Edited by mbhcsf at 1-11-2016 05:37 AM
BAYAN LINNAS SIRI 74 : MAKKAH AL-MUKARRAMAH DAN KAABAH AL-MUSYARRAFAH: INILAH KIBLAT KAMI!Written by Admin PMWP. Mukadimah Alhamdulillah kami merafa’kan setinggi kesyukuran kepada-Nya selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarga dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Firman Allah SWT: وَهَٰذَا الْبَلَدِ الْأَمِينِ Maksudnya: Serta negeri (Makkah) yang aman ini. (Surah al-Tin: 3)
Berdasarkan ayat dan nas di atas, Mekah dianggap sebagai paling afdal tempat di muka bumi kecuali pendapat Imam Malik dan sebahagian ulama. Tetapi yang masyhur seperti kata Imam al-Nawawi dalam al-Idhah bahawa Mekah yang paling afdal. Lihat al-Taudhih Syarah al-Idhah hlm. 352. Kami dikejutkan dengan berita ada usaha ke arah menyerang Kaabah. Panduan kami ini adalah berdasarkan kenyataan daripada al-Azhar. Semoga berita seperti ini memberi keinsafan kepada kita betapa pentingnya kita mempertahankan dan mencintai Kaabah Allah al-Musyarrafah yang menjadi kiblat umat Islam. Kami melihat kepada bebarapa laporan daripada al-Arabiyyah dan akhbar-akhbar daripada dunia arab.
Dalam Bayan Linnas pada kali ini kami tajukkan dengan Makkah al-Mukarramah dan Kaabah al-Musyarrafah: Inilah Kiblat Kami! Laporan Akhbar dan Media
Kami kemukakan di sini laporan media antaranya:
Berita Harian: Pada semalam 30 Oktober 2016. Tentera gabungan Arab yang berperang di Yaman berjaya memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik yang dilancarkan pemberontak Houthi kira-kira 65 kilometer dari kota suci Makkah. Menurut kenyataan tentera gabungan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi, Saudi Press Agency, peluru berpandu berkenaan ditembak dari daerah Saada, yang terletak hanya di seberang Arab Saudi kira-kira 9 malam, Khamis. Sebelum ini, tentera gabungan menjalankan kempen pengeboman menentang pemberontak sejak Mac tahun lalu dan terdapat beberapa serangan dihalakan ke bandar-bandar di Arab Saudi yang hanya terletak seberang wilayah sempadan. Susulan itu, Arab Saudi sudah melancarkan peluru berpandu Patriot bagi memintas tembakan dari pemberontak berkenaan. "Pemberontak Houthi melancarkan peluru berpandu ke arah kawasan Makkah pada petang Khamis dari wilayah Saada iaitu kubu kuat yang terletak dari seberang sempadan," kata tentera gabungan dalam satu kenyataan. "Sistem pertahanan udara berjaya memintas dan memusnahkannya kira-kira 65 kilometer dari Makkah dan tiada kerosakan terhadap kota suci itu," katanya lagi. Makkah terletak kira-kira 500 kilometer dari sempadan Yaman. - Agensi. Kecaman Antarabangsa
Utusan Malaysia: Laporan pada 30 Oktober 2016 Tindakan pemberontak Syiah Houthi melancarkan peluru berpandu balistik ke Arab Saudi dengan menjadikan Mekah yang menempatkan Masjidil Haram sebagai sasaran sera-ngan itu merupakan satu perbuatan jenayah yang perlu dikecam. Speaker Parlimen Arab, badan di bawah Liga Arab, Ahmed Mohammed Al Jarwan berkata, serangan itu adalah jenayah yang menjadi bukti kumpulan itu sengaja menyasarkan tanah suci bagi umat Islam dalam ‘memainkan perasaan mereka’. Sehubungan itu, Ahmed menggesa negara-negara Islam supaya bersatu bagi menghalang kumpulan Houthi dan pihak yang menyokong pemberontak tersebut daripada melakukan lebih banyak jenayah. Menteri Luar Yaman, Abdel-Malek Al-Mekhlafi pula berkata, cubaan serangan ke atas Mekah itu menjejaskan kestabilan rantau Asia Barat dan membuktikan kumpulan pemberontak ber-kenaan sebagai ancaman kepada kestabilan dunia. “Kami mencari keamanan namun mereka mahu berperang, kami mahukan kestabilan di Yemen dan di rantau ini namun mereka mencari kemusnahan sekali gus mengesahkan mereka adalah ancaman kepada keamanan dunia. “Pada masa sama, perbuatan jenayah ini adalah bukti bahawa Houthi adalah alat yang digunakan Iran untuk memusnahkan Yaman dan negara jirannya,” katanya sebagaimana lapor portal Arab News. Dalam pada itu, Duta Jerman ke Arab Saudi, Dieter W. Haller memberitahu, adalah penting bagi semua pihak terlibat dalam konflik di Yemen untuk kembali ke meja rundingan bagi mencari penyelesaian selaras resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). “Kami mengecam serangan seumpama ini dengan sekeras-kerasnya,” kata beliau. Duta Norway ke Arab Saudi, Rolf Willy menegaskan, serangan itu dikecam oleh mereka yang cintakan keamanan. “Saya percaya perkara ini perlu diselesaikan di meja rundingan secara aman,” katanya. Turut senada dengan kecaman itu adalah Duta India ke Arab Saudi, Ahmad Javed yang menegaskan sebarang serangan ke atas tanah suci perlu dibantah sekeras-kerasnya. Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir berkata, serangan kumpulan pemberontak itu bukan sahaja melanggar perjanjian damai malah turut menyasarkan Mekah yang merupakan lokasi tumpuan umat Islam dari seluruh dunia menunaikan haji dan umrah. Jurucakap tentera perikatan yang diketuai Arab Saudi, Brigedier Jeneral Ahmed Al-Assiri menambah, menjadikan tanah suci
sebagai sasaran peluru berpandu balistik menunjukkan ‘slogan palsu’ yang digunakan kumpulan Houthi. Sementara itu, menurut Menteri Luar Bahrain, Khaled bin Ahmad Al-Khalifah, serangan itu satu pencabulan kepada semua perjanjian antarabangsa malah merupakan jenayah paling besar pernah berlaku.
|