Bukit tersebut bukan sebarang bukit, di situlah terselitnya Gua Hira tempat junjungan besar Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama daripada Allah SWT.
Dalam surah Saba’ ayat 28 Allah SWT berfirman: “Tiadalah Kami utus engkau (Muhammad) melainkan untuk seluruh umat manusia, membawa khabar gembira dan memberi peringatan, namun kebanyakan manusia tidak mengerti.”
Rasulullah SAW menerima wahyu pertama baginda ketika bersendirian di Gua Hira. Malaikat Jibril a.s. datang dan mengajar baginda untuk membaca lima ayat pertama dalam surah al-Alaq yang bermaksud:
“Bacalah dengan menyebut nama Tuhan yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang paling pemurah. Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahui.”
Pada 11 Ogos lalu, penulis bersama rombongan wartawan Malaysia yang membuat liputan ibadah haji menjejak kaki di Gua Hira. Namun untuk sampai ke puncak Jabal Nur setinggi lebih 600 meter bagi membolehkan kita berada di dalam Gua Hira bukanlah satu tugas yang mudah.
Percayalah tanpa kekuatan mental dan fizikal anda tidak mungkin sampai ke puncak gunung yang turut dikenali sebagai Bukit Cahaya tersebut.
Kepenatan yang membelenggu diri apabila berhenti berehat selepas beberapa langkah diatur menginsafkan kita untuk bertanya bagaimana Rasulullah SAW boleh sampai ke puncak tersebut dengan menunggang unta baginda dan bagaimana pula kudrat isteri baginda, Siti Khadijah yang saban hari menghantar makanan kepada Rasulullah SAW ketika baginda bersendirian di bukit.
Untuk ke puncaknya sudah ada anak tangga dibina tetapi fikirkan bagaimana sukarnya Rasulullah SAW mendaki dahulu dengan menunggang unta, tiada anak tangga, tiada jalan pintas. Apa yang ada ialah satu pendakian bukit yang cukup menyeksakan.
Mungkin atas sebab itulah ada antara pengunjung tidak menggunakan anak tangga sebaliknya berusaha mendaki melalui laluan biasa untuk sampai ke Gua Hira. Niat mereka mahu merasai kesusahan Rasulullah SAW.