Peacock spider atau nama saintifiknya genus maratus merupakan spesis labah-labah berwarna-warni yang akan membuat mata anda tidak berkelip memandangnya.
Jika anda teringin untuk melihat peacock spider di depan mata sendiri sememangnya mustahil melainkan anda seorang yang gemar melancong kedua-dua buah negara ini iaitu Australia dan China.
Penemuan labah-labah ini sebenarnya masih baru lagi. Ia ditemukan oleh saintis dari Sydney, Dr. Jurgen Otto pada tahun 2005. Ketika itu beliau berjalan sekitar Ku-Rin-Gai Chase National Park, Australia dan hampir terpijak serangga berkenaan. Disebabkan keunikannya, Otto terus mengambil gambar dan mula membuat kajian.
Hanya peacock spider jantan sahaja mempunyai warna-warni sebegini di bahagian punggung dan kepala. Sedangkan si betina hanya mempunyai satu warna iaitu coklat. Sebenarnya warna yang terdapat pada haiwan unik ini bukanlah sekadar hiasan semata. Tetapi ia digunakan sebagai taktik untuk memikat si betina.
Walaupun labah-labah ini dikatakan persis merak, tetapi saiznya bukanlah sebesar haiwan itu. Peacock spider hanya berukuran sekitar 0.15 hingga 0.18 inci atau ukuran lain 3.84 hingga 4.59 milimeter sahaja. Jika ia diletak di atas kuku, saiznya hanyalah suku daripada kuku anda sahaja. Sangat kecil bukan?
Satu lagi perkara unik, haiwan ini tidak mempunyai sarang yang dibina menggunakan air liur seperti labah-labah lain untuk memerangkap mangsa. Peacock spider memburu mangsanya dengan cara menghendap dan setelah mangsanya dekat, ia akan terus melompat ke arah 'menunya' itu dengan pantas.