi juga mempengaruhinya.
Antara hujah terkuat tentang hakikat ilmu sebagai sifat individu dan bukannya sifat masyarakat adalah kelompangan dan kehampaan ilmiah yang ketara dialami oleh sesuatu masyarakat atau pertubuhan ketika wafatnya tokoh-tokoh ilmuwan atau pakar-pakar tertentu yang tiada tolok bandingnya.
Malah, ilmu juga tiada diwarisi secara automatik oleh mana-mana ahli keluarga seorang ilmuwan.
Pemergian tokoh-tokoh tersebut yang acap kali tiada terisi dan berganti, khasnya jika tiada pelapis yang betul-betul dididik sehingga layak menerima kurniaan ilmu daripada Allah, bermakna cahaya penerang kegelapan dalam masyarakat tersebut akan tiada selama-lamanya.
Hakikat sedemikianlah yang jelas dinyatakan oleh sebuah hadis Nabi S.A.W. sebagaimana yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dan Muslim: “Sesungguh Allah tiada mengambil kembali ilmu dengan cara menariknya keluar sekaligus daripada masyarakat insan tetapi Dia mengambil semula ilmu dengan cara mengambil kembali (yakni, mewafatkan) para ilmuwan sehinggakan ketika tiada lagi seorang ilmuwan yang hidup maka masyarakat insan menjadikan orang-orang jahil pula sebagai ketua yang pabila ditanya akan mengeluarkan fatwa tanpa ilmu; maka mereka (yakni: ketua-ketua sedemikian) sesat lagi menyesatkan yang lain.”
|