Edited by mbhcsf at 18-11-2016 01:52 AM
Syurga bagi seorang anak sebenarnya bawah tapak kaki ibu. Oleh itu, tidak redanya ibu dengan sikap keji anak-anaknya, hanya mengundang kemurkaan Allah SWT. Selagi kita tidak diredai ibu, selama itu jugalah kita hidup dalam kemurkaan dan kederhakaan terhadap Allah SWT. Perkara ini pernah berlaku kepada seorang ahli ibadah, ‘Alqamah, yang hidup sezaman dengan Rasulullah SAW.‘Alqamah ditimpa sakit yang amat teruk dan gagal mengucap kalimah syahadah ketika saat hampir kematiannya walaupun sahabat-sahabat Rasulullah SAW sudah mengajar dan memperdengarkan kalimah syahadah itu berkali-kali. Akhirnya Rasulullah terpaksa memanggil ibu ‘Alqamah untuk bertanyakan perkara sebenar yang telah berlaku. Ibu‘Alqamah pun menerangkan kepada Rasulullah SAW bahwa kemarahan bersarang di hatinya kerana anaknya lebih mengutamakanisteri daripada ibunya sendiri.
Renungkanlah. Walaupun ‘Alqamah adalah ‘abid yang menjauhi perbuatan maksiat dan sumbang, sangat taat dan kuat beribadah, rajin mendirikan solat, berpuasa dan bersedekah, tetapi disebabkan sedikit kemarahan ibunya, Allah SWT menghalang lidahnya untuk mengucapkan kalimah syahadah. Oleh itu, Islam memberi amaran keras kepada mereka yang gagal melaksanakan hak-hak dan tanggungjawab sebagai anak terhadap ibunya, menderhaka atau membiarkan ibu yang sudah lanjut usianya menjalani kehidupan yang sukar dan menyedihkan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga orang yang suka menunjuk-nunjuk pemberiannya, orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya dan orang yang ketagihan minuman keras.” (Riwayat an-Nasai)
Oleh itu, marilah kita membudayakan amalan memuliakan dan menghormati ibu. Menzahirkan kasih sayang terhadap ibu sepanjang hayat kita. Memberi kasih sayang kepada mereka, bukan sekadar memberi hadiah, tetapi menyerahkan seluruh jiwa dan raga kita kepada ibu. Sudah menjadi tabiat semula jadi manusia menyayangi zuriat mereka. Sebab itulah ibu yang mudah luntur kasih sayangnya terhadap anak-anak. Bahkan ibu sanggup berkorban apa saja yang termampu demi anak-anak. Oleh itu, janganlah melupakan kasih sayang dan pengorbanan ibu. Gembirakanlah ibu dan carilah keredhaannya, serta perbanyakkanlah doa keampunan untuknya.
Ambillah kesempatan yang masih ada untuk menyayangi ibu sebelum mereka atau diri kita didatangi ajal. Kewajipan anak-anak terhadap ibu ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya, dalam Surah al-Isra’ ayat 24 yang bermaksud: “Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
|